Susahnya nak bawa anak ke sesi terapi pertuturan

Ini adalah keluhan biasa.

Keluhan  ibubapa yang mempunyai anak yang lambat bercakap mahupun apa-apa kes yang perlu rujukan ulangan di hospital. Hanya yang mengalaminya dapat memahami keluhan ini. Jika tak kuat azam untuk melihat anak kembali ke tahap perkembangan normal, memang mudah untuk berhenti separuh jalan. Itulah yang kerap saya temui.

Cabaran bermula sebelum bawa anak ke sesi terapi lagi. Bagi ibu atau bapa yang bekerja sendiri mungkin boleh sesuaikan masa dengan waktu temujanji. Tapi bagi yang makan gaji memang sukar untuk fahamkan majikan mengenai kepentingan membawa anak ke sesi terapi ini. Sesi persekolahan saya tamat pada jam 3 petang. Masih saya ingat ketika meminta kebenaran pulang awal, sekitar 1.30 petang, saya diajukan soalan bertubi-tubi dari pihak pentadbir sekolah. Bagi ‘orang lama-lama’, anak lambat bercakap akan pulih sendiri bila sampai masanya. Mujurlah pengalaman berjumpa doktor pakar kanak-kanak menjadi pendinding saya mengalah.

Memang saya sangat stress setiap kali minta kebenaran pulang awal. Walaupun saya seorang yang sangat menjaga komitmen semasa sesi persekolahan, buat pelbagai progam pembangunan murid pun masih tidak mendapat tolak ansur sebaiknya dari pentadbir. Memang sangat terkilan. Tapi itu semua tidak melemahkan semangat saya untuk membawa anakanda Fateh ke sesi terapi. Secara umumnya selepas pukul 1.30 petang sudah habis waktu persekolahan. Tapi kerana sekolah saya sesi persekolahan panjang, jadi saya tetap nampak macam pesalah. Telan ja la. -_-

Selepas ‘berjaya’ meloloskan diri dari sekolah, saya akan meredah trafik Pulau Pinang untuk mengambil anakanda Fateh di taska. Perjalanan sejauh 9 km dengan hampir 10 lampu isyarat memang mencabar keimanan. Selepas ambilnya di taska, saya akan memandu ke Hospital Pulau Pinang pula sejauh 10 km pula. Siapa yang biasa memandu di Pulau Pinang pasti faham cabarannya.

Masuk ja ke kawasan hospital, mula pula misi mencari tempat letak kereta. Mana-mana hospital pun ada isu ini kan, sukarnya mendapat tempat letak kereta. Sukarnya hingga saya pernah tak sedar masuk ke tempat letak kereta untuk doktor. Haha.. Nasib la, sapa suruh pengawal keselamatan tinggal pondok jagaan dia. Dalam keadaan kelam kabut mana nak sembat baca semua papan tanda yang ada di situ.

Usai dapat tempat letak kereta, mula lah misi membawa anak ke bilik pegawai terapi pertuturan atau terapi carakerja. Bagi ibu yang ada pengalaman anak lambat bercakap akan faham situasi ini. Anak lambat bercakap biasanya akan datang dengan pakej hyperaktif dan tak faham arahan. 😛 Jadi boleh bayang la bagaimana stress untuk bawa anak berjalan dari tapak letak kereta melalui jalan hospital yang bersimpang siur itu. Memang tak boleh terleka walaupun sesaat! Sedikit sebanyak pemakanan minda yang bersesuaian dapat membantu anak fokus kepada keadaan dengan lebih baik.

Sampai ja di bilik pegawai terapi pertuturan, saya rasa macam baru habis marathon 15km. Fuhh.. Memang sangat menguji ketahanan mental dan fizikal. Tapi itulah ‘bayaran’ kepada sebuah kenaifan masa lampau. Mahu tidak mahu sesi terapi perlu dihadiri sehingga anak menunjukkan perkembangan yang bersesuaian dengan tahap umurnya.

Itulah secebis pengalaman saya, yang saya kongsikan buat pedoman ibu-ibu. Jika benar mahu anak berubah, bersedialah untuk berkorban. Dan tanamkan prinsip dalam hati, benda ni tak lama. Bila konsisten hadir terapi, balik amalkan semua yang diajar in syaa Allah anak akan menunjukkan peningkatan yang cepat. Ini dalam konteks anak normal yang lambat bercakap. Bagi anak dengan kelainan upaya, hanya ibu-ibu yang berpengalaman layak kongsikan.

Semoga catatan ini dapat memberi perangsang ibu-ibu terus berusaha berkorban untuk anak-anak hingga mereka keluar dari kepompong lambat bercakap. In syaa Allah.