Hari ni pertama bulan Mac 2017. Bermakna sudah 2 bulan anakanda bersekolah darjah 1. Alhamdulillah dia sudah mula menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah.

Usai ambilnya dari sekolah setiap hari, becok mulutnya membuat laporan. Laporan mengenai aktiviti pembelajaran dalam kelas, tentang kawan-kawan dan pesanan-pesanan guru. Jika orang lain melihatnya sekarang, mungkin tidak menyangka dia pernah mengikuti terapi pertuturan kerana masalah lambat bercakap.

petua anak lambat bercakap

Tapi itulah realitinya. Dia yang dulunya hanya akan menarik tangan abah atau ummi bila nak minta sesuatu. Semua yang dia nak hanya dengan menunjuk. Nak keluar perkataan ‘susu’ sepatah pun siksa nak tunggu. Namun syukur hari ini perkembangannya sudah berada di tahap normal seperti kanak-kanak lain seusianya.

Kerana itu penting ibubapa memahami bagaimana cara yang betul untuk merangsang pertuturan anak sejak bayi. Proses untuk bercakap memerlukan kepada input dan rangsangan fizikal. Ia bukan proses yang berlaku dalam seminggu dua.

Bercakap dengan bayi

Anak memerlukan input audio bagaimana menyebut sesuatu perkataan, bagaimana membuat ayat dan memberi respon dalam perbualan. Untuk boleh menyebut perkataan dengan baik, anatomi mulut anak juga perlu berkembang dengan optimum.

Sejak bayi ibubapa perlu sentiasa bercakap-cakap dengan anak. Bercakap dengan suara jelas dan sebutan bulat. Sepatah-sepatah supaya anak dapat merakam cara sebutan yang betul di dalam mindanya. Sebaiknya anak melihat mulut ibubapa menyebut perkataan dengan ‘sebutan bulat’. Barulah anak dapat meniru bunyi dan cara menyebut yang betul.

Anak juga perlu sentiasa dilibatkan dalam perbualan dengan orang lain. Latih anak bagi salam, ucap terima kasih dan sama-sama serta perbualan asas lain. Kebiasaan mendedahkan anak sejak bayi dengan rutin ini akan menanamkan di dalam mindanya bagaimana cara berkomunikasi yang betul.

Kalau orang lain tanya anak mak tak perlu sibuk-sibuk buat laporan panjang lebar 😛 Rangsang anak untuk jawab walaupun sepatah. Ini cukup bermakna untuk anak mendapat keyakinan diri untuk bercakap.

petua anak lambat bercakap

Selain itu, cara percakapan harian dengan anak juga sangat penting. Perkara inilah yang akan dipelajari apabila menghadiri sesi bersama terapis pertuturan.

Teringat kali kedua kami datang untuk sesi temujanji, terapis pesan supaya saya bawa makanan kegemaran anak. Saya pun bawa lah biskut tiger. Kemudian terapi suruh anakanda Fateh minta dari saya biskut tu. Bila dia cakap nak ja, seperti kebiasannya saya pun terus unjukkan biskut kepadanya.

Muhammad Fateh bin Shamsul Ery

Asalnya masa bawah setahun anakanda Fateh dah mula sebut suku kata, tapi makin besar dan tak bercakap

Checkmate! terus terapis boleh kesan kesilapan saya dalam berkomunikasi dengan anakanda Fateh. Beliau pun tunjuk cara yang sepatutnya. Kelakar pulak rasa bila ‘diajar’ cara bercakap dengan anak. Tapi dalam hidup ni kita mesti terima hakikat bukan semua benda kita tahu. Jadi bila orang nak bagi ilmu terima ja dengan hati terbuka.

Cara komunikasi yang lebih merangsang pertuturan ialah

Ummi : Fateh nak apa?

Fateh : Biskut

Ummi : Nak biskut?

Fateh : Emm..

Ummi : Nak biskut?

Fateh : ..

Ummi : Nak biskut?

Ummi ulang la sebut ‘nak biskut’ sampai anak ikut sebut juga. Boleh buat gaya tangan untuk suruh dia keluarkan suara emas dia tu. Mula-mula memang jenuh sikit la. Siap guling-guling nak boleh sebut 2 perkataan pun. Terapis dah pesan selagi anak tak sebut jangan bagi, biarlah dia mengamuk pun.

Alhamdulillah selepas beberapa kali praktiskan cara ini, keluar jugak la suara anakanda Fateh dengan susah payahnya. Memang ada budak yang susah nak keluarkan suara dia.

Fateh ni sampai sanggup bila nak minta susu dia sebut fonik ‘S’ ja – ‘sss’. Kan jenuh orang lain nak faham. Waktu duduk dengan kita ok la kan. Bayangkan ada hal kecemasan perlu tinggalkan dia di bawah jagaan orang lain, memang jenuh la nak faham.

Itulah secebis pengalaman saya semasa membantu anakanda Fateh kembali ke tahap perkembangan yang normal. Selain berusaha membuat rangsangan pertuturan setiap hari, saya juga memberinya pemakanan minda sebagai rangsangan dalaman. Alhamdulillah dengan usaha yang berterusan, kita akan melihat hasilnya kelak.