Belajar berniaga di Gerai Jualan

0
586
views

Lenguh berdiri dan angkat barang masih terasa, namun saya seronok nak berkongsi pengalaman berharga semalam. Ini adalah pengalaman pertama saya membuka gerai jualan yang prosesnya dari awal hingga akhir saya uruskan sendiri. Sebelum ni saya hanya ada pengalaman menumpang gerai orang lain atau berkongsi gerai jualan. Memang agak meletihkan namun saya seronok melalui pengalaman ini.Iya..semua perjalanan dalam bisnes adalah amat berharga, kerana setiap satunya unik dan memberi pengajaran yang tersendiri.

Semalam saya meluangkan masa separuh hari di sambutan hari konvokesyen tadika Cerdik si Comel di dewan Mardi Kepala Batas, Pulau Pinang. Saya dapat peluang membuka gerai jualan ini ketika berurusan dengan pengurus tadikanya, Puan Roha yang sangat baik. Saya suka dengan cara beliau berurusan dan pemikirannya yang terbuka.

Pagi semalam bermula dengan agak kelam kabut kerana jambatan pertama Pulau Pinang ditutup untuk memberi laluan kepada acara Penang Bridge Marathon 2016. Saya terpaksa menggunakan jambatan kedua yang menjadikan perjalanan lebih jauh. Tambahan pula saya kurang cekap mengenai laluan tersebut, jadi masa perjalanan menjadi bertambah panjang.

Sampai lewat menjadikan persiapan gerai jualan kelam kabut. Namun dalam sibuk menyusun barang saya sempat bertemu dengan Puan Roha. Barulah beliau maklumkan program dilewatkan sejam kerana masih dalam persediaan dewan. Dewan yang sama digunakan untuk kenduri pada hari sebelumnya.

Alhamdulillah walaupun agak terkial-kial, semua barang jualan dapat disusun sebelum ibubapa mula hadir. Dan rezeki saya tempat yang dipilih tu di tepi pintu masuk pendaftaran. Jadi dapatlah saya edarkan pemplet produk dari Kedai Cikgu kepada hampir semua ibubapa yang hadir. Satu proses penyebaran ‘benih’ yang penting dalam perniagaan.

Usai majlis bermula, semua ibubapa berada di dalam dewan. Dapatlah saya berehat dan bersarapan seketika. Alhamdulillah gerai sebelah jual pelbagai roti homemade termasuk  roti john yang sedap. Itulah rezeki saya pagi ini. Sambil makan saya melayan anak pegerai sebelah bermain-main sampel mainan. Anak-anak ini sudah bersekolah rendah. Tapi biasanya mainan pasir ni mudah membuatkan kita terleka bermain tak kira usia.

Selepas sejam berlalu ramai juga kanak-kanak yang keluar bermain di luar. Kebanyakan mereka ini adalah usia sekolah rendah, datang melihat adik-adik mereka berkonvo. Jadi suasana gerai dimeriahkan dengan suara anak-anak ini bereksplorasi dengan mainan pasir. Terpaksa la saya jadi cikgu taska kejap kat situ.

Sambil-sambil tu ada juga ibubapa yang bawa anak keluar ke tandas atau ambil angin di luar singgah ke gerai. Ada juga yang terus buat belian atau tunggu pasangan buat keputusan. Secara umumnya ramai ibubapa yang belum pernah melihat kebanyakan mainan-mainan yang saya pamerkan. Hanya ibubapa muda di mana anak sulungnya baru memulakan tadika tahun ini nampak menghargai barang mainan yang saya pamerkan.

Ia satu pengalaman berharga untuk saya. Jika di medium online, saya mempunyai masa yang panjang untuk mendidik ibubapa mengenai kebaikan educational toys. Tetapi dalam aktiviti jualan fizikal, tempoh untuk membina keyakinan itu sangat terhad. Jika ibubapa sudah mempunyai sedikit pengetahuan mengenai educational toys, ini memudahkan saya menyakinkan beliau untuk membuat belian. Tetapi bagi ibubapa yang kali pertama melihat mainan ini, kemudian membanding pula harga dengan mainan-mainan biasa memang sukar untuk memahamkan mereka mengenai kebaikan mainan ini.

Usai majlis berakhir, semakin ramai ibubapa mengambil peluang melihat educational toys yang saya pamerkan. Pelbagai keletah manusia saya pelajari. Ada yang suami berminat, isteri acuh tak auh sahaja. Ada yang mak nak belikan, tapi anak pula tak berminat. Yang ibu berminat tapi poket kurang mengizinkan tu memang banyak la. Lagi ramai yang anak terlompat-lompat nak tapi mak dah seret tangan.

Tak mudah nak berdepan dengan cabaran berniaga secara realiti kan. Itulah hebatnya usahawan-usahawan sebenar yang membina kejayaan tanpa bantuan medium online. Saya baru duduk beberapa jam di situ dah rasa “senangnya duduk kat kerusi buat marketing online saja”. hihi

Apa-apa pun saya bersyukur diberi peluang ini, dengan kos palaburan yang sangat minima. Sekurang-kurangnya ia menjadi panduan kepada saya untuk membuat perancangan-perancangan perniagaan kelak. Jalan perniagaan bukanlah tempah untuk bersenang lenang dengan kerusi empuk, tetapi turun bertemu pelanggan secara terus bagi memenuhi keperluan mereka. In syaa Allah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here