Alhamdulillah petang semalam saya berpeluang menuntut ilmu tafsir Al Quran dengan pendakwah kontemporari, Doktor Danial Zainal Abidin. Saya telah mula berguru secara langsung di dalam kelas ini sejak 10 tahun yang lalu. Kelas ini adalah percuma dan diadakan setiap petang Ahad . Cuma ada ketikanya tertentu saya tidak dapat mengikuti kelasnya secara konsisten seperti ketika tahun pertama kelahiran kedua-dua anak saya.

Doktor Danial Zainal Abidin pendakwah kontemporari

Kuliah tafsir bersama Dr Danial Zainal Abidin, setiap Ahad jam 3 petang di Surau Kompleks Belia dan Sukan, Batu Uban Pulau Pinang.

Namun Alhamdulillah walaupun tidak berguru secara khusus dalam bidang tafsir, sedikit sebanyak kehadiran ke kelas ini telah membantu membina kerangka pemikiran mengikut Al Quran dan Sunnah dalam diri saya. Ia adalah asas ilmu yang sangat berharga dalam kehidupan kita bagi memastikan kita tidak terpesong dari kebenaran.

Kandungan penuh untuk kuliah tafsir semalam boleh diikuti di

Antara intipati kuliah tafsir semalam ialah mengenai aset “Doa Anak Yang Soleh”. Anak soleh akan menjadi aset apabila kita meninggal dunia kelak kerana doanya akan terus di dengar Allah walaupun kita telah meninggal dunia sekian lama. Jadi Doktor Danial menekankan pentingnya ibubapa mendidik anak-anak dengan Pendidikan Islam yang betul.

Pendidikan Islam yang betul bukan sekadar anak pandai mengaji Al Quran, tapi jauh lebih dalam dari itu. Yang lebih utama sebagai ibubapa ialah menerapkan kefahaman apa yang Islam mahukan dari kehidupan kita sebagai seorang muslim. Anak perlu diajar memahami dan menyakini akidah yang benar. Akidah yang ditanam sejak kecil ini akan menjadi penyuluh dalam setiap tindakan anak kelak.

Qurratun ayyun

Penghayatan akidah ini memerlukan kepada kefahaman yang betul dan proses berpanjangan. Ia bukan satu silibus yang hanya dipelajari untuk peperiksaan. Tetapi anak perlu sering diingatkan sehingga ia melekat dalam fikiran mereka tanpa ragu-ragu. Menanam akidah dalam fikiran anak kecil tidak perlu terlalu teoritikal, sehingga perlu menghafaz semua benda. Mulakan dengan mengaitkan semua benda yang anak buat dengan Allah.

Allah yang bagi kita makan

Allah yang bagi kita seronok

Allah yang bagi kita ibu ayah

Setiap hari anak yang sentiasa disebut-sebut dengan kebesaran Allah akan dapat mengukuhkan keyakinannya bahawa Allah lah satu-satunya tuhan yang menciptakan segalanya. Inilah aset utama yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim. Kerana akidah yang betul inilah yang akan memandu kita membuat pilihan yang tepat dalam kehidupan.

Selain akidah, anak perlu diterapkan prinsip-prinsip agama dengan betul. Anak perlu faham dan amalkan kewajipan, rukun Islam, rukun iman halal haram dan lain-lain. Penghayatan prinsip agama dengan betul ini akan menghasilkan buah akhlak yang terpuji. In syaa Allah anak kita akan membesar sebagai anak yang menjadi penyejuk mata hati kita dan menjadi aset yang sangat berharga apabila kita kembali kepada Allah kelak.

Doa Quratu A'yun atau penyejuk mata

Amalkan baca doa ini sebanyak banyaknya dan bayangkan wajah pasangan dan anak-anak ketika membacanya