Punca anak lambat bercakap

2
330
views
anak lambat bercakap

Setiap proses perkembangan anak berlaku dengan sebab. Cuma ada sebab yang diluar kawalan kita sebagai makhluk seperti faktor genetik dan sebagainya. Namun dalam kebanyakan kes anak yang dilahirkan normal, lambat mula bercakap sebenarnya berpunca daripada kurang rangsangan dari persekitaran.

Pengalaman saya sendiri, anakanda Fateh lambat bercakap kerana kurang rangsangan dari kami sebagai ibubapa. Rangsangan adalah faktor penting untuk anak mula bercakap seperti yang dikongsikan oleh pakar patologist pertuturan ini. Sebagai ibubapa muda, saya membayangkan proses perkembangan ini berlaku secara semulajadi. Sudahlah tiada ilmu mengenai proses perkembangan kanak-kanak, tiada usaha untuk menggali ilmu pula. Bila anak nampak ‘tak sama’ macam anak orang lain, barulah kita tersentak dari lamunan panjang.

anak lambat bercakap
Walaupun boleh bercakap, anak yang ada masalah pertuturan memang enggan bercakap

Alhamdulillah Allah sedarkan kami awal. Jadi masih banyak masa untuk memperbaiki perspektif dan cara didikan kami terhadap anak-anak. Dengan sedikit ujian ini, saya menjadi lebih serius menggali ilmu keibubapaan dan mengamalkannya. Alhamdulillah. Di sini saya kongsikan beberapa punca anakanda Fateh mengalami masalah lambat bercakap (Late Talker).

Kurang rangsangan percakapan

Saya seorang yang banyak cakap, suami kurang sikit. Tapi kami selalu ja bersembang-sembang di rumah. Cuma kami tidak bercakap secara langsung dengan anakanda Fateh. Cara bertutur yang kami gunakan tidak merangsang perkembangan bahasa beliau.

Contohnya bila dia tunjuk biskut.

Ummi : Fateh nak apa?

Fateh : biskut

Kadang-kadang dia tak sebut pun, dia tunjuk ja. Ummi ambil biskut dan terus bagi. Anak makan dan kenyang. Jadi Fateh hanya perlu sebut 1 perkataan sahaja untuk mencapai matlamatnya. Dan begitulah keadaannya apabila dia nak minta apa-apa pun. Setelah saya berjumpa dengan pegawai terapi pertuturan, barulah saya tahu cara komunikasi yang merangsang anak untuk bercakap.

Percakapan yang tidak jelas

Kanak-kanak belajar bercakap melalui pendengaran dan pemerhatian. Dia perlu melihat cara sebutan perkataan dengan betul. Atau sekurang-kurangnya dia mendengar kita menyebut perkataan dengan jelas. Itu kurang berlaku semasa membesarkan anakanda Fateh. Saya bercakap seperti bersembang dengan orang dewasa lain. Suami saya pula jejaka kelantan yang pertuturannya sangat bersahaja. 😛

Keadaan ini memang tidak memberikan mesej yang jelas kepada anak bagaimana untuk menyebut perkataan dengan betul. Ditambah pula saya banyak menggunakan dialek Kedah, suami guna dialek klate. Haha..lagi lah anak tak tau cara yang betul nak sebut perkataan tu.

Dialog nak pakaikan pampers pada anak.

Ummi : Fateh Tidoq

Abah : Fateh Bing

Fateh :???

Situasi sekecil ini pun ada kesannya apabila kehidupan sehariannya kurang rangsangan percakapan. Anakanda Fateh berada di taska semasa saya keluar bekerja. Persekitaran taska yang banyak bermain sesama mereka sahaja memang tidak banyak membantunya berkomunikasi.

Tengok kartun animasi yang tiada dialog

Pingu

Mr Bean

Pocoyo

Shawn the Sheep

Animasi tanpa dialog Animasi tanpa dialog

Inilah halwa mata dan telinga anakanda Fateh selepas usia 1 tahun. Semuanya hanya mempunyai bunyi ek..uk..ar..wi..noot..noot.. dan pelbagai bunyi pelik lain. Langsung tidak mempunyai perkataan yang jelas yang boleh dia ikut. Satu-satunya animasi yang bercakap adalah Upin & Ipin. Ini antara sebab apabila sudah bercakap, dia langsung tak guna dialek utara. Hakikatnya dok penang ja pun. Tapi sebab hari-hari jadi ‘cucu tok dalang’, jadi cakap pun macam Upin Ipin la.

Begitulah persekitaran sangat mempengaruhi kemampuan anak untuk bercakap. Semua ini nampak kecil tapi apabila digabungkan ia memang membantutkan proses perkembangan bahasa seorang kanak-kanak. Itulah pentingnya ilmu supaya kita dapat merangsang perkembangan anak dengan betul. Dengan rangsangan pertuturan setiap hari dan dibantu oleh pemakanan minda, anak akan dapat bercakap sesuai dengan usianya. In syaa Allah.

 

2 COMMENTS

  1. […] Tapi dah selalu main sampai mak kena sorok pulak. Bingit kan. Lagi-lagi duduk rumah apartment ni kena la fikirkan keselesaan jiran jugak kan. Jadi nak selamat simpan wisel dalam kereta, bila pergi taman permainan bagi la anak jadi pengadil kat situ. Tiup la puas-puas hati. Jadi ibu bapa ni kena bijak, jangan kerana halangan tertentu kita terus tak bagi peluang tu kepada anak. Kerana mungkin dengan sikap kita ini akhirnya akan menjadi punca anak lambat bercakap. […]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here