Mempunyai anak menyebabkan kita sebagai ibu sering berfikir-fikir adakah anak kita mendapat zat yang secukupnya untuk membesar. Dan kita akan semakin buntu bila anak tidak berselera untuk makan.

Mari kita lihat sebenarnya apa nutrisi ataupun zat yang perlu ada dalam hidangan anak setiap hari agar tumbesaran mereka tidak terjejas.

Amalan mengambil makanan sebenar (real food) yang pelbagai akan memudahkan anak mendapat nutrisi yang mencukupi untuk tumbesaran

Kalsium

Kalsium penting untuk tubuh kerana berfungsi untuk menguatkan otot, mengekalkan penghasilan tenaga dan menguatkan jantung. Kalsium juga dapat menguatkan tulang dan mengelakkan anak daripada risiko tekanan darah tinggi.

Kalsium boleh didapati daripada susu, produk tenusu seperti keju dan yugort, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Magnesium

Magnesium bertindak sebagai salah satu nutrien yang penting. Pengambilan magnesium yang cukup dapat memperbaiki kemampuan jantung, mengekalkan sistem imunisasi badan, meningkatkan penghasilan tenaga dan membina tulang yang sihat.

Untuk memastikan anak mendapat magnesium yang mencukupi, berilah mereka makanan berasaskan sayur hijau, kekacang dan gandum.

Serat

Makanan yang kaya dengan serat baik untuk sistem penghadaman anak. Ini penting bagi mengelakkan anak terjebak dengan masalah sembelit. Malah serat juga dapat membantu mengelakkan anak dari serangan jantung, masalah kolestrol, tekanan darah tinggi dan memastikan berat badan anak dalam lingkungan yang sepatutnya.

Antara makanan yang tinggi kandungan serat ialah sayur-sayuran dan buah-buahan.

Vitamin D

Vitamin D sangat baik untuk sistem imunisasi anak agar dia tidak mudah dijangkiti penyakit. Vitamin D juga membantu meningkatkan pertumbuhan dan kekuatan tulang.

Vitamin D boleh didapati dengan mudah daripada ikan dan susu.

NutrisidanzatPentinguntukanak

Vitamin E

Untuk mengelakkan anak daripada serangan radikal bebas, pastikan anak mendapat vitamin E yang secukupnya. Vitamin ini juga membantu membina sistem imunisasi badan dan mengekalkan metabolisme.

Vitamin E terdapat dalam sayur hijau seperti bayam.

5 jenis nutrisi ini penting untuk diambil dalam setiap hidangan selain memastikan makanan anak seimbang dengan kandungan karbohidrat, protien dan lemak. Pengambilan makanan sebenar (real food) yang pelbagai dapat memastikan anak mendapat zat yang secukupnya untuk membesar.

Rujukan : Majalah PAMA November 2010