Teks : Sakina Hamid

Foto : Sakina Hamid

Ketagihan skrin mula menjadi isu disebalik kepesatan perkembangan ICT . Dan sayang sekali ketagihan skrin ini menyerang semua lapisan umur termasuk anak-anak yang masih kecil. Saya baru saya lepas membaca perkongsian serorang ibu mengenai ketagihan skrin. Secara tidak langsung ia mengimbau kenangan 5 tahun lalu.

Segalanya bermula kerana kecetekan ilmu seorang ibu muda. Saya sedia maklum keburukan tv kepada perkembangan kanak-kanak. Jadi saya memang tidak membeli tv di rumah apatah lagi melanggan siaran tv berbayar. Sebaliknya hadiah untuk ulangtahun kelahiran pertama anakanda Fateh, saya belikan sebuah komputer! Rasionalnya mudah, komputer kita dapat kawal bahan yang anak nak tengok.

Bulan demi bulan, hampir 2-3 jam sehari masa anakanda Fateh dihabiskan di hadapan skrin komputer. Itupun mujurlah dia hanya menonton setelah pulang dari taska. Jika tidak pasti masa itu akan lebih panjang. Saya merasakan semuanya OK kerana semua bahan yang dimasukkan ke dalam memori komputer adalah bahan untuk pembelajaran kanak-kanak. Advance la konon!

Photo0089 Photo0082

Saya bertambah rasa OK kerana anak saya sudah menguasai ABC, 123 dan huruf hijaiyah sebelum usia 2 tahun lagi. Malah dia juga dapat menyebut huruf hijaiyah berbaris dalam Pakej Mengaji Mesra kanak-kanak Al Furqan. Vocabnya banyak, malah sebelum usia 3 tahun dia sudah pandai menggunakan mouse memilih cerita dan shut down komputer dengan cara yang betul. Saya merasakan anak saya sungguh bijak!

Rupanya saya silap. Menjelang usia 3 tahun, saya sedar anak saya tidak mengalami perkembangan bahasa yang baik. Dia boleh sebut semua perkataan di flashcard dan buku, tetapi tidak minat untuk bersembang dengan sesiapa pun. Termasuk ibubapanya. Nak apa-apa dia akan tarik tangan dan tunjuk. Kalau dia sebut pun hanya sepatah.

Ketika itu juga anak saya juga mula didedahkan dengan smartphone. Dia anak mengamuk bila tak dapat smartphone dan sanggup tak makan hanya kerana leka dengan video animasi dalam telefon. Peringkat ini saya sedar anakanda Fateh sudah mula mengalami ketagihan skrin.

Semua perkembangan ini saya lihat sebagai tidak normal, dan saya beranikan diri merujuk ke pakar kanak-kanak di Hospital Besar Pulau Pinang. Dan benar seperti jangkaan saya, perkembangan anak saya disahkan tidak normal dan mempunyai ciri-ciri mild autisme.

Masa tu rasa galau seketika, mengenangkan masa depan anak. Ketika dikesan, pakar masih belum dapat sahkan peringkat autisme anak kerana perlu buat penilaian dalam beberapa kali lawatan. Saya mula bimbang jika anak saya tidak dapat melalui alam persekolahan aliran perdana.

Dan mulai saat itulah baru saya betul-betul serius mengkaji perkembangan kanak-kanak. Jika sebelum tu pembacaan saya hanya pada penyusuan dan aktiviti natural parenting yang lain, kini saya mula ubah topik bacaan saya.

Saya juga mula mengawal penggunaan gajet oleh anakanda Fateh dan mula menjalani pelbagai terapi di hospital bagi memulihkan tahap perkembangan beliau. Bagi ibubapa yang pernah membuat lawatan susulan ke hospital pasti memahami kesukaran demi kesukaran yang dihadapi. Namun saya tetap berusaha membawa anakanda Fateh menjalani terapi hampir setiap minggu.

Anakanda Fateh perlu menjalani terapi untuk pertuturan dan terapi carakerja (OT). Di situlah saya kenal dengan pelbagai educational toys yang jauh lebih banyak manfaatnya kepada perkembangan kanak-kanak. Ia juga menjadi pencetus awal kepada bisnes Kedai Cikgu.

Alhamdulillah lawatan terakhir semasa beliau berusia 4 tahun setengah mengesahkan beliau bukan autisme, tetapi mempunyai personaliti yang hampir sama dengan ciri-ciri autistik. Syukur ke hadratNya kerana memberi kesedaran awal kepada kami sebagai ibubapa, dan semoga pengalaman kami ini dapat membawa kesedaran kepada ibubapa mengenai ketagihan skrin.

Saranan saya, ibubapa perlu terima hakikat gajet bukan alatan yang sesuai untuk kanak-kanak. Kita mungkin dapat kawal anak pada peringkat awal, tapi hakikatnya anak semakin besar. Dan ketika kita terlalai dengan urusan kehidupan yang lain itulah kita akan terlepas pandang gajet eloktronik mula merosakkan anak kita.

Kesan kepada setiap anak tidak sama. Ada yang kelewatan bertutur, ada yang lemah perkembangan psikomotor malah ada yang mendapat kesan dari segi psikologi. Bayangkan seorang budak lelaki yang dibiasakan melihat animasi ‘perempuan cantik yang seksi’, kemudian sesekali terlihat thumbnail youtube menunjukkan gambar-gambar porno sehingga mengundang kesan kepada fikiran mereka.

Jangan mudah merasakan anak kita terlalu baik, kerana semasa berada dalam unit disiplin di sebuah sekolah agama, ada pelajar mengakui melihat video lucah seawal sekolah rendah melalui smartphone dan ia menjadi perkhabaran yang mengejutkan bila dimaklumkan kepada ibubapa.

Ambil peduli, jangan korbankan masa depan anak kita kerana kita dambakan kesenangan hari ini. Wallahualam.

p/s : Dapatkan pelbagai pilihan Educational Toys sebagai alternatif mengisi masa berharga anak-anak.