Teks : Sakina Hamid

Foto : Google

Semalam adalah hari pengajaran untuk saya.

Pengajaran supaya lebih bertanggungjawab dalam berkongsi di media sosial. Hakikatnya saya tidak suka dengan budaya ilmu viral tanpa usul periksa, namun entah bagaimana semalam saya sendiri terbabas.

Ia berkaitan topik ‘Newmoon & Fullmoon’.

Kali pertama saya tahu mengenainya adalah melalui facebook dari seorang yang agak saya hormati. Saya anggapkan ia adalah ilmu baru untuk saya. Tapi tidak pula saya membuat kajian yang mendalam mengenainya. Saya hanya baca seadanya apabila ada rakan-rakan berkongsi maklumat di facebook.

Tahu, rasa boleh dipercayai namun takda la amalkan sangat pun.

Dan semalam saya berjumpa satu perkongsian yang disusun dengan sangat cantik jalan ceritanya. Sekali baca rasa sedap sangat saya pun terus paste di wall saya dengan label #BacaanUmum. Selepas beberapa minit saya dapati post itu aktif dengan LIKE dan SHARE. Ada juga terdetik rasa tak sedap hati. Tapi sebab sibuk biarkan ja rasa tu berlalu.

Selepas waktu tengahari, bila online semula saya dapat mesej personal dari seorang pelajar PHD parasitologist mengenai kekhilafan perkongsian tersebut. Bila dia terangkan mengenai konsep-konsep yang salah dalam tu saya pun nak tepuk dahi. Paling-paling tidak benda yang paling asas sekali dalam tu adalah mengenai kitar hidup. Saya sendiri mengajar sains – kitar hidup bagi setiap fasa ada tempoh matangnya. Kenapa pulak nak dikaitkan dengan bulan!

Masa tu dah terasa kebodohan sendiri. Saya bukak balik facebook tengok masa tu SHARE dah lebih 40. Allahuakbar..ramainya yang dah baca fakta ilmu viral yang salah ni. Saya pun biarkan seketika tak tau nak buat apa. Hanya HIDE ja post tu dari timeline.

Tapi bila saya tengok post tu masih aktif di SHARE, saya terpaksa update permohonan maaf dan hantar kepada semua friend yang SHARE post tersebut. Selepas post tu dipadam barulah saya rasa lega sedikit. Selebihnya saya mohon keampunan ALLAH atas keterlanjuran saya.

Peristiwa ini sangat besar pengajarannya untuk diri saya. Saya merasai sendiri bahana ‘menuntut ilmu viral’ di media sosial. Bila selalu lihat sesuatu ‘ilmu’ itu, kita mungkin akhirnya terikut tanpa kita sedari ianya menyimpang dari kebenaran. Bertambah parah apabila kita pula menjadi agen penyebar ilmu tersebut tanpa menyelidik asal-usulnya.

Walau ‘seindah’ mana pun ilmu itu dibentangkan, ingatlah anjuran Islam untuk mengambil ilmu dari ahlinya. Belajar adab dalam menuntut ilmu supaya kita fahami dari mana sumber kita hendak berguru, wallahualam.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda sebagaimana dalam hadits Abdullah bin Amr bin al-Ash radhiallahu ‘anhuma,

إِنَّ اللهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

“Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla tidak akan mencabut ilmu dari umat manusia dengan sekali cabut. Akan tetapi, Dia akan mencabut dengan mematikan para ulama (ahlinya). Sampai apabila Dia tidak menyisakan seorang alim, umat manusia akan menjadikan orang-orang yang bodoh sebagai pimpinanpimpinan mereka. Mereka ditanya (oleh umatnya) lantas menjawab tanpa ilmu, sehingga mereka sesat dan menyesatkan.” (Muttafaqun ‘alaih)