Anak Suka Main Pasir Tak?

1
98
views

Teks : Sakina Hamid

Foto : Sakina Hamid

Teringat masa Anakanda Fateh sekitar usia 2 tahun, kami membawanya berkelah di pantai. Dia hanya duduk di atas tikar kerana geli terpijak pasir. Bila melihat kejadian itu, saya pun tersedar kami tidak mendedahkannya dengan sumber alam yang hebat ni. Maklumlah tinggal dibandar kebanyakan kawasan bertar dan bersimen, memang jarang sangat dapat berjumpa dengan pasir dan tanah.

Selepas di ‘orentasi’kan sedikit demi sedikit dengan pasir, dah tak nak balik pulak suka main pasir kat tepi pantai tu. Lepas dari tu jumpa pasir kat mana-mana pun mesti nak main. Kita pulak yang bimbang degan kebersihan pasir tu kan. Tapi kalau tak bagi main pun rugi jugak, banyak kelebihan anak-anak kecil main pasir ni.

Ini adalah beberapa kelebihan bermain pasir kepada perkembangan kanak-kanak.

1) Medium yang boleh dimainkan tanpa had (open ended)

Mainan terbaik untuk kanak-kanak adalah sesuatu yang bebas untuk diteroka. Tidak ada betul atau salah semasa bermain pasir. Bayi mungkin hanya menguis dan meramas pasir, manakala anak yang lebih besar akan membuat pelbagai bentuk menggunakan acuan.

IMG_20151128_103804

2) Menggalakkan kreativiti dan imaginasi

Anak suka main pasir  sudah memahami sifat unik pada pasir akan mula beimaginasi membentuk pelbagai objek. Imaginasi ini tidak terbatas dan mereka boleh menambah elemen-elemen lain kepada binaan mereka seperti daun kering, kayu, air dan mainan-mainan mengikut kreativiti mereka.

3) Merangsang perkembangan motor yang optimum

Semua anggota badan akan bekerjasama semasa bermain pasir. Otot-otot kecil akan bekerja semasa meramas, membentuk dan mencurah pasir. Manakala otot-otot besar akan bersenam apabila mengangkut pasir dalam kuantiti yang banyak. Pasir yang basah juga akan memaksa otot bekerja lebih keras untuk menguruskannya

IMG_20151128_113514

4) Menggalakkan perkembangan bahasa dan sosial

Aktiviti bermain pasir yang boleh dipelbagaikan akan menggalakkan kanak-kanak bermain bersama-sama. Mereka akan bergabung untuk bermain masak-masak, membuat istana dan sebagainya. Ini akan melibatkan perbincangan dan perkongsian mainan. Suasana ini sangat bagus untuk menggalakkan anak bercakap dan belajar cara bersosial dengan baik.

5) Meningkatkan kemampuan kognitif

Banyak proses pembelajaran berlaku semasa bermain pasir. Kanak-kanak belajar perbezaan sifat pasir kering dengan pasir basah. Mereka juga perlu berfikir bagaimana untuk membuat binaan yang teguh dan seimbang menggunakan pasir. Semua ini memerlukan kepada pemerhatian dan analisis dari pengalaman semasa bermain.

IMG_20151128_103818

6) Pendedahan konsep matematik

Konsep ‘lebih banyak’, ‘kurang’ dan ‘sama banyak’ dapat difahami dengan lebih mudah semasa bermain pasir. Mereka juga dapat belajar kemahiran membuat anggaran kuantiti pasir dan saiz bekas yang sesuai. Ukuran sudu kecil, sudu besar dan cawan juga boleh diperkenalkan kepada anak yang sudah bersedia mempelajarinya.

7) Menggalakkan kemahiran bereksperimen

Antara eksperimen yang sesuai ialah tanam logam di dalam pasir, dan minat anak cari menggunakan magnet. Permainan takal dan daya juga sesuai untuk memberi peluang anak memahami mengenai pasir. Ibubapa juga boleh sediakan beberapa bahan dan biarkan anak merekabentuk eskperimen mereka sendiri. Pasti ia menjadi pengalaman yang berharga untuk mereka.

IMG_20151128_115731

8) Boleh digabungkan dengan aktiviti seni lain

Selain membuat binaan, kanak-kanak juga boleh melukis di atas pasir. Hiaskan binaan dengan tumbuhan dan cengkerang haiwan mengikut imaginasi. Aktiviti menyanyi juga boleh diselitkan semasa bermain pasir untuk mewujudkan suasana yang lebih ceria.

Banyak sungguh kebaikan bermain pasir kepada anak-anak kita kan. Jadi jangan sia-siakan peluang untuk anak kita meneroka keunikan pasir ini kerana ia pasti menjadi kenangan yang diingati apabila dewasa kelak.

Sumber : 8 Reasons Why Playing in the Sand Is Good for Kids

p/s : Sukar mencari peluang untuk anak bermain pasir ?  Kini anak-anak anda boleh bermain pasir dirumah sahaja. Klik SINI  untuk pelbagai pilihan pasir berkualiti.

Previous articlePanduan Asas Memilih Permainan Anak
Next articleTips Anak Tak Cepat Jemu dengan Mainan
Ibu kepada 2 orang cahaya mata. Sangat berminat dengan Pendidikan Awal Kanak-kanak. Menulis hasil dari pembelajaran sendiri dan pengalaman. Membekalkan produk pendidikan kanak-kanak untuk aktiviti homeschool. Boleh dihubungi melalui sms/whatsapp : +60194715407.
SHARE

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here