Sekarang ni kebanyakan kita masih dalam mood bercuti sempena Tahun Baru Cina kan. Seronok tengok kawan-kawan berkongsi cerita balik kampung dan melancong ke sana sini bersama keluarga. Semoga apa jua aktivitinya dinikmati dengan penuh gembira bersama sesi keluarga.

Alhamdulillah pagi semalam anak-anak kami bersama sepupu mereka berpeluang menyertai pertandingan mewarna yang dianjurkan oleh Darulaman Park dengan kerjasama pengurusan Didi&Friends. Saya mendapat maklumat ini dari sekolah kakak yang terletak dalam daerah Kubang Pasu.

Kami sampai seawal jam 8.50 pagi. Alhamdulillah kami dapat tempat letak kereta yang hampir dengan tempat pertandingan. Saya agak bimbang untuk uruskan 4 pendaftaran seorang diri kerana kakak saya masih dalam perjalanan. Bimbangkan keselamatan anak-anak yang masih belum pandai bawa diri di khalayak ramai. Mujurlah bila sampai ke tempat pendaftaran, belum ramai peserta yang tiba. Dan seketika kemudian kakak saya pun sampai.

Proses pendaftaran berjalan lancar. Kami perlu mengisi borang penyertaan dari pihak penganjur. Yuran rm10 dikenakan bagi 1 pendaftaran. Setiap peserta mendapat 1 botol air mineral bersama Roti Planta Suria yang sedap. Selepas seisi pendaftaran, kami mengisi masa dengan bergambar bersama banting Didi&Friends.

Selepas itu anak mengambil tempat di meja yang disediakan. Bilangan meja yang disediakan agak terhad. Kebanyakan peserta membawa meja sendiri untuk keselesaan anak mewarna. Masih ramai yang melakukan pendaftaran walaupun jam sudah menunjukkan 9.30 pagi. Anak-anak kami sudah jemu menanti permulaan pertandingan.

Pelbagai ragam peserta yang hadir boleh diperhatikan. Ada yang datang dengan hanya sekotak kecil pensel warna dan ada yang datang dengan berkotak-kotak pensel mewarna pelbagai jenis. Saya sendiri tak pernah lihat pensel warna yang menghasilkan warna floresence yang cantik. Memang dangkal sangat pengetahuan saya dalam bidang seni lukis ni.

Sekitar jam 9.50 pagi, kertas lukisan untuk diwarna pun diedarkan. Kertas lukisan bersaiz A4 ini memuatkan gambar watak Didi&Friends, sama seperti yang saya cetak dari website mereka. Rasa rugi pula tak bagi peluang anak berlatih bersungguh-sungguh sebelum ni. Memang ada perancangan tapi sebab dakwat printer habis saya pun tak sempat nak uruskan sebelum balik ke kampung.

Apa-apa pun anak sempat la faham mereka perlu warna ikut watak sebenar. Saya juga dah maklumkan perlu warna semua bahagian tanpa tinggal kawasan berwarna putih. Yang lucunya belum pun pihak penganjur umumkan untuk mula mewarna, kebanyakan peserta di bahagian prasekolah dan tahap 1 sudah mula mewarna. Termasuklah anak-anak saya. 😛

Saya pun malas nak larang sebab mereka dah memang jemu duduk kat kerusi hampir sejam menanti program bermula. Pihak penganjur sendiri mengedarkan kertas lukisan sangat lambat kerana kedudukan peserta yang tidak diatur sebaiknya dari awal.

Jadi apabila pengacara majlis umumkan majis bermula, sudah separuh lukisan anak-anak kami dah siap warna. Biar jer la, suka-suka ja kan. Masa mewarna masih ada 1 jam. Saya pun suruh anak-anak tambah hiasan di luar gambar dan warnakan untuk isi masa yang masih panjang.

Selepas beberapa kali anak bangun dari meja, akhirnya saya terpaksa mencari pihak penganjur untuk menghantar hasil kerja anak-anak. Yang lucunya bila anak-anak saya hantar, ramai kanak-kanak lain pun hantar jugak. Ya lah, kanak-kanak bawah 10 tahun ni mana boleh duduk di meja lama-lama kan.

Jadi lepas hantar kertas mewarna, kami pun duduk berkelah di bawah pokok-pokok rendang di sini. Pelbagai bekal yang kakak saya bawa untuk dinikmati bersama. Anak-anak pula seronok berkejaran bermain belon buih. Kira-kira 15 minit kemudian, pihak penganjur mengumumkan acara pertandingan mewarna sudah tamat. Dan selepas itu maskot Didi&Friends akan datang ke pentas program.

Jadi saya pun bawa anak-anak ke pentas program. Semua berasak-asak nak duduk dekat pentas. Sekali rupa-rupanya maskot ni semua keluar dari kabin berdekatan tempat mereka bermain belon buih tadi. Rugi ja sibuk berasak-asak ke pentas. Sekejap ja anak dah tak nak tengok sebab panas dan bising dengan bunyi speaker.

Dan mereka pun kembali bermain belon buih.

Hihi..lucu pulak memikirkannya. Anak tak minat ibu-ibu pulak yang meriah. Dalam pada itu saya bersyukur anak tak minat dengan suasana hiruk pikuk tu. Saya pun penuhi permintaan mereka nak bagi akan ikan di tasik walaupun di tengah panas terik.

Rupa-rupanya tak banyak ikan yang nak makan di waktu tengahari terik ni. Ya lah, biasa kan petang-petang baru ramai yang datang bagi makan. Kami pun kembali ke tempat berkelah tadi dan merancang untuk pulang sahaja. Sayup-sayup terdengar dari pentas penganjur memaklumkan acara penyampaian hadiah akan berlangsung.

Kami acuh tak acuh ja sebenarnya sebab melihat hasil lukisan anak-anak yang biasa-biasa sahaja. Kecenderungan anak-anak adalah melukis, bukan mewarna. Sambil angkat beg-beg nak balik, terdengar pengumuman penerima saguhati yang pertama “NUR FAQIHAH BINTI SHAMSUL ERY”

Terus terjerit “Anak aku menang” dan kami dua beranak pun jalan lah laju-laju ke pentas utama. Faqihah pun menjerit seronok bila tau dia menang. Tapi tak sempat sampai penganjur dah teruskan dengan penerima seterusnya. Anak punya pasal mak gigih la juga maklumkan kepada jawatankuasa penganjur kat tepi pentas tu.

Alhamdulillah selepas habis umumkan pemenang untuk kategori bawah 6 tahun, pengacara majlis panggil semua anakanda Faqihah untuk ambil hadiah di pentas. Yang agak terkilan dia hanya dapat hadiah tambahan yang dibawa pihak Darulaman Reality kerana hadiah dari pihak Didi&Friends tak cukup. Tapi takpa lah, rezeki naik pentas pun dah jadi pengalaman berharga untuk dia kan.

Anakanda Fateh bersama sepupu-sepupunya setia menanti penyampaian hadiah sampai ke hujung. Namun mereka kecewa kerana hingga ke akhir nama tidak diumumkan. Jadi kami pun pulang kerana maklong dah janji nak bagi hadiah Aiskrim Panda.

Memang kategori untuk 10 tahun ke bawah agak sengit. Kerana bersaing dengan murid darjah 3 dan 4 yang sudah mahir mewarna. Memang kebanyakan pemenang kategori ini ialah dalam kalangan mereka. Maka ramailah anak-anak seusia Fateh dan sepupunya yang kecewa.

Takpa la, anak-anak perlu belajar untuk menerima persaingan dalam hidup kan. Asalkan kita sebagai ibubapa tidak meletakkan tekanan kepada anak, maka ia hanya berlalu sebagai satu episod kehidupan. Apa-apa pun saya gembira kerana dapat bawa anak-anak rasai sendiri pengalaman dan suasana pertandingan mewarna. Ada rezeki boleh lah cari tempat lain pula nanti.