Dunia persekolahan hari ini jauh berbeza dari apa yang kita lalui satu ketika dulu. 20 tahun lalu, pelajar darjah satu hanya kenal kertas soalan peperiksaan selepas separuh tahun berada di sekolah. Itupun mungkin ramai yang tak sedar pun dia sedang duduki peperiksaan. Maklumlah kehidupan seharian kanak-kanak ketika itu terlalu banyak aktiviti luar yang menyeronokkan. Persekolahan hanya sebahagian dari rutin kehidupan, bukan bebanan.

Ia jauh berbeza dengan kehidupan anak-anak kita hari ini. Beban persekolahan bukan bermula ketika darjah satu, tetapi sejak menjejak kaki ke tadika lagi. Memang bagus beri peluang anak meneroka ilmu seluasnya, namun perlulah menggunakan pendekatan yang sesuai. Jika tidak ia hanya akan membina persepsi negatif anak itu terhadap ilmu, sekaligus menghilangkan minatnya untuk meneroka ilmu yang lebih luas.

Salah satu mimpi ngeri anak kecil hari ini adalah seawal hari pertama pendaftaran di sekolah rendah, mereka akan disambut dengan kertas soalan ujian diagnostik. Ujian diagnostik ini bertujuan untuk menilai tahap penguasaan anak untuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik. Masa untuk menduduki ujian ini ialah 1 jam di mana dalam masa yang sama ibubapa akan mendengar taklimat dari pihak pengurusan sekolah.

Kandungan Ujian dianostik ini adalah asas untuk 3 subjek yang terlibat. Soalan Bahasa Melayu adalah untuk menguji samada anak sudah mengenal huruf dan membaca perkataan-perkataan ringkas. Soalan Bahasa Inggeris untuk menguji penguasaan maksud perkataan-perkataan mudah. Soalan matematik pula melibatkan pengiraan asas dan pemahaman mengenai konsep bilangan.

Contoh Soalan Bahasa Melayu

Soalan ujian diagnostik Darjah 1 Soalan ujian diagnostik Darjah 1 Soalan ujian diagnostik Darjah 1 Soalan ujian diagnostik Darjah 1

Contoh Soalan Bahasa Inggeris

Soalan ujian diagnostik Darjah 1 Soalan ujian diagnostik Darjah 1

Contoh Soalan Matematik

Soalan ujian diagnostik Darjah 1 Soalan ujian diagnostik Darjah 1 Soalan ujian diagnostik Darjah 1 Soalan ujian diagnostik Darjah 1 Soalan ujian diagnostik Darjah 1 Soalan ujian diagnostik Darjah 1

 

Secara umumnya soalan ini adalah mudah bagi anak-anak yang sudah menguasai kemahiran asas untuk ketiga-tiga subjek yang di uji. Namun ia tetap menjadi pengalaman yang kurang menggembirakan bagi anak-anak yang masih terkial-kial untuk membaca. Suasana peperiksaan yang diwujudkan juga menjadi tekanan tambahan bagi anak kecil itu. Bukan semua anak mampu menulis jawapan di kertas ujian. Pada tahap usia ini, masih ada anak-anak yang menguasai ilmu secara verbal tapi belum mahir menulis di kertas.

Ini semua menjadi tekanan tambahan kepada ibubapa yang akan mendaftar anak ke darjah 1. Saya ternampak di laman sosial terdapat iklan untuk kelas tambahan melatih anak menjawab soalan ujian sebegini. Kelas ini sudah dimulakan seawal bulan Disember. Saya menghormati usaha guru yang menganjurkan kelas ini. Namun dalam masa yang sama saya juga melihat perlunya ibubapa lebih mengutamakan keperluan mental dan emosi anak kecil itu sendiri.

Ujian Diagnostik darjah 1

Anak perlu diberi sokongan untuk menghadapi ujian, bukan diberi tekanan hingga menghilangkan minat untuk belajar

Secara umumnya, anak-anak di tadika Malaysia mula belajar mengenal huruf ABC dan nombor sejak usia 4 tahun. Tempoh setahun itu andai digunakan sebaiknya oleh ibubapa untuk membuat rangsangan yang perlu, in syaa Allah anak akan dapat mengenal huruf dengan baik. Ditambah 2 tahun lagi untuk belajar membaca, in syaa Allah sekurang-kurangnya sebelum meninggalkan tadika anak sudah boleh membaca perkataan mudah.

Dengan kemampuan itu, anak sudah dapat duduki ujian diagnostik ini dengan bersedia. Jadi kenapa perlu ditambah tekanan anak dengan hadiri kelas tambahan dan sebagainya. Cukuplah pihak luar memberi tekanan kepada anak kita.

Jangan kita sebagai ibubapa pun turut merosakkan kegembiraan anak untuk memulakan dunia persekolahan. Kunci asas untuk anak usia prasekolah belajar adalah melalu bermain. Jika perlu pun membantu anak bersedia, cukuplah beri sedikit pendedahan di rumah. Tengok bentuk soalan dan uji kemampuan anak. In syaa Allah, anak-anak yang kita sudah sentiasa dedahkan pelbagai aktiviti pembelajaran secara santai ini dapat menghadapi ujian ini dengan baik.

Ingat, belajar adalah proses pembelajaran sepanjang hayat. Bukan hanya bersedia semasa hari pertama persekolahan saja.