Teks : Sakina Hamid

Foto : Sakinah Hamid & Google

Keyakinan diri adalah aset penting kepada seseorang individu. Pelbagai teori, modul, seminar wujud dimana-mana untuk membimbing individu mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi. Dan terlalu banyak kos dikeluarkan untuk membangunkan keyakinan diri individu dalam masyarakat kita.

Namun hakikatnya, keyakinan diri adalah satu nilai yang hadir secara semulajadi dalam setiap individu. Jika dilihat kepada proses tumbesaran kanak-kanak, mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam mencuba sesuatu. Tidak ada rasa ragu-ragu mahupun rasa bersalah jika melakukan kesilapan dalam kehidupan harian. Namun hanya setelah mereka terdedah bahawa sesuatu tindakan itu adalah ‘salah’, mereka akan mengubah eskplorasi kepada perkara lain.

Namun keyakinan diri mereka masih lagi tinggi dari aspek lain. Sayangnya apabila menjejak dunia persekolahan, meningkat remaja dan seterusnya memasuki alam pekerjaan, kita terpaksa ‘dibantu’ untuk keluarkan semula keyakinan dari diri. Dan ia bukanlah proses yang mudah.

Alangkah ruginya keyakinan diri yang hadir secara semulajadi dalam diri anak-anak tidak digilap dengan sebaiknya sejak kecil. Saya tidak berminat untuk mengulas mengenai sistem pendidikan dan masyarakat, kerana itu di luar kemampuan kita untuk mengubah.

Namun kita mempunyai peluang yang besar untuk menggilap keyakinan diri anak-anak kita seawal mungkin sejak di rumah. Carilah segala medium yang boleh didedahkan kepada anak-anak untuk mengasah keyakinan pada kemampuan diri sendiri. Belajar menjadi ibubapa yang sentiasa merangsang keyakinan diri anak-anak, bukan cepat untuk mengutuk kesilapan anak-anak.

Educational Toys mampu memberikan peluang untuk anak membina keyakinan diri melalui bermain

Setiap kesilapan anak adalah peluang untuk kita mengubah persepsi kehidupannya. Jika kita terus merendahkan percubaannya, sedikit demi sedikit keyakinan diri yang semulajadi akan terhakis. Sebaliknya jika kita menjadikan setiap percubaan anak-anak itu sebagai panduan menjalani kehidupan yang lebih baik, alangkah kentalnya kemampuan anak itu menghadapi cabaran kehidupan.

Mulakan sekarang, dalam setiap detik kehidupan. Walaupun sekecil memberi sokongan anak membuat Jenga  mahupun menyusun puzzle . Ia pasti usaha anda yang tidak sia-sia. Mungkin kira rasa ianya remeh, namun sangat besar nilainya pada anak kecil. Tunjukkan minat pada setiap usaha anak-anak, in syaa Allah suatu hari kelak anak akan mudah untuk menghargai segala usaha kita.

Ayuh gilap keyakinan diri sendiri dan anak-anak!