Dulu-dulu saya pun dengar ‘cakap-cakap’ orang. Orang kata budak-budak memang boleh menyanyi ABC tapi tak kenal pun huruf tu betul-betul.  Dan saya perhatikan anak saya sendiri pun memang belum 2 tahun dah boleh menyanyi ABC sampai habis, tapi bila tanya huruf tak tahu pun.

Tapi sebenarnya proses ini normal untuk kanak-kanak. Memanglah sebelum anak tu dapat mengecam huruf, dia kena tau dulu sebutan huruf tu macam mana. Ia adalah satu proses pembelajaran. Anak pernah dengar nama huruf, tahu sebut nama huruf dan seterusnya barulah dapat mengecam bentuk huruf dan mula belajar membaca.

Jadi kita jangan menafikan proses itu terhadap anak kecil. Biarkan mereka menyanyi lagi-lagu alfabet itu dengan santai. Sambil-sambil tu ibubapa boleh cuba kenalkan nama huruf secara berperingkat. Sampai masanya anak sendiri akan timbul minat untuk mengetahui nama huruf tersebut tanpa kita perlu mengajarnya.

Salt writing 4

Dalam mengajar anak kecil, kita tidak perlu tergesa-gesa. Cukup dengan memberikan pendedahan sebanyak mungkin setiap hari, mereka akan belajar secara tidak langsung. Yang penting sebagai ibubapa kita jangan nafikan setiap peringkat pencapaian mereka, kerana dorongan dari kita itulah yang akan merangsang anak-anak untuk meneroka peringkat ilmu yang lebih mencabar.