Setiap tahun, pendaftaran awal untuk pelajar darjah 1 tahun berikutnya perlu dilakukan sebelum bulan Ogos. Ketika hendak mendaftar anakanda Fateh, saya tercari-cari sekolah sesi pagi kerana sekolah yang paling hampir dengan rumah adalah sesi petang. Oleh kerana kebanyakan sekolah yang saya survey agak jauh dan berada di laluan yang sesak, saya terpaksa mendaftar untuk sesi petang.

Sehingga akhir tahun, semasa bersembang dengan guru tadikanya barulah saya diingatkan ada sebuah sekolah berhampiran tadikanya yang mempunyai sesi pagi. Sekolah ini berada di dalam kawasan perumahan, jadi saya memang tak teringat semasa buat survey sebelum tu. Oleh kerana laluan ke sekolah ini tidak terlalu sesak, jadi kami bersetuju untuk menghantarnya ke situ.

Saya hubungi pihak SK Sungai Nibung iaitu tempat nama anakanda Fateh sudah didaftarkan. Pembantu tadbir memaklumkan saya perlu mendaftar hari pertama di sekolah ini dulu. Kemudian barulah saya boleh isi borang pertukaran. Mendengar penjelasan itu saya rasa kurang selesa, kerana tiada jaminan berapa lama proses pertukaran itu akan diuruskan. Kalau lambat pasti ia akan menjejaskan mood anak yang dah jumpa kawan-kawan di sini kan.

Sya pun bertanya pengalaman dari guru-guru sekolah rendah. Kebanyakan respon dari guru berlainan sekolah adalah antara 2 ke 3 minggu. Saya mula merasa goyah untuk urusakan pertukaran. Namun memikirkan waktu solat Zohor dan Asar yang sangat kritikal untuk dilaksanakan dalam sesi persekolahan petang, saya menadah tangan meminta bantuan dari yang Maha Mengetahui.

Sehingga hari pendaftaran, saya masih ragu-ragu. Selesai semua prosedur pendaftaran, saya pun masuk ke pejabat sekolah untuk bertanya mengenai proses pertukaran. Alhamdulillah Allah pertemukan saya dengan pembantu tadbir yang sangat positif. Dia sarankan kepada saya untuk isi borang pertukaran dengan segera dan dia bantu untuk proses borang dengan segera di peringkat sekolah.

Jika saya hantar borang yang lengkap kepadanya pada pagi itu, saya sudah boleh menghantar borang itu ke Pejabat Pendidikan Daerah pada sebelah petang. Ada rezeki hari pertama persekolahan sudah boleh mendaftar di sekolah baru.

Saya sangat teruja!

Saya segera pulang ke rumah untuk lengkapkan dokumen. Saya sampai semula ke pejabat sekolah tersebut pada 12.50 tegahari. Saya berselawat sepanjang jalan semoga Allah permudahkan urusan borang ini. Alhamdulillah Allah membuka hati kerani di pejabat itu untuk terus proses borang tersebut walaupun sudah menghampiri waktu rehat. Dan Guru besar juga terus menurunkan tandatangan menyokong permohonan saya, Allahukbar.

Selesai prosedur di peringkat sekolah.

Pada sebelah petang, sekali lagi saya angkut anak-anak ke Pejabat PPD Timur Laut. Ketika sampai ramai ibubapa yang menunggu untuk proses pertukaran. Bila saya serahkan borang, kerani maklumkan dia akan hubungi semula. Saya agak risau kerana beliau maklumkan supaya pergi ke sekolah asal dahulu sehingga dihubungi.

Tidak banyak yang boleh saya lakukan kerana hanya berurusan di kaunter. Saya juga faham bebanan kerja kerani bertugas untuk bertanya itu dan ini. Jadi kami terus pulang sambil berharap segalanya berlaku dengan pantas.

Esoknya hari Jumaat, masih hari bekerja di Pulau Pinang. Namun sepanjang hari telefon saya sepi tanpa panggilan. Saya pasrah untuk menerima anakanda Fateh masih perlu hadir ke SK Sungai Nibung. Saya pun jahit 1 lencana pada baju sekolah yang akan di pakai pada hari pertama. Dalam hati saya masih berharap pertukaran ini berjaya diuruskan dalam minggu pertama.

Alhamdulillah, sekitar 8.30 pagi Rabu saya mendapat panggilan dari pihak PPD memaklumkan proses pertukaran telah berjaya. Ma syaa Allah, syukur pada yang Maha Memudahkan. pertukaran yang dikhabarkan memakan masa 2-3 minggu hanya mengambil masa 2 hari bekerja (Jumaat dan Selasa).

Suami pun terus ke PPD untuk mengambil surat dan uruskan pertukaran anakanda Fateh pada pagi itu juga. Fateh masih sempat masuk ke kelas untuk sesi selepas rehat. Dia juga sempat duduki semula ujian diagnostik darjah 1 sebelum waktu pulang.

Masya Allah syukur pada Allah yang Maha Pengatur, segalanya berlaku dengan cepat. Semoga ia adalah sebaik-baik tempat untuk anakanda Fateh menimba ilmu dan membentuk jatidiri muslim yang diredhaiNya.Ameen.