3 Langkah Penting Ajar Anak Membaca

1
83
views
anak suka membaca
Anak yang minat dengan buku akan mudah untuk diajar membaca

Alhamdulillah rata-rata anak tadika sekarang ni sudah sampai ke penghujung persekolahan. Sana-sini sibuk dengan majlis graduasi tadika dan yang sewaktu dengannya. Jelas terpancar kegembiraan anak-anak bila mendapat peluang naik ke pentas untuk persembahan bakat mahupun menerima hadiah. Semoga semangat anak-anak ini terus berkobar sehingga peringkat yang lebih tinggi, in syaa Allah.

Namun dalam keseronokan itu terselit juga kebimbangan di sanubari sebahagian ibu-ibu. Bimbang dengan peluang untuk anaknya apabila melangkah ke sekolah rendah kelak. Bagi ibubapa yang anaknya sudah boleh membaca dengan baik, boleh lah rasa lega 1 aspek kan. Cuma yang anak belum boleh membaca, mahupun bacaan masih kurang lancar pasti terselit kebimbangan kan.

Pandangan saya, bimbang tu bagus ibu-ibu. Cuma jangan sampai ia membawa kepada stress. Bila stress keadaan tidak menjadi semakin baik pun kan. In syaa Allah dalam tempoh sebulan lebih ini masih banyak usaha yang ibu-ibu boleh buat. Tiada yang mustahil dalam proses belajar seperti yang saya kongsikan di SINI.

Hari ni suka saya nak kongsi, apa tindakan yang perlu dibuat bila kita mahu anak boleh membaca.

Ibubapa lengkapkan diri dengan ilmu

Ya..itu tindakan yang pertama. Bukan beli buku, bukan daftar kelas cepat membaca untuk anak-anak. Kerana bila ibubapa mempunyai ilmu mengenai kaedah ajar anak membaca yang betul, kita dapat buat keputusan yang lebih tepat mengikut keperluan anak. Kita akan tahu buku yang sesuai dengan tahap anak, pendekatan yang sesuai mahupun kelas yang terbaik untuk anak.

Dan ilmu ini bukan hanya untuk anak tersebut sahaja. Ia ilmu yang akan terus memandu kita untuk anak-anak lain mahupun berkongsi ilmu dengan ibubapa lain kelak. Alhamdulillah saya pernah sertai kelas online untuk mengajar anak membaca seperti saya kongsikan di SINI. Dengan sekali bayaran yuran komitmen, saya boleh gunakan ilmu itu untuk mengajar anakanda Fateh dan sekarang anakanda Faqihah pula. Malah ilmu yang sama saya kongsikan dengan ibubapa lain menerusi penulisan saya.

Banyak kan manfaat ilmu. Jadi jangan berkira untuk hadir mana-mana kelas kaedah ajar membaca untuk ibubapa. In syaa Allah ia pelaburan yang sangat bermanfaat.

Cari bahan yang sesuai dengan anak

Apabila kita sudah tahu kaedah ajar membaca, kita dapat mengenalpasti tahap penguasaan anak. Dari situ ibubapa boleh membuat keputusan kaedah yang sesuai untuk ajar anak membaca samada kaedah mengeja, fonik mahupun kaedah sukukata. Setiap kaedah mempunyai kelebihan tersendiri dan bila dilakukan dengan teknik yang betul in syaa Allah anak akan boleh membaca akhirnya.

Apabila telah dikenalpasti kaedah yang hendak dipilih, barulah ibubapa cari bahan yang bersesuaian dengan kaedah tersebut samada buku, kad imbas mahupun dalam bentuk elektronik seperti DVD. Ataupun bagi ibubapa yang mahu mencari kelas, panduan ilmu dapat membantu ibu mencari kelas membaca yang sesuai dengan pencapaian anak.

10 minit untuk aktiviti membaca setiap hari

Ini yang mencabar kan, tapi tak bermakna tak boleh buat. Dan masa ini bergantung kepada keputusan yang telah ibubapa pilih samada mengajar anak membaca sendiri atau menghantar ke kelas. Bagi ibubapa yang memilih untuk mengajar anak membaca sendiri, jadual aktiviti pembelajaran perlu disusun dengan lebih teratur. Ini bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar dan konsisten.

Lebih penting lagi, untuk anak yang dihantar ke kelas belajar membaca. Ia tidak bermakna ibubapa hanya serahkan semua aktiviti pembelajaran kepada guru. Ibubapa sendiri mestilah peruntukkan masa untuk membaca bersama anak-anak di rumah. Tak lama pun, 10 minit sehari sudah memadai. Kalau anak mahu ulangkaji guna buku-buku dari kelas membaca, ia satu peluang yang baik. In syaa Allah perkembangan anak lebih cepat.

Namun bagi anak-anak yang kurang minat membaca, buku-buku itu akan menjadi tekanan untuknya. jadi jangan tambah tekanan anak. Gunakan teknik yang lebih santai seperti bacakan buku-buku cerita ringkas kepada anak sebelum tidur. Lakukan dengan santai dan dalam tempoh yang singkat sahaja. Gunakan buku-buku cerita yang ringkas dan sesuai dengan minat anak.

Ibu ajar anak membaca
Ibu boleh mengajar anak membaca sendiri di rumah tanpa perlu bimbang dengan pencapaian anak

In syaa Allah apabila ibubapa istiqamah melakukannya setiap hari, secara tidak langsung ia juga akan merangsang minat untuk anak membaca sendiri. Dan ini adalah titik penting anak akan belajar membaca tanpa tekanan dan mendapat pencapaian yang lebih baik. In syaa Allah.

Selamat beramal!

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here