Teks : Sakina Hamid

Foto : Sakina Hamid

Umum mengetahui dunia kanak-kanak adalah bermain. Namun kadangkala kita terlalai dari ‘mengiktiraf’ dunia mereka ini. Terutamanya apabila kita berada dalam mood bukan rutin contohnya melancong, balik kampung mahupun menguruskan ahli keluarga yang sakit.

Secara peribadi saya sendiri pernah terlalai dari menyediakan peluang bermain untuk anak-anak. Satu peristiwa yang saya paling ingati ialah ketika usia anakanda Faqihah 2 tahun. Peristiwa ini mengajar saya bahawa bermain adalah terapi emosi kanak-kanak. Ketika itu kami pulang ke kampung keluarga mertua saya pada cuti hujung minggu. Persiapan pulang agak sederhana kerana merasakan tempoh kami berada di sana singkat sahaja.

Pada malam pertama sampai ke sana, anak-anak tidur dengan baik. Mungkin kerana keletihan. Pada siang keesokan harinya, kebanyakan masa anak-anak dihabiskan dengan bermain di luar rumah dah menonton siaran kartun.

Hanya pada sebelah malamnya saya perasan Faqihah mengorek beg pakaian kami seperti mencari sesuatu. Bila ditanya katanya dia mencari mainan IQ game nya. Ketika itu memang setiap hari Faqihah main blok kayu tersebut. Tapi saya memang tidak menjangka dia akan bertanyakan mainannya ketika kami dalam mood bercuti.

IMG_20151118_111651 IMG_20151130_091517 IMG_20151210_105341

Saya memujuknya menyatakan mainannya tidak dibawa. Dia kelihatan kecewa dan masih mencari-cari sesuatu untuk bermain. Memanglah tiada pilihan kerana buat masa ini hanya mereka berdua sahaja cucu mertua saya. Memang tiada mainan yang dia boleh main di situ.

Alhamdulillah keesokan harinya kami sudah pulang ke rumah. Perjalanan 6 jam dia atas kereta memang sesuatu yang membosankan untuk anak kecil. Dan sungguh menakjubkan sebaik sahaja sampai ke rumah kami, anak-anak menuju ke mainan masing-masing. Anakanda Fateh menuju ke kotak LEGOnya, manakala anakanda Faqihah mula menyusun blok kayunya. Mereka bermain sendirian untuk tempoh yang lama sehingga saya siap mengemas dan sediakan makan malam.

Pengalaman ini menjadi peringatan untuk saya memastikan setiap kali kami akan bermalam di tempat lain, mainan, buku-buku dan bahan untuk melukis hendaklah di bawa bersama. Kerana saya sudah menyedari bermain adalah terapi emosi kanak-kanak.

Baru-baru ini adik saya yang pulang berpantang di kampung menghantar mesej ini kepada saya. Anaknya akan bermain floor puzzle ini setiap hari sebelum tidur. Ia mengingatkan semula kepada saya bahawa bermain adalah terapi emosi kanak-kanak

puzzle