Waktu anak beriadah petang adalah waktu saya bersantai-santai. Kadangkala saya ambil angin sambil regangkan otot berjalan di keliling taman permainan. Ada masanya saya sekadar duduk sembang-sembang dengan ibu-ibu lain yang menemani anak bermain. Ikutkan taman permainan ni dalam kawasan apartment, sepatutnya selamat ja anak-anak main sendiri.

Tapi zaman sekarang ni kita dah tak mampu nak bersangka baik macam tu kan, segalanya mungkin untuk berlaku. Maka beramai-ramai lah kami duduk menunggu anak-anak yang sudah agak besar ni bermain. -_-

Tapi ok la, sambil-sambil tu boleh juga sembang-sembang bertukar buah fikiran. Kebanyakan yang turun ni adalah nenek yang mengasuh cucu, jadi mereka memang suka bercerita. Maklumlah seharian duduk berkurung dengan cucu dalam rumah, pastinya mereka perlu bersembang-sembang untuk menstabilkan emosi. Saya pula memang suka mendengar cerita pengalaman orang lama-lama ni, ilmu yang kadangkala kita tak boleh dapat dari buku.

Petang semalam saya bersembang dengan seorang nenek India. Nenek ini tinggalkan rumahnya di kampung untuk tinggal di apartment sederhana di tengah bandaraya Pulau Pinang. Jauh beza keselesaannya kan. Tapi mereka sanggup datang suami isteri ke sini untuk memudahkan urusan jagaan cucunya. Rumah di kampung mereka upah penduduk kampung untuk datang cuci dan jaga tanaman di sekeliling rumah.

Sayangkan tinggal rumah, saya memberi respon sekadar kebiasaan pemikiran orang biasa-biasa. Terus sahaja nenek ini nafikan.

Takpa la, itu semua bukan boleh bawak. Cucu lebih penting.

Dan kemudiannya perbincangan kami banyak berkisar mengenai keutamaannya kepada menguruskan cucu-cucunya. Katanya rumah semua tu akhirnya semua akan tinggal, tapi cucu yang dijaga dengan baik ini akan sayang dia. Saham akhirat la agaknya kan. Dia tak sebut la, saya lah buat kesimpulan sendiri. 😛

Katanya dia gembira dapat berkorban untuk anak dan cucunya. Anaknya boleh pergi bekerja dengan tenang dan cucunya terjaga dengan baik. Dia merasai kepuasan bila dapat masak sendiri dan lihat cucu makan air tangannya. Dia langsung tak merasa terbeban menguruskan aktiviti persekolahan cucunya. Malah berharap akan mendapat cucu baru lagi, Fuh!

Seketika kemudian saya merenung sejenak. Betapa nenek yang tidak berpegang pada ajaran Islam ini sangat dekat prinsipnya dengan kehidupan muslim. Harta yang ada langsung tidak mengikatnya untuk berbakti kepada keluarga. Malah dia mempunyai prinsip yang sangat jelas bahawa semua itu akan ditinggalkan. Hanya anak cucu yang baik ini yang kekal baginya.

Bukankah itu yang Islam ajarkan kepada kita. Mengutamakan pendidikan anak-anak lebih dari tuntutan duniawi. Kita sedar kehidupan hari ini memerlukan komitmen kewangan yang sangat banyak. Namun dalam masa yang sama kita juga tidak boleh nafikan mendidik anak soleh juga memerlukan pelaburan kewangan yang tidak sedikit. Maka di situ perlulah kita meletakkan keutamaan kepada pelaburan yang lebih kekal. Yang sahamnya dibawa hingga akhirat kelak.

Semoga dengan perancangan dan pilihan yang betul, kita mempunyai kebebasan untuk memberi peluang kepada anak meneroka dunia ilmu seluasnya. Kerana itulah aset yang akan bernilai apabila kita hendak bertemu denganNya kelak. Wallahualam.