Semalam adalah hari saya berbisnes di ‘alam nyata’. Alhamdulillah selepas kali ke tiga membuat aktiviti pemasaran dan jualan di tadika, saya semakin yakin malah seronok dengan aktiviti ini. Sesuai dengan karakter saya yang suka bertemu dengan orang lain menjadikan aktiviti bisnes di luar lebih dekat dengan jiwa saya.

Mengimbau kenangan 2 tahun lalu ketika hendak memulakan bisnes educational toys ini. Saya memang berminat untuk menjadi pembekal produk kepada tadika dan taska. Saya cuba bermula namun tidak nampak bagaimana saya dapat maju ke depan. Dan dalam pencarian itu Allah pertemukan dengan mentor dalam bisnes online. Alhamdulillah banyak ilmu bisnes online yang saya ceduk sepanjang 2 tahun ini. Banyak usaha, hasil, penambahbaikan bersilih ganti sepanjang 2 tahun ini. Semunya pengalaman yang sangat berharga untuk saya.

Dan Alhamdulillah Allah pertemukan saya dengan pembekal muslim educational toys di Kedah dalam sebuah seminar yang saya hadiri bulan september lepas. Pertemuan ini membuka ruang untuk saya menuntut ilmu dengan beliau yang sudah lebih 10 tahun menjadi pembekal kepada prasekolah dan tadika di negeri kedah dan perlis. Banyak sekali ilmu dan pengalaman beliau dan isteri dicurahkan kepada saya yang kerdil ini.

Berbekalkan ilmu dan semangat, saya mula melangkah menjalankan aktiviti pemasaran di tadika sekitar Kepala Batas, Pulau Pinang. Alhamdulillah, ada pengusaha tadika yang mengalu-alukan kedatangan. Dan ada yang menolak dengan cara yang profesional. Walaupun bukan semua pertemuan akan terus menghasilkan jualan, namun ia ialah ‘benih-benih’ yang disemai untuk bertunas pada masa yang sesuai.

Namun menjadi satu kepuasan apabila dapat dibawa produk educational toys yang memang sedang dicari oleh pihak tadika tersebut. Ataupun membawa sesuatu yang baru dan sangat mengujakan pengusaha dan guru-guru di sana. Bersyukur kerana dapat menjadi penyumbang kepada guru-guru untuk menjalankan aktiviti pembelajaran dengan lebih menyeronokkan. Pengalaman menjadi guru memang memahami bagaimana bersyukurnya apabila dapat bertemu dengan produk yang dapat menjadikan aktiviti pembelajaran lebih baik dari sebelumnya.

Perjalanan baru sahaja bermula, namun sebagai usahawan kita perlu meletakkan keyakinan bahawa semua usaha kita dilihat olehNya. Pasti ada kebaikan yang akan diperolehi samada sekarang atau pada masa depan.