Masya Allah 2016 hampir melabuhkan tirainya. Semoga ia menjadi tahun yang penuh dengan kenangan-kenangan yang menjadikan kita insan yang lebih baik dari tahun sebelumnya, in syaa Allah. Walau apa jua pencapaian kita pada tahun ini, itulah rezeki yang wajib kita syukuri. Apa jua impian yang belum tercapai, teruskan berusaha meraihnya, in syaa Allah. Hidup ini kan sebuah perjuangan yang panjang 😀

Alhamdulillah ramai rakan-rakan maya saya mula update bawa anak mendaftar di tadika. Comel-comel belaka anak-nak ke tadika sekarang kan. Dengan pakaian seragam berwarna-warni dan beg sekolah yang comel, masya Allah geram betul Cikgu Kinah tengok.^_^

Namun kecomelan fizikal menjadi sia-sia apabila timbul isu besar ; anak tak nak pergi sekolah. Anak masam mencuka, sebek menanti tangis malah ada yang meraung-raung bila sampai ke pagar sekolah. Pasti ibubapa yang tinggalkan anak dalam keadaan ini menjadi tak keruan dalam menyelesaikan tugas seharian kan.

Suka saya kongsikan sedikit pengalaman bagaimana untuk membantu anak lebih bersedia ke tadika.

Libatkan anak semasa memilih tadika

Tadika adalah tempat yang asing untuk anak kita. Dan kita akan tinggalkan dia seorang diri selama beberapa jam. Kita perlu faham ketakutan yang  muncul di dalam minda anak-anak. Sebaiknya, cuma lahirkan rasa ‘selamat’ dalam diri anak dengan tempat itu.

Bawa anak ketika survey tadika, tunjukkan perkara-perkara yang menarik di dalam tadika kepada anak. Bina rasa seronok untuk melalui pengalaman itu dalam diri anak-anak. Untuk anak yang boleh bercerita, tanya pandangan anak mengenai tadika tersebut. Pasti anda teruja mendengar jawapan yang logik pada minda anak kecil itu. Jadi kita dapat memahami tahap pemikiran anak kita. Tak perlu la nak cerita pasal masa depan negara lagi kan.

Bermain blok kayu

Cerita aktiviti yang anak suka. Faqihah suka main blok di rumah. Jadi blok-blok besar di sekolah ini menarik minat dia untuk ke sekolah

Kalau ada kelapangan, sesekali bawalah anak lalu di sekitar tadika tersebut. Beri peluang anak ‘melihat’ dirinya berada di situ sebelum dia benar-benar hadir untuk sesi persekolahan. Saya selalu buat ini, dan saya dapat melihat kesan yang positif kepada penerimaan anak-anak, Alhamdulillah.

Bawa anak semasa beli barang sekolah

Semasa buat persiapan, bawa anak bersama. Memang ada ibubapa yang gerun nak bawa bersama kerana bimbing lari bajet. Tapi percayalah bajet untuk memujuk anak yang tidak mahu ke sekolah akan menjadi lebih tinggi apabila kita terpaksa. Saya bercakap dari pengalaman sendiri ketika tidak mempunyai ilmu mengurus anak.

Anakanda Fateh pernah sampai tahap hanya pergi sekolah dengan pujukan mainan RM4 ataupun sebotol jus oren twister. Beberapa bulan keadaan ini berlarutan. Cuba kira berapa banyak kos untuk memujuk berbanding lari bajet sedikit semasa buat persiapan sekolah. Untuk berbelanja dalam bajet, pilihlah tempat membeli belah yang sesuai dengan poket kita.

Selalu bercerita mengenai keseronokan ke sekolah

Dunia persekolahan adalah fasa baru dalam hidup anak kita. Dia tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku apabila ditinggalkan di sekolah nanti. Rajin-rajinlah berbual dengan anak mengenai rutin harian persekolahan yang menyeronokkan. Saya tidak pernah bercakap mengenai aktiviti pembelajaran semasa sembang-sembang ini.

Tetapi saya memilih untuk bercerita apa yang anak suka. Saya bayangkan bagaimana di sekolah nanti anak boleh bermain kejar-kejar dengan kawan-kawan, makan ramai-ramai, menyanyi lagu-lagu kegemaranannya dan melompat dengan gembira. Anak akan dapat gambaran bahawa sekolah adalah tempat dia dapat bersosial. Ini akan membuatkan anak teruja untuk ke sekolah.

Gembira ke sekolah

Anak pergi ke sekolah dengan gembira dapat membantu ibubapa menjalani tugas seharian dengan tenang

Yang penting ibu janganlah reka cerita yang tidak berkaitan dengan tadika anak. Kerana itu penting semasa pemilihan ibu memastikan tadika itu menyediakan perkhidmatan yang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak. Anak seawal 4 tahun sudah dipaksa serius dengan pembelajaran formal memanglah akan mendatangkan masalah di kemudian hari.

Menyedarkan anak mengenai kepentingan menjadi golongan yang berilmu

Menjadi golongan berilmu adalah misi dalam kehidupan kita sebagai muslim. Kita perlu selalu mengingatkan anak mengenai keperluan untuk belajar. Sebagai muslim, kita belajar untuk meraih kasih sayang Allah. Kita belajar supaya dapat menjadi hamba dan khalifah yang lebih baik.

Gunakan bahasa-bahasa mudah untuk terangkan kepada anak-anak. Kalau anak suka buat lego binaan, bayangkan kepadanya dengan ilmu dia boleh buat bangunan betul-betul macam lego. Dia boleh buat cerita sendiri macam kartun kegemarannya. Dia boleh jadi siapa yang dia suka seperti minatnya.

Impian anak kecil

Anak kecil sentiasa mempunyai impian untuk menjadi ‘seseorang’. Ia berubah-ubah mengikut input yang masuk ke dalam pemikirannya

Anak seawal 4 tahun sudah mampu mempunyai imaginasi ini bila dilatih dari awal. Bukan memberi tekanan untuk mencapai sebarang cita-cita, tetapi memberi peluang anak berimaginasi menjadi ‘seseorang’ yang dia kagumi.

Berserah kepada yang Maha Melindungi anak-anak

Walaubagaimanapun keadaan kita, segalanya adalah atas pemberian Allah. Ada anak kita tak buat apa-apa pun dia ok. Ada anak kita kena usaha macam-macam untuk lihat dia ok. Jadi terimalah pemberian Allah dengan redho. Carilah ilmu mendidik anak sebanyak-banyaknya dan amalkan.

Paling penting, senjata utama kita sebagai muslim adalah berdoa. Berdoalah untuk pilih tempat yang baik untuk anak, berdoalah supaya anak dapat menyesuaikan diri dan berdoalah anak sentiasa dalam perlindungan Allah. Sesungguhnya kita hanyalah hamba Allah yang lemah. Tidak ada daya kita dalam melakukan sesuatu melainkan dengan rahmat dan kasih sayangNya. Wallahualam.