Kesan Al Fatihah kepada Pertuturan Anak

0
238
views

Al Quran adalah kitab suci yang diturunkan sebagai panduan hidup kita sebagai muslim. Segala isi kandungannya adalah untuk membimbing kita agar sentiasa dalam jalan kebenaran. Al Quran juga adalah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Maka segala yang berkaitan dengan Al Quran pastinya dapat membawa kebaikan yang banyak kepada kehidupan kita sebagai seorang muslim.

Teringat saya semasa hadir ke seminar A.N.A.K.K.U beberapa bulan lepas, Dr Siti Rohana berkongsi pengalamannya yang sangat unik berkenaan Al Quran. Katanya beliau hanya mula mengajar anak membaca Al Quran selepas usai 3 tahun. Tetapi sejak anak lahir beliau sudah amalkan untuk bacakan Al Fatihah kepada anaknya selalu.

Sambil menyusukan, mendodoikan, memandu dan sebagainya, beliau akan mengulang-ulang bacaan Al Fatihah. Dan kesannya menjelang usia 3 tahun, anaknya langsung tidak pelat dan dapat menyebut bacaan Al Quran dengan makhraj yang betul. Mengagumkan! Dengan persediaan ini, anaknya dapat menguasai bacaan Al Quran lebih cepat.

Dan andai bacaan Al Quran yang bermakhraj pun anak dapat kuasai, pertuturan harian akan menjadi sangat mudah baginya. Perkataan harian yang kita guna tidak memerlukan kepada penekanan sebutan yang mendalam. Jadi sangat mudah untuk anak ini bertutur dengan baik tanpa pelat.

Sebenarnya bila dihayati sebaiknya, bukankah Al Fatihah itu adalah ummul kitab, ummul Quran. Pasti banyak kebaikan yang tersembunyi di dalamnya. Hanya kita sahaja yang tidak menggali kebaikan yang banyak telah dinukilkan oleh ulama-ulama terdahulu. Terlalu banyak buku-buku yang membuat huraian mengenai Al Fatihah kan, rugi sekali kita tidak mengambil manfaat darinya.

Menurut Dr Rohana, membaca Al Quran juga adalah rukyah. Semasa kecil, anak mengalami proses perkembangan yang sangat pesat. Bayangkan ketika sel-sel di dalam badan anak sedang bekerja, kita rukyahkan dengan bacaan Al Fatihah. Masya Allah, pasti besar kesannya kepada proses tumbesaran anak-anak.

Salah satu huraian saintifik yang dikongsikan ialah mengenai sel protien yang bergerak melalui semua DNA dalam badan. Sel protien ini bertujuan untuk membetulkan kelainan pada kromosom di dalam badan. Jika kelainan ini dibiarkan, boleh berlaku mutasi gen yang membawa kesan sampingan kepada perkembangan anak. Dan masya Allah bila kita merukyah anak dengan Al Fatihah, sel ini bekerja  dalam penuh barakah. Kesannya yang tak mampu dijangkau oleh fikiran cetek kita.

Amalan yang ringkas, hanya bacakan Al Fatihah. Tapi apabila diamalkan dengan istiqamah, sangat banyak kebaikan yang kita akan perolehi. Yang penting kita perlu berpegang, bukan Al Fatihah yang memberi kebaikan itu kepada kita. Tetapi rahmat dan kasih sayangNya jualah yang menjadikan kehidupan kita ini penih dengan kebaikan.

Wallahualam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here