Teringat masa hari pertama anakanda Fateh ke sekolah. Sebelum keluar rumah dia salam dengan ummi. Saya baru sempat pesan 2 ayat dia dah cakap ummi cakap banyak. haha..baru teringat saya memang jarang nak pesan-pesan sangat waktu bersalam tu. Cuma mungkin banyak baca ibu-ibu lain pesan macam-macam waktu anak salam, saya pun terikut.

Secara peribadi saya lebih selesa nasihat anak secara santai. Tiga situasi yang saya kongsikan ini adalah waktu yang saya dapat rasa nasihat itu lebih berkesan kepada anak. Semua ini perlu dilakukan berulang-ulang untuk melihat sejauh mana keberkesanannya.

Semasa Bacakan Buku

Saya paling suka ambil kesempatan selit nasihat semasa bacakan buku pada anak-anak. Apabila ada situasi dalam cerita itu yang ada kaitan dengan anak, saya akan titipkan nasihat yang bersesuaian. Anak dapat mood yang positif akan lebih bersedia untuk menyerap nasihat yang disampaikan.

Selain itu kandungan buku juga jauh lebih kedepan dari kehidupan seharian. Banyak amalan sunnah, peringatan dan panduan akhlak yang anak-anak saya pelajari adalah dari bacaan-bacaan santai kami. Dan pemerhatian saya, anak lebih ingat untuk beramal dengan ilmu yang mereka perolehi dengan cara ini.

Semasa Dalam Kenderaan

Banyak masa bersama anak-anak adalah dalam kenderaan. Apabila kita dapat gunakan masa dalam kenderaan sebaiknya, ia akan menjadi perjalanan yang berkualiti. Biasanya semasa dalam perjalanan hantar anak, titipkan nasihat untuk anak hormat guru, jaga akhlak dan bergaul dengan baik. Apabila pulang, dengar cerita anak dan selitkan nasihat jika ada keadaan yang perlu.

Selain itu, waktu yang penting untuk nasihati anak adalah sebelum pergi ke rumah orang atau ke tempat awam seperti masjid, taman dan pusat membeli belah. Sebutkan 3 perkara penting yang anak perlu patuhi apabila berada di tenpat-tempat tersebut. Jika anak tidak menurut nasihat, terus tegur jika perlu. Semada dalam perjalanan pulang, beritahu anak sebab dia tidak boleh bertindak sedemikian.

Sebelum tidur

Nasihat sebelum waktu tidur sangat digalakkan oleh kebanyakan pakar psikologi. Menurut kajian, waktu ini gelombang beta sedang menguasai minda. Nasihat pada waktu ini akan masuk ke minda separuh sedar. Jadi ia akan lebih banyak mempengaruhi tindakan anak.

Saya sering juga gunakan waktu ini untuk sampaikan nasihat secara santai selepas sesi Cerita Syurga Kami.. Nasihat adalah jelas tanpa ulasan panjang lebar. Akhiri nasihat dengan mengucapkan sayang kepada anak. Ini akan membantu anak tidur dalam mood yang positif.

Semoga perkongsian ini dapat memberi idea kepada ibubapa dalam mencari waktu yang sesuai untuk menasihati anak. Yang penting kita bukan hanya nasihat anak apabila lihat anak buat salah. Tetapi nasihat adalah rutin dalam kehidupan seharian untuk membentuk peribadi yang baik kepada anak-anak. In syaa Allah.