Teks : Sakina Hamid

Foto : Sakina Hamid

Anak lelaki dan watak superhero bagai tidak dapat dipisahkan. Walaupun realitinya ibubapa sedar ia bukanlah perkembangan yang bagus, namun seringkali kita putus idea bagaimana hendak menguruskan ‘kekaguman’ mereka terhadap watak-watak superhero dalam animasi kanak-kanak.

Anakanda Fateh baru berusia 6 tahun, masih terlalu awal untuk saya membuat kesimpulan mengenai minatnya. Namun sedikit sebanyak saya bersyukur dengan perkembangan positifnya kebelakangan ini. Perubahan yang ketara hanya selepas saya pulang dari Seminar Teknik Hafazan pada bulan Februari 2016. Antara ilmu penting yang saya perolehi dari seminar ini adalah kehebatan daya imaginasi kanak-kanak. Dan amatlah rugi potensi imaginasi mereka dihabiskan kepada perkara-perkara yang tidak bermanfaat.

Di sini adalah tindakan yang saya ambil selepas pulang dari seminar tersebut.

1) Mengawal Bahan Tontonan

Semasa bayi saya tidak pernah mendedahkan anakanda Fateh kepada animasi superhero. Hanya pada tahun 2015 anak-anak menonton sekitar 3 jam sehari secara konsisten! Dan hasilnya selepas 6 bulan anak-anak saya mula menunjukkan aksi ganas dan imaginasi yang tidak terkawal.

Pulang dari seminar tersebut, saya cabut wayar untuk aerial televisyen. Saya kutip semua duit-duit syiling dari semua tabung-tabung di rumah dan beli beberapa set VCD pendidikan sebagai alternatif. Maka dengannya anak-anak saya terputus hubungan secara total dengan animasi superhero apabila berada di rumah.

Tapi oleh kerana ia adalah fenomena kanak-kanak, mereka masih la mendapat ‘maklumat’ bila berjumpa kawan-kawan di sekolah. Begitu juga apabila pulang bercuti di kampung.

2) Mengawal masa menonton tv

Jika siaran televisyen, anak-anak hanya akan berhenti menonton apabila habis siaran kartun. Tapi apabila menggunakan VCD, biasanya mereka tidak menonton lebih dari 2 jam. Dah boleh hafal kan kandungan VCD tu. Ada masanya mereka hanya buka tapi tak tengok pun. Dan yang bagusnya ada masa mereka langsung tak buka tv.

Bagusnya apabila kurang masa menonton, anak lebih banyak masa bersama buku dan mainan. Lagi lama masa anak bersama buku-buku, lagi banyak idea anak akan muncul untuk pelbagaikan aktiviti. Hinggakan buku-buku suami pun anak-anak dah mula kutip baca kerana mereka ada ‘banyakkkk masa’
3) Kurangkan bahan bacaan berwatak superhero

JIka dulu kami akan belikan saja buku-buku yang anak minta. Tapi sekarang saya sudah tidak benarkan anak-anak membeli buku-buku berwatak superhero. Saya sangat yakin bahan bacaan akan meninggalkan kesan yang mendalam ke dalam minda anak-anak. Kerana itu saya hapuskan semua bahan-bahan berwatak superhero dalam simpanan.

Sebagai gantinya, banyakkan bahan bacaan bermanfaat yang sesuai dengan jiwa anak-anak. Dalam pasaran sudah terdapat pelbagai buku kanak-kanak dari pelbagai genre. Carilah yang bersesuaian dengan jiwa mereka untuk membentuk jiwa superhero yang positif. Alhamdulillah anak-anak kami sangat meminati komik terbitan Ana Muslim.
4) Kurangkan membeli produk dengan watak superhero

Sukar tapi terpaksa. Bukan tak beli langsung, tapi saya usahakan untuk ‘tawar-menawar’ apabila ada permintaan. Saya sanggup offer produk lain walaupun harganya lebih mahal sebagai alternatif. Selalunya berjaya, cuma kadangkala tu terlekat la jugak.
5) Selalu ingatkan bahawa watak superhero mereka hanyalah khayalan, tidak wujud di dunia nyata

Anak-anak saya sentiasa sedar bahawa watak animasi itu tidak wujud, walaupun mereka dalam keadaan sedang menggayakannya. Dah memang dunianya penuh dengan imaginasi kan.
Yang penting ibubapa perlu sering ceritakan kehebatan superhero yang positif dalam Islam. Biar ada nama-nama hebat yang melekat dalam fikiran mereka, untuk disebut bila naik ‘syeikh’! Bila nak bercerita kita dulu lah kena kenal siapa Al Fateh, apa kehebatan Al Qassam, watak-watak para sahabat dan pahlawan Islam lain.

In syaa Allah dengan kesungguhan dari kita untuk menerapkan idola sebenar dalam minda anak-anak, jiwa mereka akan lebih cenderung kepada superhero yang positif.