Masa pulang ke kampung baru-baru ni, kakak saya sibuk ‘mempromosikan’ buku Amirul Budak Sudan tulisan Roza Roslan. Kami memang sama-sama meminati tulisan beliau. Asalnya saya hanya dengar ulasan kakak saya sahaja, rasa tak berminat nak melekat membaca dalam sibuk bercuti di kampung.

Tapi bila dah mula baca, terus melekat dan gigih mencuri-curi masa di celah aktiviti di kampung. Siap berjaga malam lagi nak habiskan. Gigih la pulak kan. Itulah masalah bila dah mula baca buku macam ni. Lambat nak move on, dah habis sibuk ulang pulang. 😛

Buku ini mendidik saya menguruskan hati dan fikiran sebagai seorang ibu. Betapa semua urusan kita disandarkan sepenuhnya kepada yang Maha Berkuasa atas segalanya.

Coretan Puan Roza Roslan dalam setiap peristiwa mendidik kita mendahului Allah lebih dari segala-galanya. Ia catatan bagaimana seorang ibu bersedia untuk redho dengan aturan Allah terhadap anak manjanya.Amirulbudaksudan

Bayangkan seoarang anak professor yang sudah biasa dengan kehidupan selesa, dihidangkan dengan makanan sedap setiap hari tiba-tiba terlontar di bumi kering gersang Sudan. Namun hebatnya didikan dari Allah akhirnya anak ini merindui kehidupan di bumi penuh barakah itu.

Buku ini juga mendidik ibubapa untuk redho dengan ketetapan Ilahi apabila apa yang kita rancang dan usahakan atas anak tidak berlaku seperti sepatutnya. Bayangkan selepas melaburkan puluhan ribu ringgit untuk membina laluan menjadi pakar dalam Bahasa Arab, anak itu memilih untuk menjadi Chef!

Amirulbudaksudan

Minat yang disemai dari pemerhatian sejak kecil akan mendorong anak melakukan pilihannya dengan bersunguh-sungguh

Jika kita, mampukah untuk merima keputusan anak itu dengan hati terbuka? Itulah kelebihan Prof Kamil Ibrahim dan pasangannya Puan Roza Roslan. Mereka banyak menulis untuk mengajak kita mendekatkan diri padaNya. Mereka diuji dengan anak sendiri. Dan mereka benar-benar merealisasikan apa yang mereka tulis di buku-buku bestseller mereka, Alhamdulillah.

Walaupun cemerlang dalam akademik, minat memasak Amirul Imran Muhd Kamil lebih mendominasi … ” kata Abla Ibtisam – guru dan juga ibu angkatnya di Sudan.

Ayah mahu anaknya belajar agar menjadi Tok Syeikh … Amirul mahu menjadi Chef!

Pasangan ini bukan sahaja menerima keputusan anak itu dengan berlapang dada, malah terus memberi sokongan pada Amirul untuk membina laluan kerjaya sebagai Chef. Memberi peluang menyambung pelajaran, hadir ke majlis akademi malah mengiringi anak itu untuk membuat latihan praktikal di hotel.

Amirul budak sudan

Ketabahan seorang bapa redho melihat anak mencorak kehidupan sendiri

Saya kira tidak mudah untuk kita mendidik hati dewasa kita untuk menuruti impian anak sejauh itu. Untuk menghormati keputusan anak pun sudah cukup mencabar. Apatah lagi memberi sokongan penuh.

Namun itulah intipati buku ini.

Dan setiap kali membacanya membuatkan mata saya panas.

Tulisan yang sangat menyentuh jiwa.

Yang sentiasa membawa kita untuk mengingati Allah yang Maha Memiliki segalanya.

Semoga ia berbekas membuahkan amal yang soleh. Ameen

Sumber gambar : Facebook Puan Roza Roslan