Pagi hari minggu yang lepas, kami sekeluarga pulang ke rumah abah di Alor Setar. Oleh kerana merancang untuk keluar awal, saya tidak sediakan sarapan pagi di rumah. Dah alang-alang nak keluar boleh la cari kedai roti canai kan. Kalau saja-saja nak keluar untuk makan kat luar tu memang tak kuasa la. Buang masa ja rasanya 😛

Dah sampai kedai tengok boleh tahan ramai jugak pengunjungnya. Pilihan yang ada nasi berlauk dan roti canai. Kami pilih untuk makan roti canai walaupun menjangkakan mungkin berlaku kelewatan. -_-

Dan bagi mengisi masa menunggu, saya mendapat idea untuk membuat aktiviti bersama anakanda Fateh. Mula-mula saya suruh dia kira berapa ramai pengunjung dalam kedai tersebut. Ada hampir 40 pengunjung ketika itu.

aktivitidikedaimakan

Saya tanya, kalau seorang bayar seringgit, berapa mak cik kedai tu dapat? Yea..40 ringgit. Untuk anak besar sikit boleh guna istilah ‘untung’. Dan boleh juga tukar-tukar nilai untung tu dari 50 sen, seringgit, 2 ringgit untuk anak-anak yang dah belajar darab.

Kemudian saya buat aktiviti menambah. Saya suruh anakanda Fateh sebut semua harga di papan tanda gerai roti canai. Lepas tu saya ubah suai soalan supaya dia dapat menambah

– Makan roti canai 2 keping berapa
– Makan roti canai 1 keping + roti telur berapa
– Makan roti canai + teh ais

Alhamdulillah aktiviti berlangsung lebih 10 minit dengan penuh ceria sehingga tuan kedai perasan kami dah lama menunggu. Dia pun pergi ingatkan pengusaha roti canai mengenai pesanan kami. Ala kulli hal alhamdulillah walaupun masa menunggu lama, kami masih dapat mengisinya dengan aktiviti bermanfaat.

Semoga kita sentiasa mengambil peluang mengisi masa-masa berharga anak dengan aktiviti yang mengayakan ilmu. In syaa Allah bila dah bermula, ia akan jadi aktiviti yang menyeronokkan walaupun menunggu lama. Tapi kalau hari-hari dok hadap kedai makan memang la bosan kan. Sekali sekala ok la.