Hujung minggu baru-baru ini, saya ke Kuala Lumpur untuk hadiri kelas pemasaran blog di Akademi Denaihati. Saya pergi sendirian supaya suami mudah uruskan anak-anak di rumah sendiri. Sebelum ini pun saya sering pergi sendirian jika sekadar untuk hadir ke kelas. Ia lebih selesa untuk anak-anak malah menjimatkan perbelanjaan.

Cuma sebelum ini kebiasannya saya akan menaiki kapal terbang. Saya bertolak dari Pulau Pinang seawal pagi, dan pulang seusai kelas selesai. Walaupun tempoh di dalam pesawat itu singkat, tapi waktu menunggu dan perjalanan ke lapangan terbang memakan masa yang lama.

Untuk perjalanan kali ini, suami mencadangkan saya menggunakan perkhidmatan bas. Memandangkan anak pun sudah semakin berdikari, jadi saya boleh tinggalkan mereka di bawah jagaan suami lebih lama. Setelah melalui pengalaman menggunakan bas, saya merasakan ianya jauh lebih selesa berbanding menaiki kapal terbang.

Antara perkara yang menjadikan saya selesa dengan perjalanan ini ialah

Tiada waktu menunggu

Saya tinggal berhampiran dengan stesen bas Sungai Nibung. Jadi saya hanya perlu berada di terminal bas sekitar 5 minit sebelum bas bertolak. Akses kepada bas juga sangat mudah, hanya berjalan beberapa meter dari tempat letak kereta dah sampai ke pintu bas.

Sedangkan sebelum ini semasa menaiki pesawat, saya perlu bersedia sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu berlepas. Seringkali tempat letak kereta juga penuh. Jadi anak-anak hanya hantar di depan muka pintu. Mesti la tak puas hati tak dapat pun tengok kapal terbang. Masa hantar saya naik bas, anak-anak pun merasa naik bas seketika.

Keluarga hantar naik bas

Anak-anak menghantar saya menaiki bas di Terminal Bas Sungai Nibung

Selesa untuk bersolat

Perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur mengambil masa 5 jam. Jadi akan ada waktu solat yang perlu dilangsaikan ketika dalam perjalanan. Tambahan pula saya tinggal dalam kawasan sungai nibung, jadi tak dapat solat jamak di terminal bas.

Syarikat bas nice memilih stesen minyak petronas sebagai tempat rehat. Jadi waktu ini boleh digunakan untuk bersolat dengan selesa dan mencari makanan pelapik perut. Tapi bukan semua syarikat bas akan berhenti rehat dengan tenang. Pernah beberapa tahun lepas saya menaiki bas yang mengejar trip, hanya berhenti sekitar 5 minit di hentian R&R kecil. Dia bunyikan hon kerana menunggu saya solat maghrib. Sehingga sekarang saya bimbang kejadian tu berulang namun Alhamdulillah pengalaman kali ini lebih baik dari sebelumnya.

Tempat duduk yang selesa

Tempat duduk kebanyakan bas ekspress adalah lebih lebar dan boleh di laraskan mengikut keselesaan. Ini memberi keselesaan optima walaupun perjalanannya lebih panjang. Berbanding tempat duduk dalam pesawat Air Asia yang sempit dan rapat, memang hanya duduk dengan statik sepanjang penerbangan. Lain ceritanya jika terbang dengan tiket kelas perniagaan ataupun pesawat lain.

Tempat duduk dalam Bas Nice

                   Tempat duduk dalam bas yang luas dan selesa

Ada akses internet

Bagi peniaga online seperti saya, talian internet adalah antara sumber harian yang penting. Apabila menaiki bas, saya masih dapat berhubung dengan pelanggan Kedai Cikgu. Malah saya juga dapat mengakses maklumat melalui web browsing pada bila-bila masa. Masa yang berlalu tidak terasa kerana masih dapat ‘bekerja’ di dalam perjalanan. Dan ini tidak berlaku apabila  menaiki kapal terbang.

Dekat dengan akses kenderaan awam lain

Apabila menggunakan perkhidmatan bas, kita boleh memilih untuk turun  di stesen yang mempunyai kemudahan komuter yang akan membawa kita ke destinasi seterusnya. Begitu juga pilihan untuk perjalanan pulang nanti. Jadi pengurusan masa itu dapat dijangka dengan lebih baik.

Ia berbeza apabila menaiki kapal terbang. Kebiasaannya saya hanya menggunakan perkhidmatan Air Asia yang perlu ke KLIA II. Jadi tempoh perjalanan perlu ditambah dengan 33 minit untuk menaiki  KLIA ekspress ke KL Sentral dan sebaliknya. Masa perjalanan menjadi lebih panjang dan kos juga berganda.

Harga Tiket KLIA ekspress

      Harga Tiket KLIA ekspress ini hampir sama dengan harga tiket kapalterbang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur

Teringat ketika saya travel menggunakan kapal terbang sebelum ini. saya seringkali tidak dapat habiskan kelas seisi extra kerana mengejar waktu berlepas. Kemudian bila sampai ke terminal KLIA II, saya perlu berjalan kaki sangat jauh sebelum dapat sampai ke tempat berlepas. Saya seringkali kepenatan apabila menaiki kapal terbang hanya kerana hendak mengejar waktu berlepas.

Dan Alhamdulillah semua ini tidak berlaku apabila saya travel menggunakan bas.

Al kulli hal, saya  bersyukur kerana kemudahan kenderaan awam yang ada memudahkan akses kita ke tempat yang hendak dituju. Walaupun kelas diadakan di Kuala Lumpur, tapi saya masih lagi dapat pergi dan pulang dalam tempoh yang singkat.