3 Amalan Pemakanan Elak Anak Sembelit

0
181
views
puncaanaksembelit

Tadi dalam grup ibu-ibu ada sembang pasal anak sembelit dan berak berdarah. Ngeri tengok. Terus teringat anakanda Faqihah pernah alami episod berak berdarah selama lebih kurang 3 bulan.

Sembelit ni memang masalah biasa dalam  kalangan kanak-kanak. Banyak faktor yang menyebakan sembelit terutamanya berkaitan dengan pemakanan. Bagi anak yang minum susu formula, masalah sembelit sering menghantui seawal usia bayi. Dan kebanyakan anak kecil terdedah pada sembelit apabila mula mengambil makanan pejal.

Sembelit bukan penyakit kritikal, tapi bila dibiarkan berlarutan boleh membawa pelbagai masalah lain. Perkara penting yang perlu diberi perhatian untuk mengatasi sembelit ialah dari segi pemakanan.

Sembelit berlaku apabila makanan anak tidak mengandungi serat yang mencukupi semasa proses penghadaman. Kekurangan pengambilan cecair juga menyebabkan najis kering dan mengeras. Keadaan ini menyumbang kepada masalah sembelit yang serius apabila dibiarkan berlarutan.

Dari pengalaman anak-anak mengalami sembelit, ada 3 amalan pemakanan yang perlu dititik beratkan.

Berusaha menyusukan bayi sepenuhnya

Bayi yang disusukan dengan susu ibu sepenuhnya jarang berlaku sembelit. Ini kerana kebanyakan kandungan susu ibu akan diserap oleh usus. Walaupun bayi tidak membuang air besar selama beberapa hari, ia masih normal. Selagi bayi tidak meragam dan perut tidak menjadi keras.

Rata-rata bayi yang mengambil susu formula akan mudah sembelit. Dapatkan nasihat doktor bagaimana untuk menguruskan susu formula supaya bayi tidak sembelit dan dalam masa yang sama mendapat nutrien yang mencukupi untuk badan.

Pengambilan serat tumbuhan yang mencukupi

Apabila anak mula makan makanan pejal, pastikan mereka mendapat cecair dan serat tumbuhan yang mencukupi.  Nak bagi anak makan sayur dan buah-buahan memang memerlukan kesungguhan ibubapa untuk menerapkannya.

Selain itu, pilihan buah-buahan juga mestilah yang membantu melancarkan proses penghadaman. Buah berserat tinggi seperti pisang dan epal sebenarnya boleh menyebabkan sembelit jika tidak diambil bersama air yang cukup.

puncaanaksembelit

Anakanda Fateh suka sangat makan pisang, tapi susah nak latih dia minum air masak. Jadi masih sembelit walaupun banyak makan buah. Pilih buah seperti betik yang memang sudah diketahui mengandungi bahan yang dapat meningkatkan aktiviti usus.

Elakkan makanan berproses

Makanan berproses bukan sahaja tidak mengandungi nutrisi optimum, malah ia juga adalah antara penyumbang kepada masalah sembelit. Makanan yang dikatakan berkhasiat seperti biskut, bijirin sarapan pagi dan roti perlu sentiasa dikawal pengambilannya.

Makanan begini kebanyakannya mengandungi gula tiruan dan tidak mengandungi serat. Pengambilan yang berlebihan menyebabkan anak kurang mengambil makanan sebenar yang lebih seimbang. Rutin pemakanan begini sangat cepat membawa anak masuk ke episod sembelit.

3 amalan pemakanan ini haruslah dipantau dengan teliti sehinggalah anak sudah dapat berdikari dan berfikir dengan lebih baik. Selagi mereka belum dapat berfikir dengan rasional, episod sembelit boleh berlaku bila-bila masa apabila kita terleka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here