Teks : Sakina Hamid

Foto : Sakina Hamid

Rambutan adalah antara buah-buahan kegemaran anakanda Fateh. Kalau beli sekilo dua tu dia sorang ja makan, tapi dihabiskan dalam 2-3 hari. Saja saya kawal kerana dalam keluarga saya ada sejarah adik dapat asma selepas makan rambutan dengan sangat banyak. Maklumlah balik kampung ada dusun kan. Tak tahulah sejauh mana ia menjadi punca, tapi saya kawal sebelum ia menjadi mudarat.

Masa pulang beraya baru-baru ni banyak jumpa pokok rambutan yang masih putik. Saya tunjukkan ia kepada anakanda Fateh untuk memahamkan dia mengenai buah-buahan bermusim. Beberapa minggu lepas dia minta buah rambutan, jadi kenalah terangkan mengenai musim buah. Mukanya nampak pasrah ja melihat buah-buah rambutan yang masih putik tu.

rambutan muda

Tiba-tiba semalam semasa saya bacakan maksud Surah Bayyinah, dia bertanya.

“Ummi kat dalam syurga ada rambutan tak?”

Saya jawab ada. Dan mukanya nampak happy sangat. Hilang penatnya mengulang ayat 1 Surah Bayyinah yang panjang tu. Jadi saya panjangkan lagi cerita rambutan di syurga tu.

” Rambutan di syurga bila-bila masa pun ada. Bila Fateh nak ja Allah terus bagi. Tak payah tunggu-tunggu musim dah”

“Rambutan di syurga tu manissss sangat.”

“Rambutan di syurga tu semua elok-elok ja, takda yang buruk berulat macam kat dunia” (Kami pernah terbeli rambutan yang lebih banyak buruk dari yg boleh makan)

Muka Anakanda Fateh berseri-seri dengan cerita rambutan di syurga.

Tiba-tiba adik pulak menyampuk ” Kat syurga ada epal kan ummi”

A’ar adik.. sambung cerita epal la pulak!

Tapi sembang-sembang ini menginsafkan saya. Betapa syurga itu adalah harapan terindah untuk kita semua. Walau bagaimana kasih pun kepada anak-anak, tak mungkin kita akan dapat penuhi semua permintaan mereka. Apatah lagi on the spot di saat mereka inginkan. Pasti ada keinginan mereka yang perlu kita tangguhkan pemberiannya, atau mungkin langsung tak dapat penuhi pun.

Tapi hebatnya kasih sayang Allah yang Maha Memiliki segalanya, apa jua permintaan ahli syurga akan dipenuhi dalam sekelip mata. Masya Allah, nikmat apakah lagi yang kau dustakan.

Ayuh, pasakkan impian kita dan anak-anak untuk terus mendambakan nikmat yang kekal abadi di syurga kelak, bukan kepada kehidupan yang sementara ini.

“Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya”

(Surah Ibrahim 14:34)