Menaiki bas adalah perkara yang biasa bagi orang dewasa. Kebanyakan kita pernah melalui fasa menaiki bas sehingga jemu semasa zaman persekolahan mahupun bekerja.

Namun kebanyakan anak-anak zaman sekarang ini sejak kecil hanya menaiki kenderaan sendiri. Jadi pengalaman pertama menaiki bas ini sesuatu yang  menyeronokkan dan menjadi pelajaran baru dalam kehidupan mereka.

Saya sudah lama merancang membawa anak-anak menaiki bas awam sebagai aktiviti semasa cuti sekolah. Alhamdulillah semalam Allah realisasikannya dengan peluang membawa anak menaiki bas ekspress. Kami menaiki bas ekspress dari Terminal bas Sungai Nibung ke Alor Setar. Walaupun perjalanan hanya memakan masa 2 jam lebih banyak juga pengalaman berharga yang anak-anak kutip dalam pengalaman pertama mereka menaiki bas semalam.

Kali Pertama anak naik bas

Kali pertama bawa anak naik bas ekspress dari Penang ke Alor Setar

Sebagaimana kanak-kanak lain, anak-anak teruja bila dimaklumkan kami akan menaiki bas untuk pulang ke kampung. Hampir 20 kali anak bertanya jam sementara menunggu jam 1 tengahari -__-

Apabila sampai di Terminal Bas Sungai Nibung, anakanda Fateh hendak mengheret beg troli yang berat itu. Oleh kerana bimbang kelewatan, saya berjanji akan memberi peluang kepadanya membawa beg itu kemudian. Rupanya dia rasa seronok melihat orang mengheret beg dan meletakkan beg di bahagian perut bas.

Ini kerana ketika dia menghantar ummi menaiki bas ke KL minggu lepas, dia melihat penumpang bas lain berbuat demikian. Waktu itu saya hanya membawa beg sandang,rupanya dia teringin letak beg di bahagian bawah bas tu. ^_^

Semasa di dalam bas, pelbagai persoalan muncul di mulut mereka. Apabila nampak pemandu bas sedang mengira bilangan penumpang, anakanda Fateh bertanya adakah itu pemandu bas. Ia nampak remeh bagi kita kan, tapi ia satu ilmu baru untuk anak kecil.

Anakanda Fateh juga bertanya bagaimana pemandu bas tahu yang kami hendak ke Alor Setar. Saya terangkan yang bas itu memang membawa semua penumpang ke Alor Setar. Dia juga bertanya adakah bas mempunyai minyak yang cukup untuk membawa kami sampai ke dentinasi. ^_^

tengok pemandangan luar bas

Anak teruja melihat pemandangan dari tingkap bas

Apabila bas mula bergerak meninggalkan terminal bas, anak-anak sangat teruja melihat pemandangan dari tingkap bas. Maklumlah dapat lihat semua benda dari sudut pandangan yang berbeza dengan menaiki kereta.

Mereka menyebut semua benda yang sempat dilihat sepanjang jalan raya. Anak-anak teruja kerana semua kereta dan motorsikal nampak kecil. Dan apabila bas berselisih dengan lori, mereka kagum dapat ‘seiring’ dengan lori yang selama ini dilihat besar.

Apabila bas melalui Jambatan Pulau Pinang, terdengar anakanda Fateh menyebut “oo.macam ni rupanya laut”. Ya, menaiki bas membolehkan anak melihat ke dalam laut dengan mudah. Mereka melihat air laut sepanjang jalan walaupun selama ini anakanda Fateh tak suka melalui jambatan. Dia selalu berharap kami tak perlu melalui jambatan tersebut. Mustahil la kami dapat keluar dari Pulau Mutiara tanpa melalui jambatan atau feri kan.

Oleh kerana bas masih mempunyai tempat kosong, pemandu melencong masuk ke Terminal Bas Butterworth. Ketika dlam perjalanan ke sana, anak dapat melihat tempat penyimpanan kontena yang akan dibawa melalui dermaga.

Tempat simpan kontena

Tempan menyimpan kontena di dermaga Butterworth

Selepas bas mengambil penumpang dan masuk semula ke lebuhraya, anak-anak mula mengantuk. Tambahan pula Faqihah makan ubat selsema sebelum menaiki bas. Bila mencari posisi yang selesa untuk tidur, muncul soalan di mulut anakanda Fateh. “Kenapa kita tak balik kampung dengan kereta ja ummi?” hihi..begitulah lah adatnya kan. Bila dah terbiasa dengan keselesaan.

Tapi disebabkan sudah mengantuk akhirnya kami tertidur sampai ke Alor Setar.

Dan apabila sampai ke Terminal Bas Shahab Perdana, anak-anak hanya memandang dengan hairan. Bila bas berhenti dan saya mengajak mereka turun, Fateh bertanya kenapa pemandu bas tak hantar kami sampai ke rumah tokwan!

Lucu tapi itulah persoalan yang bermain di minda mereka kan. Selagi tak melalui sendiri pengalaman tu, kita pun tak tahu apa yang anak-anak belum tahu.

Selepas turun dan bas, anakanda Fateh sangat gembira dapat membawa beg troli yang berat itu. Alhamdulillah ada anak teruna yang ringan tulang, moga-moga rajin sampai akhir hayat.

Bawa beg troli

Anakanda Fateh gembira dapat heret beg troli ini ke kereta

Selepas keluar dari terminal bas, kami dijemput oleh kakak saya. Dan anakanda Fateh pun gembira dapat bertemu dengan sepupunya Fauzan.

Alhamdulillah ia pengalaman pertama anak-anak menaiki bas dengan gembira. Semoga banyak yang anak-anak pelajari secara pemerhatian mahupun ulasan dari guru kehidupan mereka ini. Semoga di lain masa Allah memberi kelapangan kepada kami menaiki pelbagai kenderaan awam yang lain pula.

Bagi ibubapa yang mencari aktiviti untuk anak-anak di cuti hujung minggu ini, bolehlah bawa anak-anak merasai peluang menaiki kenderaan yang belum pernah dicuba. In syaa Allah ia menjadi pengalaman roadschooling yang indah untuk anak-anak.