Kebelakangan ini saya mula melihat kecenderungan anakanda Faqihah untuk menulis. Berbeza sangat dengan satu ketika dulu saya tercari-cari  aktiviti untuk merangsang minatnya menulis seperti dikongsikan di SINI. Sekarang ni pantang dapat kertas ja mula lah dia tulis-tulis huruf. Nanti datang bawakan pada saya suruh baca. ^_^

Bila anak dah tunjukkan kecenderungan untuk menulis, kerja kita menjadi lebih mudah.  Anak memang sudah bersedia untuk belajar. Jadi dengan sedikit bantuan anak sudah dapat menguasai kemahiran menulis, in syaa Allah. Ini adalah antara manfaat memberi anak peluang mendapat manfaat dari kebaikan menconteng.

Aktiviti permulaan menulis yang formal dimulakan dengan melukis corak-corak ringkas. Ia bertujuan untuk melatih jari anak mengawal pensel dengan baik. Latih anak untuk membiasakan diri melukis garisan panjang dan berlekuk. Ini kerana bentuk huruf adalah gabungan dari garis lurus dan lekuk.

Tunjukkan cara melukis corak ringkas dan minta anak lukis semula. Boleh juga dapatkan lembaran aktiviti yang terdapat di dalam kebanyakan buku dan laman web pendidikan untuk melukis corak ini.

Melukis maze mudah

Aktiviti permainan maze dan menyambung titik-titik juga bertujuan untuk melatih kemahiran anak membuat corak. Aktiviti begini mudah didapati di dalam buku-buku aktiviti dan majalah kanak-kanak. Selain anak semakin mahir mengawal pensel, aktiviti sebegini juga dapat menajamkan IQ anak. Aktiviti pembelajaran secara santai ini akan berlalu dengan seronok dan dalam masa yang sama anak sudah semakin mahir mengawal pensel.

Selepas anak sudah seronok melukis corak, kita akan mula membuat aktiviti menyurih pula. Nantikan perkongsian saya nanti ya. ^_^