Cuti sekolah akhir tahun 2016 sudah semakin hampir ke penghujungnya. Bagaimana dengan cuti ibu bersama anak-anak? Semoga ia menjadi percutian yang dapat memenuhi bank emosi kita buat meneruskan perjuangan hidup ini, in syaa Allah.

Selain mengisi masa dengan bercuti, ramai juga ibubapa yang mengambil peluang untuk mengukuhkan pengusaan anak-anak dalam bidang ilmu tertentu terutamanya kemahiran membaca.

Kemahiran membaca adalah kunci untuk anak memahami bidang ilmu lain dengan lebih luas. Tambahan pula sistem pembelajaran kita di Malaysia ini meletakkan keutamaan kepada kemahiran membaca dalam melakukan ‘streaming’ kepada pelajar darjah 1.

Ibu ajar anak membaca

Ibu boleh mengajar anak membaca sendiri di rumah tanpa perlu bimbang dengan pencapaian anak

Jadi mengusai kemahiran membaca sebelum ke sekolah rendah sudah menjadi keperluan dalam masyarakat kita hari ini. Alhamdulillah ramai ibubapa mula ambil pendekatan untuk merangsang kemahiran membaca anak-anak sejak kecil bermula dari rumah. Ini adalah satu perkembangan yang baik dalam institusi keibubapaan.

Dalam mengajar anak-anak mambaca, antara isu yang seringkali timbul ialah anak lupa apa yang telah dipelajari dalam seisi lepas. Hal ini menyebabkan ibu merasa kecewa dan kurang yakin untuk mengajar anak sendiri. Sebenarnya dalam proses pembelajaran, dengan ilmu yang betul perkara ini dapat diatasi.

Gunakan teknik pembelajaran yang sesuai dengan anak

Paling asas, ibu perlu pastikan teknik pembelajaran yang digunakan adalah sesuai dengan usia dan minat anak. Ada anak yang suka belajar dari kad imbas, ada yang suka guna video, ada pula lebih cepat dapat bila belajar melalui aktiviti. Kerana itu sangat penting ibubapa mengenalpasti cara pembelajaran yang berkesan untuk anaknya.

aktiviti buat model huruf

Anak lebih seronok belajar melalui aktiviti seperti ini

Kandungan pembelajaran yang sedikit

Selain itu, bagi setiap seisi pembelajaran hanya kenalkan 1 atau 2 ilmu baru sahaja. Contohnya jika nak mengajar sukukata, cukup kenalkan sukukata ‘ba’ dan ‘ca’ dalam 1 seisi. Buat beberapa aktiviti menggunakan sukukata ini seperti menggunakan kad imbas, buat model huruf, mewarna, buat kolaj, menyanyi dan sebagainya.

Apabila kandungan pembelajaran yang sedikit ini diulang-ulang berkali-kali, anak akan dapat menguasai ilmu tersebut dengan lebih baik in syaa Allah. Aktiviti ini menjadi pengukuhan untuk menguatkan memori anak. Selain itu aktiviti yang pelbagai ini penting supaya anak merasa aktiviti pembelajaran ini sungguh menyeronokkan.

Belajar sekejap tapi kerap

Tempoh fokus anak kecil adalah terhad. Jadi ibubapa perlu pastikan tempoh pembelajaran adalah singkat tetapi kerap.10 ke 15 minit beraktiviti sudah cukup untuk anak usia prasekolah. Cuba untuk konsisten belajar pada waktu yang sama setiap hari. Pastikan anak tidak ‘cuti’ terlalu lama bagi mengelakkan anak lupa apa yang telah dipelajarinya. Walaupun sedang bercuti, bawa bersama bahan pembelajaran yang sesuai supaya dapat isi masa senggang yang ada.

Aktiviti pengukuhan yang konsisten

Walaupun hanya mengajar anak sendiri, ibu perlu rancang aktiviti pengukuhan untuk memastikan anak sentiasa ingat apa yang telah dipelajari. Setiap hujung seisi pembelajaran diakhiri dengan aktiviti pengukuhan. Dan lebih penting lagi, setelah diperkenalkan 5 ke 10 sukukata, buat aktiviti pengukuhan dengan menggaungkan semua kandungan pembelajaran sebelum ini.

Dari situ ibu dapat mengenalpasti sejauh mana kaedah pembelajaran yang digunakan sebelum ini berkesan untuk anaknya. Jika anak masih belum kuasai kandungan pembelajaran sebelum ini, ulang semula dengan menggunakan teknik dan pendekatan yang berbeza. In syaa Allah dengan beberapa kali percubaan, ibubapa akan memahami corak pembelajaran anak dan proses pembelajaran seterusnya menjadi lebih mudah.

Tiada jalan mudah dalam mengajar anak membaca. Namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Tapi kebahagiaan dapat membantu anak belajar membaca akan menjadi memori indah dalam kamus hidup kita sebagai ibubapa in syaa Allah.

Selamat berusaha! 😀