Minggu lepas saya menemani anakanda Fateh ke Hari Pendaftaran Darjah 1. Oleh kerana anakanda Fateh anak sulung, jadi ini adalah pengalaman pertama saya. Semasa melangkah masuk ke sekolah, saya hanya membayangkan pendaftaran ini sebagai prosedur masuk ke sekolah. So i just go with the flow kata omputih. 😛

Macam-macam situasi boleh lihat di tempat pendaftaran. Ada anak-anak yang terlajak excited, ada mak yang banyak pesanan nak cakap dan ada juga wajah-wajah bimbang semasa mendaftar. Kebetulan ibu yang mendaftar di belakang saya nampak serius dan risau. Sebab kali pertama jumpa, jadi saya anggap mukanya memang macam tu. Settle!

Selepas mendaftar saya ke dewan untuk seisi taklimat dan anak ke kelas untuk duduki ujian diagnostik tahun 1. Saya cuba menyerap maklumat yang disampaikan terutama mengenai Program LINUS 2.0 – Literasi, Numerasi dan Bahasa Inggeris. Program di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang dirangka bagi memastikan semua pelajar tahun 1 ‘celik’ 3 subjek ini.

Musykil saya, abang yang masuk sekolah saya pula yang kena dengar taklimat..hihi

Selepas selesai taklimat, kami pergi ke kelas anak-anak untuk membawa mereka rehat. Agaknya pihak sekolah memang sengaja bagi peluang ibubapa latih anak membeli di kantin. Bila sampai ke kelas anakanda Fateh, saya agak terkejut tengok kertas soalannya lain. Pelajar lain masih menjawab soalan, sedangkan dia sudah selesai mewarna lukisan sais A4 sepenuhnya. Erk..kenapa dengan anak aku ni.

Seketika kemudian barulah terfikir, oo..dia dah siap la agaknya. Intai-intai ramai juga yang sedang sibuk mewarna. Pandai cikgu sekolah rendah uruskan situasi. Patutlah pesan suruh bawa pensel warna. Saya membayangkan ada soalan yang perlu warna. Rupanya memang sebagai persediaan untuk isi masa terluang.

Ujian Diagnostik darjah 1

Ujian Diagnostik adalah untuk mengenalpasti tahap penguasaan asas untuk subjek bahasa melayu, bahasa inggeris dan matematik

Tetapi seketika kemudian saya rasa terkejut. Seorang pelajar di barisan tepi sedang membalik-balikkan kertas soalannya yang kosong. Dia tersengih-sengih melihat ibunya. Dan ibunya itulah yang berwajah risau semasa mendaftar tadi. Ya, sekarang sedikit sebanyak saya faham kerisauannya. Dia beberapa kali menyuruh anaknya cuba menjawab, tapi anaknya hanya sengih-sengih.

Masya Allah, saya rasa amat terkilan melihat wajah comel itu. Dari pengalaman yang sedikit saya jangkakan dia anak yang normal. Tetapi dia tidak mampu menjawab soalan walaupun untuk suaikan huruf besar dan huruf kecil. Soalan isi tempat kosong dan lain-lain wallahualam, saya tak sanggup tengok.

Sedihnya perasaan saya pada pagi itu. Saya membayangkan anak kecil yang comel itu sangat teruja untuk kesekolah, dengan kelengkapan serba baru. Namun dia disambut dengan helaian kertas, dan dia perlu mengadap kertas itu lebih dari sejam. Dan dia tidak tahu apa yang perlu dibuat pada kertas itu.

Dalam kegalauan itu saya bawa anakanda Fateh ke kantin, menikmati waktu rehat. Sambil-sambil itu sempat saya isi borang-borang yang perlu dihantar semula kepada guru kelas. Selepas hampir setengah jam, kami pun kembali ke kelas. Saya sengaja naik dari tangga lain, bagi peluang anakanda Fateh tengok sekitar sekolah.

Dan sekali lagi saya terkejut rupanya masih ada pelajar dari kelas-kelas lain yang belum keluar rehat. Cikgu yang bertugas di dalam kelas cuba untuk membantu anak-anak ini menjawab mana-mana soalan yang mampu. Ya lah, kadang-kadang bukan mereka tak tahu. Tapi tak faham kaedah untuk jawab soalan. Tapi dilihat pada wajah cikgu dalam kelas tu pun, jelas mereka kecewa. Dan saya lalu kelas tu dengan perasaan bercampur baur.

Ya, secara peribadi saya memang tidak bersetuju dengan ‘ujian diagnostik’ yang menyambut anak-anak kecil ke darjah 1. Namun kita tidak berupaya mengubah apa yang ada di dalam sistem. Tetapi sebagai ibubapa, kita mampu untuk buat sesuatu dalam membantu anak kita bersedia menghadapi cabaran.

Tambahan lagi dalam situasi saya, tinggal di bandaraya yang ada pelbagai kemudahan. Sukar untuk saya fahami bagaimana anak itu masih tidak kenal huruf semasa melangkah ke tahun 1. Apa kemudahan yang tiada di bandar? Tadika yang hampir dengan kawasan rumah, perpustakaan awam yang terlalu banyak di kawasan perumahan, dan pelbagai program celik minda yang dianjurkan oleh pelbagai pihak di sini. Soalnya, adakah kita menggunakan peluang-peluang yang ada ini sebaiknya?

Ibu ajar anak membaca

Ibu boleh mengajar anak membaca sendiri di rumah tanpa perlu bimbang dengan pencapaian anak

Dengan gajet canggih di tangan, dengan kemudahan wifi percuma mudah didapati di sana-sini, carilah ilmu wahai ibubapa. Carilah ilmu untuk menyediakan anak-anak syurga itu menghadapi cabaran. Tidak perlu menyalak bukit komplen sistem tak betul, kalau anak sendiri huruf pun masih belum kenal.

Usaha lah ibu-ibu, usahalah ayah-ayah. Semua anak lahir dengan potensi untuk berjaya, hanya kita yang perlu ilmu untuk menggilapnya. Wallahualam.