Semalam saya kongsikan gambar ini di facebook peribadi saya. Alhamdulillah banyak respon yang saya terima dari ibu-ibu lain. Rata-rata menyokong dan ramai juga baru tersedar ianya adalah sesuatu yang penting dalam perkembangan anak-anak.

Tulis nama sendiri

Tulis nama sendiri adalah tanggungjawab asas anak sebagai seorang pelajar.

Ya, saya sebenarnya agak kecewa apabila melihat ibubapa yang sehabis baik buat semua benda kepada anak-anak. Sedapatnya anak celik mata semuanya sudah tersedia dengan sempurna. Dari baju yang siap diletak depan mata anak, botol air pun kita isikan air, buku sekolah pun kita kena belek jadual dan segala sesuatu kita yang atur.

Saya tidak katakan itu salah, tapi pada pandangan saya ia tidak membentuk peribadi bertanggungjawab dalam diri anak kita. Anak tidak tahu bagaimana untuk mengurus diri seperti yang kita selalu buat bila kita tiada di sisinya. Anak juga tidak yakin dalam tindakannya. Buat satu benda tanya, nanti baru gerak sikit dah tanya. Dan akhirnya ibu buat keputusan untuk dia uruskan semuanya.

Senang.

Senang untuk hari ini tetapi menjadi bebanan untuk diri kita dan anak pada masa hadapan. Anak ini tidak boleh membawa diri tanpa bimbingan kita. Dan kita juga akan bimbang untuk melepaskan anak-anak tanpa pantauan dari kita. Masing-masing terasa sukar apabila berjauhan.

Anak urus kerja rumah

Anak kecil sudah mempunyai minat untuk buat kerja rumah. Gilap minat ini dengan menyemai rasa tanggungjawab dalam diri anak

Dan bukan setakat itu sahaja. Anak ini juga akan menjadi beban kepada orang lain. Bila ke sekolah, dia banyak bergantung dengan kawan dan guru-guru apabila ada hadapi cabaran walaupun sedikit. Mereka juga kurang rasa tanggungjawab terhadap barangan peribadi. Masakan tidak, semuanya ibu yang pastikan bawa dengan cukup. Pensel warna penuh kotak. Bila anak guna, dia tengok warna tak cukup pun dia tak kisah!

Saya menulis berdasarkan pengamatan saya sendiri. Kebanyakan pelajar tak kisah pensel pen mereka hilang. Saya selalu nampak dengan mata sendiri pen jatuh dari poket/kotak pensel tapi pelajar tidak bersusah payah untuk ambil. Mereka biarkan begitu sahaja. Kalau nak lebih yakin boleh sembang-sembang dengan pekerja pembersih sekolah. Siap mereka ada koleksi pen, pensel, bekas air, stokin dan segala macam barang yang pelajar tinggal.

Anak urus kerja rumah

Ramai remaja hari ini tidak tahu cara menyapu dengan betul, apatah lagi mencuci bilik air

Dan yang pasti pelajar-pelajar ini bukan anak orang senang pun. Saya pernah menjadi guru di sekolah yang majoriti waris mereka adalah pekerja pembersih majlis perbandaran. Tetapi anak mereka membeli pen baru hampir setiap hari. Dasyat. Sangat membebankan. Tapi itulah kesan bila anak tidak dilatih rasa tanggung jawab sejak kecil. Mereka akan menjadi beban yang ditanggung oleh ibubapa sepanjang hidup mereka.

Tapi..

Lambat kan nak suruh anak. Lepas tu hasilnya pun tak memuaskan.

Betul. Memang lambat bila kita nak latih anak buat satu benda. Kena tunjuk cara buat yang betul. Kena perhatikan cara dia buat. Kena pantau dari jauh. kena betulkan bila salah. Kena ingatkan bila lupa. Dan banyak lagi. Menurut kajian anak perlu diingatkan 200 kali sebelum sesuatu perkara itu menjadi tabiat. Fuh!

Banyak kerja kan. Takpa..biar banyak kerja sekarang, ketika kita masih kuat tubuh badan ni. Jangan waktu tenaga kita dah berkurang nanti masih lagi terpaksa buat benda yang sama kepada anak. Pada ketika itu anak ini memang akan menjadi beban mental dan emosi. Biarlah kita bersusah-susah sekarang mendidik rasa tanggungjawab anak mengurus diri.

Anak urus kerja rumah

Mendidik rasa tanggungjawab semasa anak masih kecil lebih mudah berbanding menyuruh berulangkali bila mereka semakin meningkat umur

In syaa Allah kelak anak yang sudah mantap sahsiah ini akan keluar sebagai seorang anak muda yang memberi manfaat kepada agama dan bangsa. Bukan masih mengharap kepada bantuan kita untuk mengurus hal-hal remeh dalam kehidupannya. Dan buat motivasi ibu-ibu dalam memupuk tanggungjawab dalam diri anak-anak, ingatlah peringatan dari Allah ini

“Dan hendaklah orang-orang takut kepada Allah, bila seandainya mereka meninggalkan anak-anaknya, yang dalam keadaan lemah, yang mereka khawatirkan terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan mengucapkan perkataan yang benar”. (an-Nisa’: 9)

Semoga kita tidak hanya bimbang tinggalkan anak dalam keadaan tidak berharta dan berilmu, tetapi juga bimbang meninggalkan anak dalam keadaan kurang bertanggungjawab. Ingatlah, kita tak akan selamanya berada di sisi anak, jadi manfaatkan masa untuk membimbing anak menjadi insan yang terbaik, in syaa Allah.