Pantasnya masa berlalu. Hari ini sudah cukup 2 minggu anakanda Fateh ikuti pembelajaran formal darjah 1. Dalam masa yang singkat ini, banyak perubahan-perubahan yang saya sebagai ibu juga perlu beradaptasi. Rutin persekolahan anak-anak hari ini makin mencabar. Dan kita sebagai ibu juga lebih bersedia untuk memberi sokongan mental dan fizikal kepada anak-anak.

Dalam pada itu, saya sedang berusaha untuk berdisiplin mengajar Faqihah membaca. Sebenarnya saya sudah pernah bermula tahun lepas, tapi saya berhenti apabila hantar dia ke tadika. Sengaja berenti untuk kurangkan beban akademik kepadanya. Tapi rupanya ia semakin sukar apabila hendak bermula semula. Nanti in syaa Allah saya kongsikan cabarannya.

Baru-baru ini saya baca buku panduan untuk ibubapa dan guru mengajar anak membaca. Sebelum mula ajar membaca, kita boleh praktiskan aktiviti-aktiviti untuk membantu kanak-kanak membentuk kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk belajar membaca. Di sini saya kongsikan 3 jenis aktiviti tersebut.

Susun objek ikut urutan

>> Susun butang/kotak/blok ikut urutan kecil ke besar dan sebaliknya
>> Buat corak guna pencungkil gigi dan minta anak tiru
>> Rangkaikan manik dan minat anak tiru
>> Potong straw/tissue roll berbeza ketinggian. Minta anak susun.

Perbezaan Visual

>> Sambil memandu, tunjukkan isyarat-isyarat jalanraya yang biasa dilihat (BERHENTI, AWAS, dll)
>> Tunjukkan 2 keping gambar rumah/kereta dll dan minta anak sebutkan benda yang sama atau berbeza dalam kedua2 gambar tersebut
>> Main bola keranjang – beri bola berdiameter 7.5cm atau pundi kacang, minta anak baling ke dalam bakul/kotak
>> Galakkan anak pasang skru ke dalam nat, menggunakan gunting dan menggunakan tangan sekerap mungkin untuk pelbagai aktiviti kemahiran tangan

Mengingat

>> Balik dari beli barang, minta anak tolong simpankan barang. Pilih tak lebih dari 5 barang. Selepas selesai, tanya semula nama barang yang sudah disimpan.
>> Letak beberapa barang atas meja, minta anak ambil 2 barang ikut urutan yang ibu sebut. Bila dah berjaya ulang aktiviti ini dengan sebut 3 atau 4 barang.
>> Bila nak masak, baca resepi ikut turutan dengan kuat. Kemudian tanya semula pada anak “Apa yang ibu kena buat dulu”
>> Pada waktu malam, ingat kembali makanan2 yang anak sudah makan sepanjang hari. Minta anak sebut satu persatu.
>> Tunjuk sekeping gambar yang ada macam-macam objek pada anak. Berbual2 tentang gambar itu. Kemudian simpan gambar dan minta anak sebutkan semula objek-objek dalam gambar itu.

Aktiviti – aktiviti ini akan membantu anak-anak mempelajari kemahiran membaca dengan lebih bersedia. Ini dapat membantu anak menguasai bacaan dengan lebih baik. Pelbagai bahan yang bersesuaian untuk mengajar anak boleh didapati di dalam pasaran hari ini. Salah satu bahan yang sangat mudah digunakan ialah Pakej Buku WOW yang menjadi pilihan ibubapa sibuk.