Semalam suami saya mengisi masa cutinya bersama anak-anak di rumah. Tinggal di “Pulau Pelancongan” menjadikan kami perlu merancang aktiviti luar pada waktu yang tidak ramai pengunjung dari luar. Pada waktu puncak seperti cuti hujung minggu yang panjang, lebih baik keluar terus dari pulau mutiara ni atau tinggal di rumah sahaja. Perjalanan yang dekat boleh mengambil masa berjam-jam hanya kerana menyertai ‘pesta’ kenderaan di jalan raya.

Jadi bila anak-anak tanya apa aktiviti nak buat, saya pun teringat gambar-gambar yang saya download dari facebook ibu-ibu hebat yang lain. Bila suami tengok, dia nak buat idea lain. Tak kisah la, sebab dia yang nak buat kan. Saya tengah gigih berusaha melayan mesej pelanggan Kedai Cikgu yang bertalu-talu di dalam bilik. Dan bila saya keluar dari bilik, tadaa….hasilnya mengagumkan! Memang air tangan lepasan ijazah perancang bandar. 😛

pretend-play-city

Anak membuat binaan bangunan menggunakan blok kayu dan lego

Suami saya hanya sediakan plan di dalam kertas, kemudian dia lukis jalanraya tu. Idea untuk binaan bangunan tu adalah hasil kreativiti anak-anak. Mereka memilih bangunan yang hendak dibangunkan. Faqihah bina balai bomba untuk amber, dan Fateh bina stesen keretapi untuk Thomas. Begitulah seterusnya hingga siap keseluruhan bandar.

Aktiviti menyusun blok kayu sangat bagus untuk merangsang perkembangan anak kecil. Ia melatih koordinasi mata dan tangan semasa anak menyusun. Bukan mudah untuk anak kecil untuk mendapatkan susunan yang tidak senget dan mudah runtuh. Ia satu pencapaian yang perlu diberi galakan supaya anak bersemangat membina binaan yang lebih kreatif.

Selepas siap bandaraya mereka, bermula lah aktiviti Pretend Play (main olok-olok). Anakanda berdua mula ‘masuk’ ke dalam bandar dan menghayati kehidupan disana. Mulanya hanya naik kereta dan keretapi untuk bersiar-siar. Tapi selepas tu mereka dapat idea untuk buat kandang haiwan ternakan.

Bila ada haiwan ternakan perlu lah sediakan tempat makan. Dan berlaku juga persaingan makanan antara singa dan harimau. Boleh pulak singa hidup tengah bandar ya. Layan ja.^_^ Pada waktu malam, berlalu kecurian haiwan ternakan dan polis telah berjaya menangkap perompak. Jadi perompak dimasukkan ke dalam penjara.

pretend-play-farm

Kandang haiwan yang di jaga rapi. Pada waktu siang pergi meragut di padang sebelah

Dan cerita ini berterusan dengan pelbagai idea yang muncul di fikiran mereka. Mereka meneroka dengan bebas dan abahbonda mereka menjadi penonton sketsa spontan yang sangat hebat. Tanpa idea kita, tanpa latihan sebenarnya anak kita mampu mewujudkan satu jalan cerita yang menarik. Masyaa Allah.

Begitulah hebatnya imaginasi anak kecil. Selagi kita tidak meletakkan batasan logik, mereka akan pergi jauh dan banyak idea yang hebat akan muncul. Dari aktiviti begini juga kita dapat menilai perkembangan bahasa anak-anak. Oleh kerana anakanda Fateh selalu membaca komik, jadi banyak bahasanya yang kurang sopan. Kami perlu selalu betulkan penggunaan bahasa olehnya.

Adiknya Faqihah pula selalu keputusan perkataan untuk meneruskan cerita. Ini fungsinya kita sebagai penonton. Membantu anak menyambung idea yang terputus. Dan ia akan menjadi kosa kata baru yang anak akan faham cara penggunaannya yang betul. Ya, anak dapat belajar penggunaan bahasa melayu yang betul secara praktikal. Dan mereka juga seringkali saling menyumbang idea untuk menghasilkan jalan cerita yang menarik.

pretend-play-city

Permainan olok-olok membantu anak menjana idea dan merangsang perkembangan bahasa

Masya Allah, tanpa keluar rumah kami dapat menyaksikan sketsa yang hebat. Tanpa keluar rumah kami dapat memberi peluang anak untuk meneroka dunia imaginasi mereka tanpa batasan. Itulah kehebatan pretend play, mainan olok-olok yang sangat besar kebaikannnya kepada mereka.

Selamat mencuba!