Alhamdulillah, pagi Jumaat yang cerah di Pulau Pinang. Maka berakhir juga minggu pertama sesi persekolah 2017. Anakanda Fateh pun dah bertanya bila nak cuti, nak main game. Begitulah fitrahnya kan, kita pun nak berehat di hujung minggu. Inikan pula anak kecil yang fitrahnya adalah bermain. Yang penting kita pandu anak-anak memilih yang terbaik.

Semalam saya ada kongsikan persiapan pakaian untuk anak ke darjah 1. Hari ini perkongsian saya lebih kepada alatulis dan peralatan lain. Untuk alat tulis, kami hanya belikan kotak pensel baru untuk anakanda Fateh. Harga kotak pensel di pasaran adalah antara rm7-rm15 mengikut jenis dan kualiti. Saya memilih beg pensel kerana nampak lebih mudah untuk digunakan. Anak-anak memang dah biasa guna beg pensel sejak kecil di rumah.

Alatulis seperti pensel, pemadam, pembaris semuanya ambil yang sedia digunakan di rumah. Alhamdulillah anak-anak sudah mempunyai koleksi alat tulis yang banyak. Datang dari pelbagai sumber termasuklah pensel dari hotel dan hadiah dari orang lain. Jadi tak perlu nak membazir beli semua benda baru kan.

Untuk pensel warna, kebetulan beberapa bulan lepas suami dah beli pensel warna semasa offer belian KOMBO. 2 kotak pensel warna Luna 24 batang hanya rm16. Lebih murah berbanding pensel warna 12 batang. Kebetulan mak tok nya juga bagi hadiah pensel warna semasa berkhatan cuti sekolah baru-baru ini. Jadi tak perlu lagi beli pensel warna baru.

Jadi malam sebelum ke sekolah, anakanda Fateh hanya pilih-pilih alatulis yang nak di bawa dan labelkan dengan pelekat nama. Pelekat nama ni saya ikut cadangan ibu-ibu berpengalaman yang lain. Paling penting untuk dilabel ialah pensel warna. Jika tidak anak mungkin akan terbawa balik pensel warna kawan dan sebaliknya. Pelekat nama ini memudahkan kerja-kerja melabel, anak pun suka buat sendiri. Harga pelekat nama seperti ini di tempat saya rm7 untuk 100 pelekat. Pelekat ni biasanya boleh dibuat di kiosk jualan di supermarket atau kedai-kedai buku.

Kemudian untuk buku teks, saya sarankan suami membeli pembalut ready-made. Saya memang rancang untuk anakanda Fateh uruskan sendiri buku-bukunya. Kalau pembalut gulung tu memang mak ayah la yang kena uruskan. Pembalut ini ada pelbagai saiz, jadi pastikan ukur saiz buku sebelum beli pembalut. Harga untuk sekeping pembalut adalah sekitar 50 sen. Anak saya dapat 19 buah buku teks. Jadi kos untuk pembalut ready made ialah rm10.

Untuk buku tulis, hanya beli terus dari kedai koperasi sekolah mengikut senarai yang diberikan. Kos buku tulis,buku khas, lencana dan fail yang wajib dibeli adalah sekitar rm30. Ini belum termasuk keperluan lain seperti tali leher, baju sukan dan aksesori lain mengikut kehendak sekolah. Rata-rata sepasang baju sukan berharga rm30 dan tali leher berharga rm10.

Peralatan lain yang penting adalah botol air. Pilih botol air yang mudah dipegang dan mudah dicuci. Anakanda Fateh hanya menggunakan botol air yang dibawanya sejak ke tadika tahun lepas. Hanya tambahkan label nama.

Itulah antara persiapan anak ke darjah 1 yang kami buat. Apa yang masih baik tidak perlu belikan yang baru. Bila kita tanamkan dalam fikiran anak semua nak serba baru, ia akan mendatangkan beban kepada kita. Dan apabila pemikiran ini sudah menjadi tabiat, anak akan terbiasa membeli benda baru walaupun barang lama masih baik keadaannya.

Semoga perkongsian ini memberi sedikit gambaran kepada ibubapa yang mahu membuat persiapan anak ke sekolah. Namun apa yang lebih penting, jangan hanya fokus kepada persiapan material. Pastikan anak-anak kita juga bersedia dari segi mental untuk menghadapi cabaran persekolahan. Semoga pengalaman saya terkilan di hari pertama persekolahan tidak dialami oleh ibubapa semua. Ameen.