Perlu ke Pergi Kursus Kaedah Ajar Anak Membaca?

0
197
views

Kita dah pandai membaca, perlu ke pergi kursus untuk belajar teknik ajar membaca kepada anak?

Jawapannya bergantung kepada individu. Jika ibu itu memang seorang yang mempunyai kemahiran mengajar kanak-kanak, mungkin tidak perlukan kursus. Contohnya seorang yang pernah mengajar kanak-kanak prasekolah, mengajar adik-beradik atau saudara mara yang ramai mungkin sudah mahir  untuk mengajar kanak-kanak. Dia boleh menggunakan kemahiran sedia ada pada dirinya untuk mengajar anak membaca dengan kaedah yang sesuai.

Pun begitu dia mungkin masih perlu belajar teknik-teknik tertentu contohnya teknik gabung bunyi dalam kaedah fonik. Kefahaman yang betul penting supaya aktiviti pembelajaran mendapat hasil seperti yang dikehendaki.

Namun bagi seorang ibu yang tidak mempunyai pengalaman mengajar kanak-kanak, adalah sangat penting untuk ibu hadir ke kelas mempelajari teknik yang betul untuk mengajar anak. Ibu boleh menggali ilmu melalui pembacaan, namun banyak kelebihan jika ibu dapat hadir ke kelas yang dikendalikan oleh pakar kerana banyak elemen pembelajaran tidak diperolehi melalui pembacaan.

Pengalaman saya sendiri, saya adalah guru sains di sekolah menengah. Dalam silibus pembelajaran diploma pendidikan, saya belajar teori pembelajaran untuk kanak-kanak. Namun bila saya mengambil keputusan untuk mengajar anakanda Fateh membaca, saya tetap mendaftar kelas walaupun hanya di atas talian. Namun kandungan pembelajaran kelas ini yang fokus kepada kaedah melatih anak membaca adalah jauh terperinci berbanding pembelajaran saya dalam kuliah.

Berguru dengan pakar juga akan menghubungkan kita dengan sumber-sumber ilmu yang lebih luas seperti laman web, tenaga pengajar lain, buku-buku mahupun kumpulan sokongan ibubapa. Semua ini adalah elemen penting yang akan menyokong usaha kita untuk mengajar anak membaca. Segala kemusykilan kita juga akan lebih cepat terjawab kerana mempunyai jaringan mendapatkan maklumat dengan lebih baik.

Pada hemat saya, pelaburan untuk ibubapa pergi kursus teknik mengajar anak membaca adalah sangat berbaloi. Ia bukan hanya baik untuk mengajar anak membaca malah membantu ibubapa melengkapkan diri teknik mengajar anak pelbagai bidang ilmu yang lebih luas. Jika kita tidak mengambil kesempatan sejak anak kecil ini untuk ajar membaca, mungkin sehingga anak-anak besar pun kita tidak yakin untuk mengajar anak sendiri.

In syaa Allah mengajar anak membaca dapat menjadi salah satu ruang untuk kita lebih akrab dengan anak dan terlibat secara langsung dengan perkembangan pembelajaran anak-anak. Wallahualam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here