Alhamdulillah sejak anak masih bayi saya sering membaca perkongsian mengenai mengajar Al Quran pada anak. Saya sangat suka dengan perkongsian sebegini dan menanam hasrat untuk mempraktikkannya kepada anak sendiri.

Antara perkongsian yang sangat memberi inspirasi ialah dari Puan Lina Karim, ibu kepada adik Darwisy dan Darwisya yang sangat cerdik. Pasti menjadi impian semua ibubapa mempunyai anak yang cerdik dan hafaz Al Quran seperti mereka.

anak pencinta Al Quran

Sejak usia anakanda Fateh sekitar 1 tahun, saya sudah mula memperkenalkan huruf hijaiyah kepadanya. Saya hanya pasangkan VCD lagu Al Furqan yang rancak itu untuk perkenalkan bunyi huruf.

Dia sangat suka dengan lagu dan animasi di dalam VCD ini. Pada waktu lapang, saya tambah dengan mengimbas kad huruf berbaris kepadanya. Alhamdulillah dia mengikuti aktiviti pembelajaran ini dengan gembira.

VCD Lagu AlFurqan
VCDLaguAnakBelajarAlQuran

Sekitar usia 2 tahun, anakanda Fateh sudah menguasai bacaan baris atas di dalam buku Al Furqan. Saya masih ingat semasa masih berpantang kelahiran anakanda Faqihah, dia akan datang membawa buku Al Furqan bila mahukan perhatian. Kerana dia tau ummi pasti tak akan menolak bila dia datang untuk mengaji. Bijak kan!

Namun oleh kerana saya kurang istiqamah mengajar, progres bacaannya pun turun naik. Pernah juga aktiviti mengaji ini ‘bercuti’ dalam tempoh yang lama. Kemudian bersambung pula bila ummi bersemangat ^_^

Walaupun begitu, saya dapat melihat bagaimana mengajar Al Quran pada awal usia sangat bagus untuk perkembangan fisiologi mulut kanak-kanak. Antara teknik untuk bercakap dengan kanak-kanak dengan berkesan ialah dengan ‘sebutan bulat’ dan jelas.

Anak Lambat Bercakap

Semasa mengajar Al Quran, semua hurufnya perlu disebut dengan jelas. Jika tidak betul cara sebutan tidak akan keluar bunyi huruf tersebut. Jadi anak perlu menggerakkan otot-otot pada mukanya supaya dapat sebut huruf Al Quran dengan betul. Ia satu terapi pertuturan yang sangat baik.

Selain itu, sebutan huruf Al Quran juga banyak merangkumi sebutan ejaan. Contohnya situasi semasa anakanda Fateh mula bercakap. Dia sebut ‘ikan kerung’. Mudah nak betulkan kerana dia sudah boleh sebut huruf jim. Ada beberapa perkataan lagi yang dia salah sebutan saya hanya betulkan dengan sebutan huruf Al Quran.

Al Furqan Cepat Baca AlQuran

Apabila mula membaca bacaan bersambung, anak perlu belajar mengawal pernafasan. Jika melihat anakanda Fateh membaca memang sangat simpati, nampak sangat bersusah payah. Tapi saya tetap beri ruang utnuk dia belajar mengaji kerana sangat yakin ada kebaikan untuk dia.

Yang penting kita jangan paksa. Saya tau mulutnya cepat letih, jadi semasa belajar mengaji saya akan bagi ruang untuk dia rehat sekejap pergi berguling-guling ke. Nanti sambung balik.

anak pencinta Al Quran

Dalam usia 7 tahun ini pun masih jelas kesukaran dia semasa mengaji, namun Alhamdulillah dia sudah boleh membaca ayat-ayat Al Quran walaupun dalam bersusah payah. Bila tengok cara adiknya baca memang nampak perbezaan yang ketara. Tapi Allah itu maha Adil, dia mengurniakan setiap hambanya dengan bagian yang terbaik.

Sehingga hari ini, saya sangat yakin mendedahkan anak kepada Al Quran sejak kecil memberi impak yang sangat positif dari pelbagai aspek termasuk dalam merangsang pertuturan.

Selain mengamalkan bacaan Al Fatihah sebagai rutin harian, memperkenalkan bacaan Al Quran pada awal usia sangat membantu perkembangan anak-anak. In syaa Allah anak yang sudah menguasai bacaan Al Quran lebih mudah untuk belajar membaca dan ilmu lain.