Menadah Ilmu di Seminar A.N.A.K.KU

6
224
views
seminar-early-edukids

Alhamdulillah, pagi Isnin yang cerah di Pulau Pinang yang Indah. Minggu baru dengan semangat yang baru. Semoga semua perancangan kita pada minggu ini berjalan dengan lancar. Ameen.

Kita perlu jelas dengan apa yang kita nak anak jadi

Itu pembuka minda yang saya dapat dalam bengkel Early Edukids anjuran Thinker Space semalam. Saya sudah lama mengikuti tulisan Founder Thinker space, iaitu Dr Siti Rohana melalui Facebook Fauzan N Siti. Alhamdulillah semalam Allah beri peluang saya menadah ilmu secara langsung dengan wanita yang hebat ini.

Poster seminar early edukids penang

Dr Siti Rohana menekankan kepentingan pembelajaran awal kanak-kanak. Ia adalah asas yang dimasukkan ke dalam diri anak-anak, sebelum mereka mula keluar meneroka dunia luar. Dalam 7 tahun pertama, emosi anak sangat kuat dengan ibubapanya. Kerana itu kita perlu mengambil peluang untuk memasukkan elemen-elemen penting ke dalam pemikiran anak.

Soalnya, apa yang kita nak ajar pada anak-anak?

Dan bagaimana caranya?

Prinsip penting yang perlu dipasakkan dalam minda anak-anak yang paling asas ialah cintakan Allah, cintakan rasul dan cintakan ibubapa. Anak yang berpegang teguh pada prinsip ini in syaa Allah akan selamat dalam menghadapi cabaran kehidupan mereka. Dalam setiap tindakan, anak akan fikir adakah ia mendapat ‘kelulusan’ dari Allah, rasul dan ibubapanya.

Untuk menanamkan prinsip ini dalam diri anak-anak, ibubapa tidak semestinya memiliki kelulusan dalam bidang pendidikan agama pun. Cukup dengan kita mempunyai pengetahuan asas mengenai Allah dan Rasulnya kita sudah boleh mula menyemai benih-benih kefahaman kepada anak kita.

Contohnya untuk mengenalkan Allah, cukup kita menyebut nama Allah dalam setiap perbualan harian dengan anak. Contohnya bila bagi anak makan

Adik dah kenyang?

Alhamdulillah. Allah yang bagi adik kenyang.

Simple kan. Tapi benda ini apabila dilakukan berulang-ulang setiap hari sejak anak usia setahun, akan mempasakkan akidah yang kukuh ke dalam hati anak-anak. Ia akan melahirkan generasi anak-anak yang ingat Allah dalam setiap segi kehidupan, in syaa Allah.

Panjang dah ni. Ini baru satu prinsip, dan saya hanya terangkan satu contoh sahaja ^_^ . Dalam seminar ini ditekankan cara untuk menanamkan 8 prinsip asas ke dalam jiwa anak-anak. Dan setiap satu prinsip ini disertakan dengan perincian contoh dalam kehidupan seharian.

Masya Allah, hebat sekali ilmu Allah untuk ibubapa praktikkan. Dan Alhamdulillah saya bertemu dengan ‘silibus’ yang komprehensif ini pada usia anak sulung saya mencecah 7 tahun. In syaa Allah masih banyak peluang untuk saya mengubah cara kita dalam mendidik anak-anak.

seminar-early-edukids

Pun begitu saya rasa amat bertuah ibu-ibu yang seawal anak usia bayi sudah bertemu dengan insan-insan hebat ini. Untung sangat kerana seawal anak bayi kita sudah jelas apa yang hendak dicorakkan dalam kehidupan anak-anak. Menurut Dr Siti, jika kita sendiri tidak jelas dengan apa yang kita mahu anak jadi, bagaimana kita dapat membentuk anak yang benar-benar ‘menjadi’.

‘Menjadi’ dalam konteks anak-anak bukan lagi bila besar nak kerja apa. Anak-anak kita akan mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih besar dari sekadar ‘kerja apa’. Bila mempunyai matlamat yang jelas, kita tidak akan mengikut trend orang lain besarkan anak kerana kita tahu apa matlamat kita. Dan kita akan sanggup untuk bersabar dalam mendidik kerana nampak ke mana hendak dituju.

Suka saya menyeru ibubapa menanam azam untuk menadah ilmu dengan ibubapa yang telah berjaya mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berkualiti untuk ummah. Kebanyakan kita tidak mempelajari ilmu keibubaapan secara formal, sedangkan itu adalah amanah yang amat besar kita pikul setelah bergelar ibu dan ayah.

Cukup-cukuplah kita mendidik anak dengan ‘orang tua-tua kata’ dan ‘nanti orang kata’. Anak-anak yang nak menyumbang kepada ummah perlu dibentuk dengan betul dan istiqamah, bukan sekadar ikut-ikutan in syaa Allah.

Gambar peserta seminar early edukids penang

 

Previous article5 Tips Memuji Pencapaian Anak
Next articleCerita Syurga Kami
Ibu kepada 2 orang cahaya mata. Sangat berminat dengan Pendidikan Awal Kanak-kanak. Menulis hasil dari pembelajaran sendiri dan pengalaman. Membekalkan produk pendidikan kanak-kanak untuk aktiviti homeschool. Boleh dihubungi melalui sms/whatsapp : +60194715407.
SHARE

6 COMMENTS

  1. […] Pada saya, anak bersekolah atau tidak itu adalah perkara kedua. Yang penting tempoh masa anak bersama kita hendaklah digunakan sebaiknya untuk merangsang potensi anak-anak. Baca sebanyak-banyaknya kaedah untuk merangsang perkembangan anak. Kenali anak sebaiknya dari segi minat, cara belajar dan jenis kecerdasan. Buat aktiviti untuk rangsang perkembangan motor, latih daya fokus dan koordinasi badan setiap hari. Yang penting, sebagai muslim tanamkan akidah dan prinsip hidup seorang muslim sejak kecil lagi seperti yang saya pelajari dari Seminar A.N.A.K.K.U. […]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here