anakmencarut

Anak tiba-tiba mencarut!

Anak tiba-tiba mencarut!

Terkejut sungguh saya ketika kali pertama mendengar Faqihah sebut “BABI” kepada abangnya. Rasa terkedu seketika. Walhal masa tu abangnya hanya acah-acah larikan mainan. Selalu main-main macam tu takda pun dia nak marah sangat. Jerit-jerit kejap lepas tu nanti dah boleh bergurau semula.

Tambahan pula anakanda Faqihah 24 jam duduk dengan saya. Pasti sesuatu yang mengejutkan bila dia buat sesuatu diluar norma keluarga kami. Puas saya terpaksa memerah otak dari mana sebenarnya dia belajar benda ni. Saya sangat pasti ia datang dari anasir luar.

Dan seketika kemudian saya teringat pada paginya saya ada buat aktiviti ulangkaji sukukata. Salah satunya mengecam tulisan BA BI BU. Saya pun fikir mungkin kerana dia berulang-ulang sebut, jadi terlepas cakap secara tak sengaja. Begitulah ibu membuat rasionalisasi seorang diri. -_-

anakmencarut
Anak kecil belum dapat bezakan benda yang baik dan buruk. Mereka hanya meniru perbuatan dan percakapan orang di sekitar mereka.

Namun ketenangan itu hanya seketika. Pada sebelah malamnya, sekali lagi saya terdengar dia sebut BODO kepada abangnya. Masa tu suami pun ada bersama. Hah..ini dah memang terang lagi bersuluh. Kami pun bincang dan bincang dari mana anakanda Faqihah belajar benda ni. Terdetik di hati adakah kerana komik-komik bacaan mereka. Tapi siri Komik-M tu takda nilai-nilai negatif macam tu. Hairan sungguh dari mana dia belajar.

Dan setelah puas memerah otak, barulah saya teringat peristiwa hujung minggu baru-baru ini. Masa kami turun bermain, ada 2 orang rakan sepermainan mereka sedang berperang mulut. Walaupun perang mereka cakap perlahan saja sebab ibu masing-masing ada kat situ.  Lepas tu Faqihah yang sangat ramah ni berhenti kat situ bagi khidmat nasihat.

Memang selalu saya suruh jauhkan diri dari budak-budak lelaki yang mainnya agak kasar tu. Tapi sebab hari tu saya dengar Faqihah tengah cuba jadi ‘pendamai’, saya pun biarkan. Saya sedang brisk walk di sekitar tempat mereka bermain. Saya dengar dia suruh mereka minta maaf dan berhenti bergaduh. Dalam hatti ibu rasa syukur sekurang-kurangnya nampak anak kita ada peranan positif dalam berkawan.

Tapi rupa-rupanya dalam tempoh yang sangat singkat itu jugalah ada anasir negatif yang masuk ke dalam minda separuh sedar anak saya. Siapa sangka, dalam tempoh tak sampai 10 minit itu anakanda Faqihah sudah belajar satu lagi cara untuk melepaskan amarah. Iaitu dengan menggunakan kata-kata kesat. -_-

kawananak
Beriadah untuk memberi ruang anak bereksplorasi. Dalam masa yang sama juga kita perlu pandu apa yang patut anak ambil sebagai amalan

Allahuakbar, begitulah hebatnya kuasa minda seorang kanak-kanak. Semudah itu mereka menyerap pengetahuan baru dan terus mengaplikasikannya pada situasi yang ‘betul’. Syukur saya dapat kenalpasti punca kepada perubahan sikapnya. Kami pun terus memberitahunya itu adalah perlakuan yang salah dan tidak disukai Allah. Alhamdulillah anak kecil yang baru mengenal dunia luar, hatinya bersih. Mudah untuk kita betulkan bila gunakan kaedah yang betul.

Begitulah bagaimana persekitaran membentuk jiwa dan peribadi anak-anak kita. Semoga kita dikurniakan kekuatan menyediakan persekitaran terbaik untuk anak-anak syurga kita membesar. Ameen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *