Hari ahad lepas, saya bersama anak-anak telah merancang untuk pulang semula ke Pulau Pinang dengan menaiki bas. Ibubapa dan kakak saya sekeluarga sama-sama menghantar kami ke Terminal Bas Shahab perdana dengan meriah. Bila dah sampai ke kaunter tiket barulah tahu bas yang dijadualkan pada jam 4.45 petang itu rosak. Maka perjalanan pulang kami pada petang itu dibatalkan.

Usai pulang dari terminal bas, kami singgah Taman Jubli Emas di Jalan Suka Menanti. Memang sudah menjadi rutin setiap kali pulang ke Alor Setar untuk kami singgah di sini membawa anak bersiar-siar. Selain boleh bagi makan ikan di tasik buatan, banyak permainan kanak-kanak di sediakan di sini. Suasana memang meriah dengan pelbagai keletah kanak-kanak.

Kanak-kanak main belon buih di padang

Antara aktiviti yang menarik di sini ialah bermain belon buih sabun. Terdapat pelbagai pilihan alat bermain belon yang menghasilkan bentuk belon yang pelbagai

Namun petang ini menjadi satu pengalaman yang mencemaskan di sini. Ketika itu saya dan anak-anak sedang leka memberi makan ikan tilapia di tepi tasik buatan itu. Banyak keluarga bersama anak masing-masing di tepi tasik itu. Tiba-tiba ada seorang kanak-kanak yang berdiri terlalu hampir dengan tebing tasik itu tidak dapat mengawal dirinya. Kanak-kanak itu saya anggarkan sekitar usia 5 tahun.  Ibu serta ibu saudaranya menjerit melihat keadaan itu tetapi tidak sempat menariknya.

Dalam sekelip mata dia sudah terjatuh ke dalam tasik. Dia berada sekitar 1 meter dari tebing tasik. Terasa seperti hendak tercabut jantung kerana saya tidak tahu kedalaman sebenar tasik itu. Bila melihat kanak-kanak itu dapat berdiri di dalam air, timbul rasa lega di di dalam hati. Ketika itu ibunya hanya menjerit-jerit memanggilnya ke tepi. Kanak-kanak itu kaget seketika.

Ketika itu saya secara spontan menjerit kepada ibunya supaya turun ke tepi tasik. Saya dapat melihat kanak-kanak itu bingung seketika. Namun tiada siapa dari keluarganya yang bertindak. Semua hanya menjerit sahaja. Alhamdulillah kuasa Allah menggerakkan anak itu berjalan sendiri ke tebing. Syukurlah kejadian itu berlaku ketika musim hujan, jadi air melimpah sehingga je tebing. Tempat di mana kanak-kanak itu masih cetek lagi.

Kasut hanyut di dalam tasik

Sebelah kasut kanak-kanak ini yang hanyut memberi ‘pengajaran’ kepada anak-anak saya mengenai bahaya bermain terlalu dekat dengan tebing

Usai anak kecil itu naik ke tebing, ibunya terus menariknya ke tepi. Saya melafazkan rasa syukur anak itu selamat. Anak itu masih terpinga-pinga dan tidak menangis. Namun saya sangat terkilan apabila ibupanya terus menyerangnya dengan marah-marah dan memegangnya dengan kasar sekali. Ibunya mengulang-ulang menyatakan dia sudah berpesan supaya tidak bermain terlalu tepi. Selepas dimarahi bertubi-tubi, anak kecil itu pun mula menangis.

Dan ini mengimbau kenangan demi kenangan anak sendiri mengalami peritiwa mencemaskan seperti itu.

Anakanda Fateh pernah ‘hilang’ seketika di tempat meletak kereta. Anakanda Faqihah pernah mengalami Peristiwa Menggerunkan di Taman Permainan. Dan saya cuba mengimbau bagaimana respon saya apabila mereka terselamat. Alhamdulillah kedua-duanya saya sambut bukan dengan amarah, walaupun belum sampai tahap mampu memeluk untuk menenangkan mereka.

Ya, realitinya apabila berlaku situasi mencemaskan seperti ini kita sangat bimbangkan keselamatan anak. Seluruh hormon adrenalin dirembes dalam sekelip mata. Segala gambaran buruk muncul di fikiran. Namun suka saya mengajak ibubapa semua berfikir, biasanya bila kita ‘mendapat’ semula anak kita dalam keadaan selamat, apa tindakan kita?

Peluk anak?

Bertenang?

Atau marahkan anak?

Syukur sangat andai kita mampu memeluk anak yang kebingunangan itu dengan penuh kasih sayang. Pastinya kita adalah ibubapa yang sangat hebat menguruskan emosi. Namun realitinya lebih ramai yang bertindak dengan situasi yang ketiga kan.

Pelik kan.

Sepatutnya kita gembira dan bersyukur kerana anak dah selamat. Sebaliknya kita melepaskan kelegaan dengan marahkan anak? Pelik dan aneh, tapi itulah realiti yang berlaku. Apa puncanya?

kejar-belon-di padang

Dunia kanak-kanak adalah bermain. Sebagai ibubapa kita perlu pastikan anak-anak bermain dalam situasi yang selamat

Sebenarnya semasa berlaku keadaan yang mencemaskan, ibubapa akan rasa bersalah atas kecuaiannya. Dia rasa bersalah tidak memerhati anaknya dengan baik. Dalam kebimbangan itu dia akan memanjat doa semoga anaknya selamat. Dan apabila muncul sahaja batang hidung anaknya, dia pun merasa lega. Namun keegoan manusia menjadikan dia bertindak sebaliknya.

Dia melampiaskan tekanan semasa cemas itu dalam bentuk kemarahan kepada anak. Walaupun hakikatnya kita yang bersalah kerana tidak menjaga anak dengan baik, tetapi kita memindahkan ‘rasa bersalah’ itu kepada anak yang naif. Dan segalanya berakhir dengan emosi yang negatif.

Alangkah baiknya andai kita dapat menyambut anak dengan baik, dan beri masa kepadanya untuk bertenang. Apabila keadaan sesuai, kita boleh mendengar luahan anak dan menasihatinya dengan lebih berkesan. Ya, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Tapi ia kemahiran yang perlu kita pelajari supaya dapat mendidik anak yang lebih berani untuk menyatakan kebenaran walaupun dia bersalah.

Ia jauh lebih baik dari anak membesar dengan suka menyorok kesalahannya, mahupun bahaya yang mungkin berlaku kepadanya. Ini kerana dia ‘lebih takut dimarahi’ daripada takutkan bahaya yang mungkin menimpa diri.

Tidak mudah untuk kita mengubah sikap, tapi itulah yang perlu dilakukan untuk menjadi ibubapa yang lebih baik. In syaa Allah.