Bahang 2017 makin terasa. Di sana sini ibubapa mula sibuk dengan persiapan dan pendaftaran persekolahan anak-anak. Ada yang hadir kelas percubaan tadika, ada yang anak mula duduki ujian saringan darjah satu dan ada ibu yang dah mula bimbang anaknya akan hadapi peperiksaan awam tahun ini. ^_^

Di mana pun kita itulah warna warni dalam membesarkan anak-anak. Setiap fasa ini akan menjadi kenangan suatu hari kelak. Jadi inilah peluang untuk kita melakukan yang terbaik untuk anak-anak. Semoga Allah ilhamkan kepada kita tindakan yang betul dan memberi impak positif kepada perkembangan anak in syaa Allah.

Dalam semua fasa perkembangan, membaca adalah elemen yang sangat penting untuk dititikberatkan. Semasa anak masih kecil, kita cuba untuk menerapkan minat membaca kepada anak. Apabila anak masuk usia prasekolah, kita mula serius membantu anak supaya boleh membaca.  Sistem pendidikan di Malaysia memerlukan anak-anak sudah boleh membaca apabila melangkah ke darjah 1.

Membaca menjadi penilaian asas untuk membuat pengkelasan murid di sekolah. Walaupun ia jauh menyimpang dari teori kepintaran manusia, namun kita sebagai ibubapa terpaksa menerima hakikat sistem inilah yang anak-anak kita akan lalui . Jadi pastinya antara kebimbangan yang ada di fikiran ibu ialah “Mampukah aku ajar anak membaca?”

Mengajar fonik menggunakan kad imbas

Setiap ibubapa mampu mengajar anak sendiri asalkan bersedia untuk belajar cara yang betul

Soalan ini hanya boleh di jawab oleh kita sendiri. Setiap dari kita berada dalam kondisi yang berbeza. Cuma pada pandangan saya, kita akan mampu mengajar anak membaca dengan syarat kita sendiri sebagai ibu bersedia untuk belajar cara mengajar anak yang betul.

Paling asas, faham apa tahap yang perlu dilalui oleh seorang anak apabila belajar membaca. Bermula dari menanam minat, mengenal huruf, menyebut bunyi huruf, menggabung bunyi huruf seterusnya menyebut perkataan. Setiap tahap ini mempunyai teknik tersendiri untuk diperkenalkan kepada anak. Lebih banyak kefahaman kita mengenai setiap tahap, lebih mudah untuk anak belajar membaca in syaa Allah.

Soalnya, saya bukan cikgu! 😛

Bagaimana saya nak tahu teknik untuk setiap tahap. Ya, itulah pentingnya ilmu. Mengajar bukan hak mutlak seorang guru, tetapi sesiapa sahaja yang mempunyai ilmu. Untuk menjadi guru yang baik, kita perlu ada ilmu yang betul. Tidak semestinya menjadi guru baru boleh mengajar anak. Carilah ilmu-ilmu yang berkaitan dengan perkembangan anak kecil dan proses membaca.

Jalan singkat yang paling berkesan adalah hadir terus ke seminar mengajar teknik membaca. Contohnya bagi Siri Membaca “Bacalah Anakku” mereka mempunyai Siri Kursus Intensif untuk mengajar teknik ajar anak membaca. Kita hanya perlu bayar yuran komitmen, duduk mendengar setiap ilmu yang disampaikan dan sudah boleh mula mengajar anak sendiri.

Semudah itu? Ya semudah itu bila kita ada ilmu yang betul. Dan kelebihan hadir ke kelas juga akan mempertemukan kita dengan kumpulan sokongan yang boleh dirujuk kemudian hari. Lumrahnya pasti ada cabaran dalam setiap proses pembelajaran. Jadi kita boleh berkongsi cabaran itu dengan kumpulan sokongan yang biasanya dinaungi oleh penganjur kursus.

Jadi proses pembelajaran kita tidak terhenti setakat di dewan kursus, tapi berkesinambungan hingga kita berjaya mengajar anak membaca in syaa Allah. Jika kita sudah buat semua ni masih lagi tidak mampu mengajar anak, maka tidak salah kita mencari kelas untuk anak belajar membaca. Ilmu yang kita ada itu dapat membimbing bagaimana untuk kita memilih kelas yang betul dan membantu membimbing anak hingga berjaya.

Tidak rugi kita melabur untuk belajar mengenai pembelajaran anak-anak, kerana ilmu dan pengalaman itu bukan hanya dipakai untuk sehari dua tapi sentiasa membimbing kita dalam membesarkan anak-anak in syaa Allah.

Jadi bukan soalnya “boleh ke saya ajar anak membaca?”, tetapi “Bersediakah saya untuk belajar?” 😀