Teks : Sakina Hamid

Foto : Google

Kenal ABC adalah salah satu asas untuk memahami ilmu. Lebih awal anak kenal ABC dan boleh membaca, lagi banyak Kelebihan yang anak boleh terokai. Namun yang penting, kita tidak boleh melawan fitrah mereka yang suka bermain itu dengan membebankan mereka dengan perkara yang berat. Kelak anak-anak akan jemu dan hilang minat untuk belajar.

Ada pelbagai cara untuk belajar secara santai dengan anak-anak, dan salah satunya ialah Mainan Teka ABC. Mainan ini sesuai untuk anak yang sudah belajar ABC beserta contoh-contoh benda bagi setiap abjad. Ia memerlukan sekurang-kurangnya 2 kanak-kanak disamping seorang dewasa sebagai tukang tanya.

kandungan_a

Mainan ini sesuai untuk anak yang sudah tahu perkataan bagi setiap Alfabet

Kaedah mainan teka ABC  mudah sahaja, hanya sebutkan nama huruf dan anak-anak itu perlu sebut nama benda-benda yang bermula dengan huruf tersebut secara bergilir-gilir.

Contoh

Maktok : Huruf ‘L’

Fateh : Lembu

Fauzan : Lampu

Fateh : Lilin

Fauzan : Lebah

Fateh : ..

Permainan terhenti apabila mereka tiada idea untuk menyebut perkataan lain. Dan Mainan Teka ABC bersambung dengan huruf lain pula. Semasa bermain permainan ini tempohari, Fauzan 6 tahun dan Fateh 5 tahun. Mereka gembira bermain tanpa bertanya siapa yang memang atau kalah. Jika anak yang lebih besar dan suka berlumba, mungkin boleh diletakkan syarat siapa yang dapat jawab lebih, dia dapat markah. Boleh diubahsuai mengikut kreativiti ibubapa.

Permainan ini sangat mengujakan anak-anak kerana mereka mahu menjadikan senarai jawapan mereka panjang. Ia menjadi kepuasan apabila dapat menyebut sebanyak mungkin contoh-contoh berkaitan huruf tersebut. Ia mudah untuk dilakukan tanpa apa-apa persediaan dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja untuk mengisi masa terluang.

alphabet

ABC Card – Bahan yang sesuai untuk anak mengenal alfabet secara santai

Dan aktiviti ini sebenarnya adalah pengukuhan secara santai atas apa yang anak-anak pelajari sebelum ini. Mereka belajar untuk mengeluarkan maklumat dan secara tidak langsung ia menjadi ‘mental excercise’ yang sangat bagus. Semoga minat anak-anak kita terhadap ilmu akan semakin bertambah melalui aktiviti-aktiviti sebegini. Wallahualam.