Latih Anak Belajar Puasa akan menjadi pengalaman berharga dalam kehidupan kita sebagai ibubapa. Pelbagai pengalaman menarik dan lucu sering berlaku sebelum anak benar-benar faham apakah itu ibadah puasa.

Mengikut hukum kewajipan puasa hanya setelah mencapai akil baligh. Namun melatih anak berpuasa sejak awal juga disarankan untuk melatih jiwa anak anak yang lebih kental. Apa-apa ibubapa sendiri boleh menilai sejauh mana kemampuan anak untuk melaksanakan ibadah puasa.

latih anak puasa di bulan ramadan

Suka saya kongsikan di sini 5 tips mudah latih anak belajar puasa dari pengalaman saya melatih anakanda Fateh dan Faqihah berpuasa ketika mereka berusia 6 tahun.

Beri kefahaman mengenai ibadah puasa

Apa jua perkara jika dilakukan tanpa kefahaman akan menjadi beban. Jadi menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa untuk menimbulkan minat anak-anak pada ibadah puasa.

jurnal ramadan
Sedih sebab tak dapat makan.huhu

Anak perlu didedahkan kenapa kita perlu puasa dan ganjaran yang menanti apabila melaksanakan ibadah ini dengan sempurna. Salah satu kaedah mudah yang saya gunakan adalah perkenalkan puasa dari aktiviti dalam Jurnal Ramadan.

Latih anak berpuasa secara berperingkat

Kelebihan latih anak berpuasa awal adalah kita mempunyai tempoh yang panjang untuk latih anak secara berperingkat. Beri kebebasan anak berbuka ikut kemampuan berapa jam dia mampu puasa. Itu lebih baik daripada anak kononnya puasa sepanjang hari tapi curi-curi makan dan minum air. Hehe.

latih anak puasa di bulan ramadan

Pengalaman saya kali pertama berpuasa memang anak tak mampu tahan puasa. Dan kita pun tak menunjukkan dia berbuka awal itu macam satu kesalahan. Tapi lama kelamaan anak sendiri rasa nak habiskan puasa hingga waktu berbuka.

Usahakan untuk anak bersahur

Tanpa bersahur hampir mustahil untuk anak kecil dapat bertahan tanpa makan berjam-jam lamanya. Jadi usahakan untuk anak bersahur walaupun hanya dengan segelas minuman berkhasiat.

Sekurang-kurangnya ia akan membekalkan tenaga dan mengurangkan lapar untuk bertahan puasa separuh hari. Anak saya sendiri bersahur dengan secawan air coklat semasa tahun pertama berpuasa. Dan setelah biasa bangun sahur, dia sudah boleh makan nasi dan makanan berat lain.

Beri penghargaan atas usaha anak belajar puasa

Tidak kira berapa jam anak berpuasa, hargai usaha mereka. Ia adalah kejayaan anak pada hari tersebut. Jangan sesekali perlekehkan anak yang berbuka awal. Ini boleh mengundang pelbagai masalah kemudian seperti anak berlakon puasa penuh walhal curi makan di belakang. Rugi ja.

latih anak puasa di bulan ramadan
Raikan anak berbuka walaupun berpuasa separuh hari

Penghargaan tak semestinya benda yang mahal. Pelukan dan pujian adalah penghargaan yang sering kita terlepas pandang, tapi sangat besar impak kepada anak kecil. Selain itu saya akan raikan waktu berbuka anak walaupun separuh hari supaya dia dapat rasai keseronokan waktu berbuka.

Sibukkan anak dengan pelbagai aktiviti indoor

Lapar memang tak boleh hilang waktu puasa, tapi kita boleh alihkan fokus pada sesuatu yang menyebabkan kita lupa pada kelaparan itu. Banyakkan aktiviti yang menyeronokkan dan melekakan anak seperti permainan uji minda, aktiviti hands on dan membaca buku kegemaran.

Yang penting jangan buat aktiviti yang anak terlalu teruja melompat sana sini, memang cepatlah dia minta berbuka. Kadangkala bawa anak keluar untuk aktiviti santai seperti ke perpusatakaan dan majlis-majlis ilmu juga secara tak langsung akan alihkan fokus anak untuk lupakan kelaparan.

latih anak puasa di bulan ramadan

Apa-apa pun yang penting dalam melatih anak berpuasa adalah kesabaran ibubapa itu sendiri. Kalau kita tak mampu bersabar dengan rengekan anak minta berbuka memang anak akan mudah berbuka walaupun dia masih mampu berpuasa.

Namun dalam diri kita juga haruslah disematkan yang ia hanyalah latihan, bukan kewajipan. Latih anak belajar puasa secara berperingkat hingga melahirkan rasa seronok untuk berpuasa tanpa perlu disuruh mahupun dijanjikan ganjaran.

Selamat berusaha!