Petang semalam lepas ambil anakanda Fateh dari sekolah terus singgah solat di surau. Senang solat kat surau, tak banyak gangguan. Kalau kat rumah kejap pegang buku la, kejap belek mainan jenuh nak ulang-ulang suruh solat kan. Tak kata dekat anak, kita yang umur dah banyak ni pun mujahadah nak solat awal waktu kan. -_-

Seperti kebiasaannya bila singgah di masjid atau surau, anak kami tiba-tiba seperti mendapat energi luar biasa. Faqihah yang asalnya tenang-tenang saja bila berada di luar, tiba-tiba akan melompat sana sini sepenuh hati. Macam tak cukup lantai pulak. Kiranya bila keluar dari masjid biasanya memang anak berpeluh-peluh sampai nak lencun la.

Saya perhatikan ja, jarang la nak menegur sangat. Bukan ganggu jemaah lain pun, biasanya melompat di balai terbuka bahagian depan masjid. Saya hanya anggap aktiviti ni anak enjoy.

Sampailah baru-baru ni saya dengar perkongsian dari Puan Siti Sarah Samuri, Pengetua Pusat Perkembangan Kanak-kanak Kinderkaizen Penang. Antara yang dikongsikan oleh beliau adalah mengenai syarat keluasan pusat Kinderkaizen. Pusat kinderkaizen mesti dibuka di premis ruang terbuka (tiada bilik-bilik) dan mempunyai keluasan lebih dari 60 kaki persegi.

Ini kerana teori perkembangan kanak-kanak menunjukkan, mereka akan berada pada tahap imaginasi yang optimum apabila berada dalam keluasan 60 kaki persegi. Bila mendengar teori tu, saya mengiyakan dalam hati. Ini lah yang anak-anak syurgaku selalu lalui. Kami sekeluarga tinggal di apartment 3 bilik. Jadi bertemu dengan tempat yang luas adalah nikmat untuk anak-anak saya.

Dan saya teringat pernah membaca perkongsian dari Ustaz Hasrizal, penulis saifulislam.com. Menurut beliau, semasa menjadi Imam ni Belfast, seringkali anak-anak di situ berlari akan berlari sepuas hati di masjid. Suasana semasa waktu rehat persekolahan di masjid itu gegak gempita. Tegur pun tak jalan, hanya boleh kawal sahaja. Ini mungkin kesan dari anak-anak di sini membesar di dalam rumah-rumah kecil di belfast city. Dapat berada di tempat yang luas adalah syurga untuk mereka.

Begitu juga kehidupan kebanyakan kita pada hari ini, yang rata-rata berhijrah ke bandar. Andai berpeluang tinggal di rumah teres pun syukur Alhamdulilah. Namun kebanyakan kita yang berhijrah ke bandar-bandar besar masih menyewa mahupun  membeli rumah apartment. Jadi perlulah sentiasa memastikan anak-anak kecil diberi peluang untuk meneroka alam yang luas tanpa batasan dinding.

Bawalah anak-anak ke masjid pada waktu-waktu solat. Bawalah anak-anak bermain di padang permainan yang luas pada waktu petang. Beri peluang kepada mereka untuk membina imaginasi tanpa batasan. Pada waktu cuti, bawalah anak bercuti ke tempat-tempat yang anak boleh berlari sepuas hati mereka. Tanpa halangan dinding dan perabot.

Begitu juga ketika dalam perjalanan, beri perhatian kepada emosi anak-anak yang sedang membesar juga. Apabila nampak anak mula tak senang duduk, berhenti di tempat yang anak boleh lepaskan tenaga mereka. Biarkan mereka bermain sepuasnya sebelum sambung perjalanan. Memang akan lambatkan sedikit waktu perjalanan, tapi in syaa Allah emosi anak akan lebih stabil dan mengganggu emosi kita hendak memandu.

Fahami keperluan anak kecil, in syaa Allah mereka akan lebih mudah diurus. Selamat beramal!