Sistem persekolahan hari ini penuh dengan pelbagai program. Program-program ini sebenarnya sama sahaja seperti aktiviti pembelajaran sebelum ini. Cuma ia disusun dengan lebih teratur bagi mencapai matlamat tertentu. Kadangkala maklumat program yang terlalu banyak ini menjadikan ibubapa keliru dengan aktiviti pembelajaran anak di sekolah.

Alhamdulillah ketika mendaftar anakanda Fateh ke darjah 1, saya berpeluang mendengar taklimat mengenai perlaksanaan program LINUS 2.0 daripada guru penyelaras LINUS.  LINUS 2.0 ialah singkatan untuk Ujian Saringan Literasi, Numerasi dan Bahasa Inggeris . Program ini bertujuan bagi memastikan semua murid menguasai kemahiran asas membaca Bahasa Melayu, membaca Bahasa Inggeris dan kemahiran mengira.

Memang itu pun tujuan anak-anak dihantar ke sekolah sejak zaman ibu bapa kita dulu kan. Cuma sekarang ni aktiviti pembelajaran dan pengesanan (ujian) dilakukan dengan lebih terancang. Bagi tahun 2017, ujian saringan LINUS 2.0 akan dijalankan pada bulan April/Mei dan bulan Sept/Okt. Ada 12 konstruk ataupun perkara yang akan dinilai di dalam ujian tersebut. Anak-anak perlu melepasi setiap konstruk itu bagi memastikan mereka lulus ujian saringan tersebut.

Konstruk Linus 2.0

                   Konstruk Ujian Saringan Literasi, Numerasi & Bahasa Inggeris (LINUS 2.0)

Bagi anak-anak yang tidak melepasi konstruk 1 & 2, mereka akan dikelaskan sebagai konstruk tegar. Anak-anak ini akan ditempatkan di kelas pemulihan sehingga dapat melepasi tahap yang diperlukan. Pelajar lain akan belajar dalam kelas arus perdana seperti biasa.

Dari satu aspek, perlaksanaan ujian ini bagus untuk mengenalpasti murid-murid yang mungkin mempunyai masalah pembelajaran seperti disleksia, autism, masalah pendengaran dan sebagainya. Pengesanan awal dapat membantu anak-anak ini dirujuk kepada pakar dan dapat mengikuti aktiviti pembelajaran yang bersesuaian dengan mereka.

Namun dari satu aspek, program ini juga telah dipandang terlalu serius sehingga memberi tekanan kepada murid. Ibubapa yang terlalu bimbang anaknya tidak melepasi tahap ujian saringan akan mula menghantar anak ke kelas tuisyen LINUS sejak sebelum mula persekolahan. Buku-buku koleksi ujian LINUS juga banyak boleh didapati di pasaran.

Kebimbangan ibubapa ini bagus. Tapi dalam masa yang sama kita tidak sepatutnya pindahkan tekanan kita kepada anak yang masih kecil. Tekanan yang berlebihan akan menyebabkan anak tidak dapat mengusai kemahiran membaca walaupun telah disogokkan pelbagai kelas dan buku-buku. Jika anak dapat kuasai pun masih tidah bagus dari segi perkembangan emosi anak.

Kerana itu sebagai ibubapa penting untuk kita memahami apa elemen yang diperlukan untuk anak boleh membaca. Ibubapa perlu celik ilmu mengajar membaca sebelum sogokkan anak dengan pelbagai kelas dan bahan. Apabila kita faham keperluan anak, lebih mudah untuk membimbing anak di rumah dan memberi sokongan kepadanya. Kelewatan anak membaca bukan pengukur tahap kecerdasan anak. Kemampuan untuk membaca hanyalah salah satu dari kepelbagaian kecerdasan manusia.

Teori Kecerdasan Manusia

Teori kecerdasan manusia mengikut pakar psikologi Howard Gardner

Beri peluang. Beri masa kepada anak. In syaa Allah, dengan usaha yang betul dan berterusan anak akan boleh membaca dengan baik. Apa yang lebih utama adalah kita mampu memupuk rasa seronok membaca kepada anak, kerana itu bekalan yang lebih penting untuk anak terus meneroka dunia ilmu kelak. Bukan hanya mampu membaca dan menulis jawapan di dalam dewan peperiksaan.

Wallahualam.