Menconteng Membantu Pembentukan Kemahiran Menulis

5
99
views

Anak suka menconteng?

Alhamdulillah.. Ya, ucapkan Alhamdulillah kerana anak kita sedang melakukan sesuatu yang sangat bagus untuk perkembangannya. Menurut kajian, anak berusia sekitar 2 tahun akan mula menunjukkan kecenderungan untuk menconteng. Ia mungkin lebih awal jika anak sudah biasa melihat orang lain menulis di hadapannya.

Menconteng adalah asas kepada kemahiran menulis dan melukis. Anak yang kerap menconteng akan menunjukkan minat untuk menulis dan melukis tanpa paksaan. Hasil kerjanya juga bagus dan kebiasaannya tulisan mereka juga lebih cantik dan kemas. Permulaannya semudah dengan memberikan anak pensel dan kertas seperti saya kongsikan di SINI.

Pembentukan motor halus

Paling asas, apabila anak menconteng, dia akan belajar mengendalikan pensel. Dia akan melatih otot-otot kecil pada tangannya untuk menggenggam pensel supaya tidak terlepas. Latihan yang kerap akan memudahkan anak memegang pensel dengan betul apabila belajar menulis kelak. Selain itu kemahiran ini penting untuk anak menguruskan kehidupan seharian seperti memegang sudu, memberus gigi, menggunakan gunting dan sebagainya.

menggunting
Perkembangan motor halus yang baik membantu anak mengendalikan gunting dengan baik

Semasa menconteng, anak sedang belajar untuk melakar bentuk garisan dan lekuk. Semakin lama, anak dapat menhasilkan garisan yang lebih panjang. Pada satu peringkat, anak akan mahir membuat lekuk dan bulatan. Ini semua adalah kemahiran asas yang akan digunakan semasa belajar menulis dengan betul kelak.

Melatih daya fokus

Peluang menconteng juga akan membantu anak melatih daya fokusnya menjadi lebih panjang. Sebagaimana yang kita sedia maklum, tempoh fokus untuk anak kecil sangat singkat. Kebiasaannya, semasa anak melukis mereka sangat leka. Jika asalnya hanya ambil masa 3 minit, ia bertambah ke 5 minit, 10 minit dan begitulah seterusnya.

Kebiasaan untuk memberi perhatian kepada sesuatu perkara untuk tempoh yang panjang ini sangat membantu membentuk daya fokus yang lebih baik. Jadi apabila belajar menulis kelak, anak dapat duduk lebih lama dan berlatih menulis hingga mahir.

Melatih koordinasi tangan-mata

Koordinasi tangan-mata juga dibentuk dengan baik ketika aktiviti menconteng. Mata anak akan mengikuti hasil lukisannya dan tangannya lincah melakar di sana sini. Mata akan dapat menyelaras aktiviti tangan dengan cekap. Semakin lama menconteng, anak sudah faham had sempadan kertas. Tiada lagi masalah anak menconteng melebihi had kertas. Anak juga dapat mengagak dengan baik tinggi rendah dan kedudukan setiap huruf semasa belajar menulis.

Kanak-kanak menconteng

Keyakinan Diri

Kebabasan menconteng juga membentuk keyakinan diri anak. Anak yang dibiarkan bebas menconteng apa yang ada di dalam imaginasinya akan merasa yakin dan lebih berdaya saing. Ia akan bertambah positif apabila kita memuji hasil kerjanya dan mempamerkan di dinding. Usaha-usaha kecil ini sangat besar impaknya kepada pembentukan keyakinan diri anak-anak termasuklah semasa belajar menulis.

Dengan semua kebaikan di atas, in syaa Allah anak yang diberi peluang untuk menconteng dengan bebas akan lebih bersedia apabila hendak belajar menulis kelak. Mereka sudah melengkapkan diri dengan kemahiran asas menulis. Hanya dengan sedikit tunjuk ajar dan dorongan, anak sudah boleh menulis dengan betul.

Semoga ibubapa hari ini sudah tidak gusar melihat anak menconteng, kerana kita sedar ia adalah proses perkembangan yang amat berharga. In syaa Allah.

Previous articleKemahiran Asas Untuk Menulis
Next articleKelebihan Kad Menulis WOW
Ibu kepada 2 orang cahaya mata. Sangat berminat dengan Pendidikan Awal Kanak-kanak. Menulis hasil dari pembelajaran sendiri dan pengalaman. Membekalkan produk pendidikan kanak-kanak untuk aktiviti homeschool. Boleh dihubungi melalui sms/whatsapp : +60194715407.
SHARE

5 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here