Teks : Sakina Hamid

Foto : Sakina Hamid

Pagi tadi saya sempat bersembang dengan seorang ibu bekerja dari rumah. Beliau adalah pengusaha home bakery yang sangat terkenal dengan cheestart gebunya. Memang gebu gebas sampai rasa sayang nak makan..haha

Beliau bertanyakan mengenai bagaimana saya mengajar untuk anak suka melukis. Mungkin sebab saya ni cikgu, jadi orang ingat saya selalu mengajar anak kot..hihi. Hakikat cikgu-cikgu ni jarang pun mengajar anak sendiri. Sambil-sambil ja pun. Namun Alhamdulillah anak pandai membawa diri dan sentiasa menunjukkan minat untuk belajar benda baru. Rezeki..

Mengenai tips latih anak minat melukis ni sebenarnya saya takda tips yang khusus pun. Kalau diikutkan latar belakang, saya memang tidak ada kemahiran melukis yang baik. Kalau saya melukis kat papan hitam masa mengajar tu, anak murid keras perut tahan gelak tengok lukisan saya. Lantak kome la, janji faham sudah. Suami saya sendiri pun tidak la menunjukkan bakat melukisnya setakat ni.

Jadi kalau dari segi bakat, agak jelas anak-anak kami tidak mewarisi dari ibu ayahnya. Kalau ada dari segi genetik mungkin dari Tok wan dan Tok abahnya. Boleh ke macam tu? Ntah la sebab tak belajo biologi pun dulu.

Dipendekkan cerita ini antara aktiviti kami dirumah

1) Melukis di depan anak

Masa kecik-kecik dulu, Fateh suka suruh kami lukis. Main order ja dia nak suruh lukis apa. Anak sorang kan, layan ja la. Sedar tak sedar koleksi lukisan kami atas ‘arahan’ anakanda Fateh tu banyak la jugak.

Dan masa mula-mula nak belajar mewarna pun kami jugak yang kena warna. Kiranya semua buku-buku mewarna beliau hasilnya cantik-cantik belaka lah ^_^

2) Koleksi komik

Permulaan anak mengenal komik adalah dari majalah kanak-kanak islamik seperti aulad, ana muslim, adikku sayang dan yang sewaktu dengannya. Anak akan pilih halaman yang mengandungi komik untuk dibacakan dulu setiap kali memberi keluaran baru. Dan kami membaca setiap hari, malah mungkin ulang lebih dari sekali sehari. Kebanyakan siri komik dalam majalah tersebut kami dah hafal kandungannya.

Kemudian suami membeli koleksi komik nukilan penulis hebat dari indonesia, vbi_djenggotten dan komik antarabangsa Muslim Show yang telah diterjemahkan oleh PTS Publication. Asalnya komik islamik yang dibeli tu adalah untuk bacaan kami, tapi anak-anak pulak yang berminat. Dan disebabkan hari-hari anak minta baca, akhirnya semua koleksi komik tu kami berjaya bacakan dalam tempoh yang singkat berbanding buku-buku pilihan kami yang lain. -________-

vbimuslim show_pts

Selepas dapat mengesan minat anak ni, barulah kami mula belikan komik terbitan anak muslim. Walaupun ia hanya kompilasi yang sebahagian besarnya sudah pernah dibaca, namun mereka tetap membeleknya dengan penuh minat setiap hari.

ana muslim

Dan sekarang ni apa sahaja komik yang kami temui bersesuaian dengan anak-anak, kami akan tambah koleksi bahan bacaan mereka. Walaupun kandungan komik kurang bagus dari segi penggunaan bahasa, namun ia masih lagi bermanfaat untuk memupuk minat anak membaca dan melukis.

pelbagai

Saya dapati kesan membelek komik ini menjadikan anak memahami bagaimana kaedah untuk ‘menghidupkan’ watak di dalam komik. Mereke faham cara menunjukkan objek sedang bergerak, bagaimana menunjukkan kemunculan objek baru serta kesan emosi pada wajah.

Malah pemerhatian mereka amat tajam. Faqihah seringkali mempertikaikan kenapa pada halaman sebelumnya seluar berwarna biru, dan sekarang berwarna hijau. Kenapa ada kucing di luar rumah (sedangkan kami langsung tak perasan ada kucing dalam gelap tu). Analisis anak mengenai lukisan jelas menunjukkan mereka membuat pemerhatian yang kritis, bukan sekadar membaca sahaja.

battle badr

3) Mempamerkan hasil lukisan

Hasil lukisan tangan adalah karya seni yang amat berharga. Semudah melekat hasil lukisan mereka di dinding, ia cukup membuatkan hati berbunga-bunga. Saya memang sudah lama melekat hasil kerja anak-anak, tapi ada masanya terleka untuk melekat hasil kerja baru. Beberapa minggu lepas, saya duduk menyusun hasil kerja anak-anak dan memilih lukisan terbaik mereka.

Sebaik saya tampal dengan tersusun di dinding, semangat melukis mereka mencanak naik. Sebelumnya anakanda Fateh hanya hasilkan komik 4 halaman, dan seringkali juga berhenti sekerat jalan. Tiiba-tiba sahaja dia mendapat semangat hasilkan komik 30 muka!

Sesuatu yang mengujakan seorang ibu apabila anaknya boleh duduk melukis dengan tekun hampir 2 jam.

4) Sokongan mental dan fizikal

Perkara paling penting dalam mencungkil dan mengembang bakat anak adalah menanam keyakinan tindakan mereka adalah betul. Seringkali kita baca ibubapa dahulu tidak pandai membaca, tapi mampu memberi sokongan hingga anaknya memiliki ijazah kedoktoran.

Itulah pentingnya sokongan, walaupun kita merasakan kita tidak mahir bidang yang diminati anak-anak. Sokongan asas yang kami sediakan ialah membeli kertas A4 kosong dan memberikan kebebasan untuk anak-anak berkarya. Hanya selepas mendapati anak belum dapat gunakan sepenuhnya ruang kertas, kami memotong kertas kepada separuh A4.

Selapas beberapa bulan anak konsisten melukis, kami sediakan meja yang sesuai dengan ketinggian supaya dapat melukis dengan selesa. Dan kami rasa sungguh berbaloi pelaburan itu kerana ia adalah stesen utama anak-anak ‘melepak’ ketika di rumah. Hinggakan kadangkala enggan ikut urusan di luar hanya kerana nak melukis -_-

berlumba

5) Doa ibu

Apa jua harapan dan impian kita terhadap sang anak, sentiasalah berdoa supaya ia adalah sesuatu yang diredhaiNya. Sentiasa meminta bimbingan supaya apa jua pelaburan kita dalam mendidik anak-anak adalah untuk kebaikan ummah, dan bukan menjauhkannya dari pandangan Allah. Nauzubillah.

Sejujurnya saya tidak pasti adakah tips di atas yang membantu anak minat melukis, namun saya kongsikan di sini apa yang kami sudah lakukan. Andai kata ibu-ibu amalkan dan membawa kebaikan maka bersyukurlah kepada yang Maha Memberi. Dan andai sebaliknya saya memohon maaf atas kekhilafan itu.

Wallahualam.

Banner buku magikBuku Magik . Alami . Selamat