Memuji anak adalah satu elemen yang sangat dititikberatkan dalam ilmu keibubapaan. Ia menjadi faktor pendorong yang kuat dalam pembentukan peribadi anak yang positif. Anak yang sering dipuji dengan betul akan mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi untuk menghadapi pelbagai cabaran hidup.

Namun adalah penting untuk ibubapa memahami teknik pujian yang betul supaya ia memberi impak yang positif kepada anak. Teknik pujian yang salah boleh menyebabkan anak melakukan sesuatu kerana mendambakan pujian. Ini pasti akan menjejaskan pembentukan peribadi anak dan menjadikan ibubapa kecewa dengan kesilapan ini kelak.

Baru-baru ini saya membaca buku 10 Basic Principles of Good Parenting, tulisan Laurence Steinberg . Buku ini ialah dapatan dari hasil kajian terhadap permasalahan ibubapa yang dirunding olehnya sepanjang 20 tahun. Banyak ilmu-ilmu berharga termuat di dalam buku ini yang menjadi asas kepada pembentukan prinsip keibubapaan yang betul. Jom kita semak tips-tips memuji pencapaian anak yang berharga ini untuk panduan kita bersama.

10 basic principle of good parenting

Buku keibubapaan yang sangat bagus menerangkan panduan asas menjadi ibubapa yang lebih baik

Tips 1 : Lebih kan puji USAHA anak berbanding pencapaian

Apabila anak berjaya mencapai sesuatu kejayaan, puji USAHA anak berbanding pencapaian tersebut. Contohnya respon apabila kita melihat anak mendapatkan keputusan peperiksaan yang baik :

Biasanya :Tahniah adik banyak dapat markah 100 masa periksa

Lebih baik : Tahniah adik RAJIN PERGI SEKOLAH, Allah bagi adik markah yang baik

Contoh lain ialah semasa anak ekcil menunjukkan hasil kerjanya

Biasanya : Pandainya adik buat kereta bomba

Lebih baik : Pandainya adik SUSUN LEGO ELOK-ELOK sampai jadi bentuk kereta bomba

Respon yang kedua akan melatih anak memahami kita suka dengan usaha yang dia lakukan. Ini akan membentuk persepsi anak mengenai kepentingan untuk berusaha berbanding mendapat sesuatu keputusan.

Tips 2 : Kaitkan pencapaian anak dengan usaha mereka sendiri, bukan dengan faktor lain

Seringkali dalam memuji anak, kita mengaitkan dengan bakat semulajadi mahupun faktor genetik. Puji anak dapat main bola dengan baik kerana rajin berlatih adalah lebih baik dari nyatakan dia memang mewarisi bakat ayahnya yang pandai main bola. -_-

Puji usaha anak akan meningkatkan keyakinan dirinya. Puji faktor semula jadi ok jika anak itu berjaya. Tapi bila anak cuba sesuatu dan gagal, dia akan fikir “aku memang tiada bakat dalam bidang ni”.
Segelintir ibubapa tanpa sedar telah menyuntik mesej yang salah ke dalam pemikiran anak. Contohnya

“Biasalah budak lelaki memang pandai fizik”.

“Dia orang xxx, itu la pandai berniaga”.

Mesej ini apabila sering disebut oleh ibubapa, dan ditambah pula dengan stigma pemikiran dalam masyarakat menjadikan anak merasakan ia ‘macam betul’. Bila anak cuba kali pertama dan tidak berjaya, dia akan rasa dia tidak dilahirkan dengan ‘bakat’ tersebut. Hakikatnya walaupun seseorang itu berbakat dalam sesuatu bidang, dia masih perlu kerja kuat untuk menjadi orang yang berjaya. Jadi yang penting untuk terapkan dalam pemikiran anak ialah USAHA, bukan bakat.

Tangkap ikan

Tanam dalam fikiran anak untuk berusaha dalam mencapai apa yang diimpikan

Tips 3 : Puji KUALITI pencapaian, bukan kerana gred yang diberi oleh pihak lain

Sebagai ibubapa kita seharusnya lebih tahu mengenai anak kita berbanding orang lain. Seharusnya juga pujian kita lebih memberi makna kepada anak. Ibubapa tidak perlu sandarkan pujian mereka kepada penialian orang lain.

Contohnya

“Mak bangga abang dah pandai mengaji dengan lancar” LEBIH baik dari

“Mak bangga abang dapat A subjek Al Quran”.

Topik yang sama, cuma pujian yang pertama menunjukkan kita lebih faham pencapaian anak kita. Sampai satu tahap umur anak akan sedar bahawa pencapaiannya akan dinilai dan di gred oleh orang lain. Dan sebagai anak, dia tidak mahu ibubapanya juga melakukan perkara yang sama. Dan jika kita sebagai ibubapa mahu keluar dari sistem berorentasikan peperiksaan, ia bermula seawal bagaimana kita menilai pencapaian anak-anak.

Kata tak nak anak exam oriented kan, jadi mak dulu kena buat perubahan. ^_^

Tips 4 Jika perlu, hanya bandingkan pencapaian anak dengan pencapaian sebelumnya.

Kejayaan adalah sesuatu yang mempunyai keunikan tersendiri. Jadi ia tidak pelu dibanding-banding. Namun jika perlukan perbandingan, hanya bandingkan pencapaian anak pada ketika ini dengan pencapaian sebelumnya. Bukan dengan pencapaian orang lain.

“Abang dah makin pandai sepak bola masuk gol sekarang” adalah lebih baik dari

“Abang lagi pandai sepak bola dari xxx”.

Perbandingan ini hanya akan membentuk sikap negatif dalam diri anak-anak. Cukuplah perbandingan di dalam kelas dan sukan, kita ibubapa tak perlu menambahnya lagi. ??

Kanak-kanak bermain bola

Kemahiran bermain bola memerlukan kepada latihan, bukan bergantung kepada faktor genetik

Tips 5 : “Awak dah buat yang terbaik”

Selalu nyatakan “Awak dah buat yang terbaik” kepada anak. Ini adalah ungkapan yang sangat bermakna semasa anak masih kecil. Ia membentuk keyakinan anak untuk terus mencuba dalam peluang akan datang.

Namun sampai satu peringkat umur anak-anak akan belajar menerima hakikat bahawa manusia hanya menilai HASIL, tanpa melihat usahanya. Jadi apabila anak yang lebih besar kecewa dengan pencapaian mereka, kita perlu bersama-sama mereka dan bagi perangsang untuk buat yang lebih baik pada masa akan datang.

Alhamdulillah, selesai kongsikan 5 tips memuji pencapaian anak. Semoga ia menjadi panduan dalam kita mendidik anak-anak dalam menjadi insan yang lebih hebat dari kita, in syaa Allah.