Kemahiran menulis anak 2 tahun

0
86
views

Baru-baru ini ada seorang ibu bertanya kepada saya. Anaknya yang berusia 2 tahun sudah mula menggunakan pensel. Tapi tak nampak bentuk pun apa yang dilukisnya. Kalau suruh ikut tulisan garis putus-putus pun tak nak. Tapi anak itu boleh menceritakan apa yang dilukisnya.

Anak suka menconteng

Pertanyaan ibu ini normal. Saya sendiri semasa anak sulung tertanya-tanya, apa lah yang anakanda Fateh suka conteng ni. Tak nampak bentuk pun, tapi dia selalu buat. Nampak dia sangat berminat dengan aktiviti tu. Jadi kita sebagai ibu biar ja la kan. Sampailah satu hari saya baca buku “Didik Anak Jadi Pintar tulisan Rohani Sheikh Omar. Dalam buku ini dimuatkan perkembangan anak dari pelbagai aspek mengikut tahap umur.

Pada usia 2 hingga 3 tahun, anak akan seronok menggunakan pensel. Biarkan anak melukis garis, bulatan dan bentuk-bentuk lain. Apa sahaja lukisan anak, puji usahanya. Sebaiknya gantung hasil lukisan supaya mereka rasa dihargai dan bersemangat mencuba lagi.

Jadi anak lukis bentuk-bentuk yang pelbagai adalah kemahiran asas sebelum pandai melukis objek. Saya dapat melihat bagaimana contengan anakanda Faqihah bermula dengan garis-garis pendek dan kemudian diikuti garis yang lebih panjang. Peringkat seterusnya adalah anak mula belajar melukis bulatan.

Setelah mahir melukis garisan panjang dan bulatan, barulah mereka akan gabungkan bentuk-bentuk ini dalam satu gambar. Kebiasaannya anak akan mula melukis bentuk manusia. Ketika ini barulah sesuai untuk ibubapa perkenalkan cara menulis huruf. Namun tidak perlu terlalu khusus seperti menulis mengikut garisan putus-putus di dalam buku latihan yang tulisannya bersaiz kecil. Hanya sekadar untuk anak faham bentuk huruf sahaja seperti dikongsikan di SINI.

Ini kerana pada usia ini penekanan utamanya adalah pada kemahiran mengendalikan pensel, bukan hasil tulisannya. Jadi beri peluang sebanyaknya untuk anak menconteng dengan bebas. Pelbagaikan medium menulis seperti menggunakan pensel warna, warna magik, pen marker dan krayon. Ini semua akan memberi pengalaman yang berbeza kepada anak.

Sediakan bahan untuk menulis. Boleh gunakan kertas A4, kertas saiz besar mahupun whiteboard. Setiap medium ini ada kelebihan tersendiri. Saya suka sediakan kertas A4 kerana ia lebih mudah diurus. Jadi saya memang memberi kebebasan anak menggunakan kertas untuk menulis tanpa had. Cuma kawal untuk anak gunakan kertas sepenuhnya dan tidak membuat sepah.

Puji setiap hasil kerja anak walaupun hanya sekadar garis-garis kecil. Pujian ibubapa sangat memberi impak kepada keyakinan untuk anak terus menulis. Sehingga sekarang anak-anak saya sangat teruja apabila saya melekat hasil kerja mereka di dinding. Kadangkala apabila tetamu datang, mereka akan tunjukkan hasil lukisan mereka. Ia menjelaskan kepada kita bahawa hasil kerja mereka sangat besar nilainya.

Jadi pada usia ini, tidak perlu terlalu mengejar anak mampu mengikut arahan kita menulis di buku. Tapi yang jauh lebih penting adalah membina suasana menulis yang menyeronokkan bagi anak-anak. In syaa Allah.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here