Teks : Sakina Hamid

Foto : Sakina Hamid

Merungkai dan mencantum – dua aktiviti yang mampu membuatkan anak kecil terleka untuk tempoh yang lama. Antara mainan yang melibatkan aktiviti ini ialah blok plastik, puzzle dan mainan rungkai cantum yang lain. Selama ini saya hanya membiarkan anak melakukannya dengan keyakinan ia bagus untuk anak. Itu sahaja.

Sehinggalah saya terbaca di dalam buku 365 Tip Didik Anak Gaya Nabi tulisan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki. Dalam bab ke 34 dinyatakan ibubapa perlu menyokong anak yang cenderung dengan aktiviti merungkai dan mencantum. Beliau membawakan sebuah hadis yang menunjukkan Rasulullah s.a.w sering  memberikan tunjuk ajar dan galakan kepada anak-anak.

Sebagaimana yang direkodkan dalam sebuah hadis

Abu Said Al-Khudri r.a. menceritakan, “Suatu hari ketika Rasulullah s.a.w sedang berjalan, baginda ternampak seorang anak muda sedang melapah kulit kambing dengan cara yang salah. Baginda kemudiannya datang kepada anak muda itu dan menunjukkan cara melapah kambing dengan betul.”

Direkodkan oleh Imam Abu Daud

Marilah kita mengikut contoh teladan Rasulullah dalam mendidik anak-anak. Tugas kita sebagai ibubapa bukan sekadar membelikan mainan, tetapi juga duduk bersama mereka untuk membantu mereka menyelesaikan aktiviti merungkai dan mencantum.

Ini juga bertepatan dengan konsep Educational Toys, dimana anak-anak perlu bermain dengan bimbingan ibubapa untuk mendapatkan hasil yang lebih optimum. Anak yang seringkali ditemani oleh ibubapa semasa bermain bukan sahaja mendapat manfaat dari mainan tersebut malah mempunyai keyakinan diri dan pemikiran yang lebih matang.

Semoga kita semua dikurniakan keberkatan masa untuk membantu pemkembangan anak dengan lebih menyeluruh, in syaa Allah.